Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Malamnya, kami menghabiskan masa di sebuah pub di kawasan hiburan Thamrin. Jaraknya tiga stesen dari Hayam Wuruk – lebih kurang 15 minit perjalanan.

Kami meredah jalan raya yang masih sibuk dengan pelbagai kenderaan. Kemudiannya, kami berjalan tanpa arah, melihat gerai makan yang berderet di sekitar jalan. Perut mula terasa lapar.

Makanan yang dimakan siang tadi sudahpun terhadam sepenuhnya. Petang tadi kami makan kerak telur dengan nasi - makanan tradisi orang Betawi, orang asal di daerah Jakarta.

Kerak ini dibuat dengan beras ketan (dipanggil beras pulut di tempat kita), telur ayam dan ebi (udang kering) yang dicampur dengan bawang merah goreng dan digaul bumbu halus.

Bumbu ini adalah campuran kelapa sangrai (kerisik), cabai merah, kencur (seakan-akan halia), jahe (halia), serbuk lada, garam dan gula pasir. Itulah bahan yang diterangkan oleh seorang pelayan restoran kepada kami.

Sesat kerana huruf 'J'

Wilco mengetuai perjalanan kami untuk mencari pub yang dicadangkan dalam buku panduan kembara ‘Lonely Planet: Indonesia’. Sekejap-sekejap, Wilco menyelak helaian buku tersebut.

Setelah 30 minit mencari, kami masih belum bertemu tempat hiburan bernama “Yaya Pub”. Kami bertanya kepada pengusaha gerai jalanan. Kebanyakannya tidak tahu malah tidak pernah mendengar pula nama pub itu. Takkanlah buku 'Lonely Planet' sudah lapuk?

Sedang kami mencari, aku terfikir yang Wilco ini orang Belanda. Sebutan untuk huruf ‘J’ dalam bahasa Belanda sama dengan sebutan huruf ‘Y’ dalam bahasa kita. Begitu juga Bahasa Jerman yang menyebut huruf ‘J’ sebagai 'Yot'.

“Hey Wilco. You pronounced it wrong. It is Jaya Pub, not Yaya Pub,” aku bersuara kepada Wilco. Dia buat muka tersipu-sipu. Mungkin kerana itu kami tak jumpa.

Rupanya pub itu berada di dalam bangunan Jaya Holdings. Kami sudah beberapa kali mundar-mandir di hadapan bangunan itu ketika mencari pub tersebut.

Tiga gelas bir dan dua gelas minuman ringan dipesan. Minuman ringan untuk aku dan Haeri. Suasana bar sudah sesak dengan orang ramai. Kami duduk berhampiran juruaudio yang bertugas untuk persembahan kugiran pada malam itu.

Bar ini dipenuhi dengan golongan pegawai dagang asing, cuma pelayannya saja dari kalangan orang tempatan.

Wilco hairan kerana melihat aku dan Haeri tidak memesan minuman keras. Katanya, dia akan minum dan mabuk sehingga tidak sedarkan diri untuk berseronok. Haeri menjawab, dia selesa dengan hanya minuman ringan.

Stefan berusia 28 tahun, seusia dengan teman wanitanya. Stefan pula 34 tahun. Aku dan Haeri 26 tahun.

Integriti gereja

Mukanya sudah sedikit kemerah-merahan, matanya sedikit kuyu. Mungkin sudah mabuk sedikit kerana gelak ketawanya seakan-akan tidak akan berhenti.

Wilco bertemu Barbra ketika mereka sama-sama menuntut di sebuah universiti di Berlin dalam jurusan bisnes. Kini mereka bekerja dan menetap di kota itu. Wilco sudah mendapat taraf penduduk tetap.

Barbra berkata, proses permohonan kerakyatan Jerman membuatkannya berasa jelik dengan institusi gereja di Jerman.

Jelasnya, borang permohonan kerakyatan itu menetapkan beliau untuk menyatakan agamanya. Sekiranya ditulis agama Kristian bermazhab Protestan, maka dia dikehendaki untuk membayar sejumlah wang untuk disalurkan kepada pihak gereja.

Maka, dia hanya menulis “tidak beragama” dalam ruangan tersebut kerana tidak percaya kepada integriti institusi gereja.

Wilco mempertahankan tindakan Barbra. Gereja hanya mahu keuntungan semata-mata, katanya.

Tambahnya, sesuatu sumbangan sepatutnya disalurkan dengan ikhlas dari penganut agama itu sendiri dan bukannya dipaksa.

Barbra mengaku dia masih percaya pada kewujudan tuhannya. Penjelasannya membuatkannya aku teringat kepada institusi gereja Eropah yang menjadi korup ketika zaman gelap.

Bila aku fikirkan semula, di Malaysia juga ada individu tamak yang sanggup menggunakan agama bagi kepentingan diri sendiri semata-mata.

Ketamakan manusia inilah yang menyebabkan ramai tidak percayakan pada institusi agama. Mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukannya menjadi makhluk tamak haloba berkiblatkan wang semata-mata.

Sekembalinya ke hotel, kami berkesempatan mencuba durian. Stefan dan Barbra berkata mereka berasa lain macam selepas mencuba raja buah itu.

Wilco pula gigih meratah ulas durian. Esok, kami akan berpisah. Wilco dan Barbra akan berlepas ke Bali pada jam 10 pagi.


AHMAD FAUZAN AZAM seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine 'Dead Sick Society' bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk 'Charity Zine'.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine 'LRT' dan antologi cerpen '10 Orang Gila'. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pesanan, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram .

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Lihat Komen
ADS