Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berhubung dengan isu penggunaan kalimah 'Allah' yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 yang lalu, PAS Selangor bersetuju dan bersependapat dengan pendirian dan kenyataan yang dikeluarkan oleh mursyidul am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), timbalan mursyidul am (Dr Haron Din) dan semangat daripada kenyataan yang diutarakan oleh presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

Dalam hubungan ini, seandainya keputusan mahkamah itu dikekalkan, PAS Selangor bimbang akan berlaku penyalahgunaan kalimat tersebut.

Penggunaan kalimat itu akan akan memberi tamparan kepada penganut agama Islam khasnya kerana kalimat Allah tersebut mempunyai erti yang sangat istimewa serta implikasi tersendiri bagi penganut agama Islam.

PAS Selangor berpendapat, suasana yang ada di negeri ini tidak mengizinkan sama sekali penggunaan kalimat tersebut selain daripada yang merujuk kepada agama Islam.

Ditambah pula dengan adanya enakmen dan fatwa yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa untuk tidak mengizinkan kalimat itu digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Jika perkataan Allah ini dibenarkan, maka ia akan mengundang penyalahtafsiran kalimat tersebut khususnya di kalangan golongan bukan ahli agama termasuk orang awam.

PAS Selangor memberi amaran kepada pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan daripada keadaan ini supaya berhenti dengan serta-merta mengeksploitasi isu ini.

Mereka yang akhir-akhir ini kelihatan begitu ghairah melaungkan bantahan terhadap keputusan mahkamah itu, sedangkan mereka tidak mempunyai kredibiliti dan tindakan mereka boleh diragukan.

PAS Selangor mengesyaki wujudnya perancangan jahat pihak-pihak ini dengan cuba menangguk di air keruh.

PAS Selangor ingin menyeru semua pimpinan parti di setiap peringkat termasuk ahli dan penyokong supaya tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan perjuangan jamaah.

Mereka diminta untuk sering merujuk kepada pimpinan negeri sekiranya wujud keraguan terhadap tindakan yang akan diambil.

Akhirnya marilah kita berdoa supaya apa juga tindakan yang merugikan Islam dan masyarakat Islam tidak akan mendapat kejayaan di sisi Allah SWT.

Kenyataan media Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, pesuruhjaya PAS Selangor

ADS