Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Beli kereta baru atau pergi mengembara?
Diterbitkan:  Jan 5, 2016 11:51 AM
Dikemaskini: Jan 6, 2016 5:23 AM

Pengkaji dari sebuah universiti di New York mendapati, manusia akan berasa lebih gembira sekiranya membelanjakan wang untuk memperkaya pengalaman dan bukannya pada objek material.

Kajian selama dua dekad dari Cornell University di New York itu mendapati, kegembiraan manusia kerana memiliki satu objek baru hanya berlaku dalam tempoh masa yang singkat.

Maka, menurut pengkaji ini, masyarakat akan lebih bahagia sekiranya mereka membelanjakan wang pada kegiatan seperti mengembara, melakukan aktiviti luar atau mempelajari kemahiran baru.

Pasukan diketuai Dr Thomas Gilovich itu menjalankan kajian psikologi melibatkan fenomena Easterlin Paradox – yang menunjukkan bahawa wang akan membuatkan masyarakat berasa gembira namun hanya ke tahap tertentu.

Paradoks ini merujuk kepada sikap warga Amerika Syarikat pada tahun 1970-an yang didapati tidak berasa gembira walaupun pendapatan mereka meningkat.

Kajian Gilovich mendapati fenomena ini turut berlaku di negara lain di seluruh dunia.

Gilovich meminta subjek kajiannya melaporkan tahap kebahagiaan mereka ke atas perbelanjaan bagi untuk membeli objek material dan untuk pengalaman.

Pasukannya mendapati, pada mulanya subjek kajian tersebut melaporkan bahawa tahap kepuasan hati mereka ke atas objek material dan untuk pengalaman adalah sama tinggi.

Namun, lama kelamaan, tahap kepuasan hati responden ke atas pembelian objek material menurun manakala kepuasan hati untuk perbelanjaan bagi pengalaman pula meningkat.

Gilovich menawarkan penjelasan bahawa manusia mudah “menyesuaikan diri” dengan objek fizikal manakala pengalaman pula akan menjadi lebih menyeronokkan apabila dikenang semula.

“Kita membeli barang untuk membuatkan kita gembira, dan kita berjaya, tapi hanya untuk seketika. Benda baru hanya menggembirakan sekejap, kemudian kita akan menyesuaikan diri (dengan objek tersebut),” kata Gilovich.

Semakin lama kita menyesuaikan diri dengan objek itu, perasaan gembira yang timbul daripada memiliki objek tersebut akan semakin merosot, jelasnya lagi.

Bagaimanapun, perasaan gembira yang diperolehi daripada pengalaman melakukan sesuatu kegiatan akan meningkat kerana ia membentuk sikap dan identiti kita, tambah Gilovich.

“Anda memang boleh menyukai objek material anda dengan bersungguh-sungguh. Anda mungkin boleh fikir bahawa sebahagian daripada identiti anda berhubung kait dengan benda tersebut.

“Namun, ia tetap terpisah dari diri anda. Sebaliknya, pengalaman akan kekal sebati dengan diri anda. Pengalaman itulah yang membentuk diri kita,” katanya lagi.

Hasil kajiannya disiarkan dalam jurnal Experimental Social Psychology.

Lihat Komen
ADS