Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saudara pengarang,

Sememangnya pilihan persaraan wajib daripada umur 55 tahun kepada 56 tahun seterusnya yang terbaru kepada 58 tahun adalah terletak di tangan penjawat awam itu sendiri.

Setiap penjawat awam telah diberikan taklimat mengenainya sebelum membuat persetujuan bertulis yang kemudiannya dianggap sebagai akujanji terakur.

Bagaimanapun, setiap penjawat awam masih boleh memilih bersara secara pilihan (opsyen) sebelum tarikh atau had umur yang telah dipersetujuinya sebelum itu atau lebih jelas disebut sebagai bersara pilihan.

Menurut pekeliling terbaru Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA): JPA/PEN(S)228/25/5-11(22) bertarikh 25/01/10 mengenai persaraan pilihan, menyatakan bagi mereka yang memilih bersara pilihan, kerajaan pada dasarnya akan membayar terus elaun persaraan serta ganjaran ganti cuti rihat (GCR).

Manakala, imbuhan ganjaran persaraan (gratitude) hanya akan dibayar RM10,000 atau 20peratus daripada jumlah wang ganjaran persaraan yang berhak (mana yang tertinggi).

Dalam pada itu, wang tersebut juga hanya akan diserahkan kepada pesara berkenaan sekiranya ada baki setelah mengambilkira hutangnya dengan kerajaan dilangsaikan.

Pekeliling ini semacam ‘terpaksa’ dibuat dan dikuatkuasakan mulai tahun 2010 ini atas alasan sebagai langkah berjimat cermat kerajaan. Dengan kata lain untuk menafikan masalah kegawatan ekonomi negara (barangkali).

Dalam masa sama, kerajaan begitu ghairah menyalurkan pelbagai peruntukan pembangunan sama ada menerusi pembangunan fizikal, insan maupun komuniti menerusi Projek Ransangan Ekonomi (PRE) atas semangat: “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diuatamakan”.

Soalnya, bagaimana pula pihak berwajib menterjemah: rakyat didahulukan pencapaian diutamakan? Mengapa pula golongan pesara yang berasara pilihan mulai 2010 terpaksa dinafikan haknya sebagaimana pesara-pesara pilihan (opsyen) lain sebelum ini?

Hakikatnya, mereka yang bersara pilihan majoritinya berbuat demikian kerana telah merancang serta memilih satu aktiviti lain semasa pencennya sama ada sebagai memenuhi masa-masa bersara atau lebih tepat mereka berkecenderungan untuk melakukan pelbagai ativiti lain demi untuk meningkatkan taraf hidup peribadi dan keluarga.

Misalnya, ada yang membuat perancangan untuk berniaga, menambaik rumah kediaman, membesarkan kebun atau ladang dan bermacam-macam lagi yang kebanyakannya menjurus kepada projek ekonomi.

Dan, dengan bersandarkan harapan besar bahawa modal asas dan modal pusingan akan diperolehi daripada wang ganjaran persaraan, namun dengan tindakan terbaru JPA ini sudah barang tentu akan membantutkan segala usaha dan cita-cita murni mereka terbabit.

 Seperkara yang barangkali kerajaan terlepas pandang adalah menterjemah PRE dalam keadaan kegawatan sekarang yang bukan sahaja sekadar menyalur peruntukan pembangunan kepada komuniti dengan menampakkan projek (sama ada kecil maupun mega), malah mempergunakan wang ganjaran pencen untuk menambaik taraf hidup menerusi aktiviti pilihan masing-masing juga adalah memberikan impak yang sama seperti yang dimaksudkan oleh PRE itu sendiri.

Aktiviti mereka itu nanti secara langsung dan tidak langsung akan dapat membantu memeriah serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi negara sekali gus turut menyumbang kepada aliran tunai dalaman yang kesan utamanya membangunkan individu serta keluarga terbabit.

Demikian juga, bagi penjawat awam yang mendapat pinjaman perumahan yang dengan sendirinya telah menandatangai perjanjian bayaran balik dalam tempoh tertentu (biasanya 20 dan 25 tahun), adalah tidak wajar dan tidak munasabah dipaksa melangsaikan hutangnya daripada wang ganjaran pencen tersebut.

Ini bermakna, seseorang pesara pilihan itu secara majoritinya tidak akan menerima sesen pun pendahuluan (20 peratus) wang ganjaran pencen selain daripada elaun bulanan pencen dan imbuhan GCR yang diktakan dibayar sekali gus (itupun jika ada terkumpul).

Ini kerana, rata-rata penjawat awam yang memilih bersara awal (opsyen) masih menangung hutang dengan kerajaan paling tidak pinjaman perumahan. Sebagai contoh, katakan beliau layak menerima ganjaran persaraan (20 peratus pertama) sebanyak RM26,000 dan masih berhutang (perumahan) sebanyak RM30,000, bermakna beliau tidak mendapat satu sen pun wang ganjaran itu.

Satu lagi contoh, katakan seseorang pesara pilihan itu masih mempunyai baki RM100,000 dan dia bersara pada usia 50 tahun tetapi telah menandatangi persetujuan bersara wajib pada usia 58 tahun. Bermakna, beliau terpaksa menunggu lapan tahun lagi bagi mendapatkan bakinya.

Dalam tempoh itu, jika wang sebanyak itu dimasukkan ke simpanan amanah (ASNB misalnya) dan mengambilkira 7peratus sebagai keuntungan tahunan, berapa banyak pesara tersebut kerugian? Apakah kerajaan turut mengambilkira jumlah itu?

Jika ini berlaku, bagaimanakah dia (pesara berkenaan) akan dapat memulakan langkah meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarganya? Berbalik kepada prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, apakah golongan pesara seperti itu sudah tidak lagi dalam senarai didahulukan?

Satu tindakan yang nampaknya bijak tetapi penuh keanihan dan kekeliruan.

Memang, pekeling ada menyebut, bagi mereka yang memerlukan kesemua wang ganjaran berkenaan pemohon bersara awal hendaklah menyatakannya dengan bukti bertulis berdasarkan alasan-alasan tertentu, misalnya tanggungan berat anak belajar di Institut pengajian tinggi (IPT) dan rawatan perubatan.

Namun, harus diingat apabila kita bercakap dalam dunia tanpa sempadan sewajarnya dalam masa sama kerajaan tidak pula menyekat hak-hak rakyat seperti yang termaktub dalam akta dan faedah persaraan sebelum ini apalagi kemudahan tersebut berkait rapat dengan sumber untuk meningkatkan taraf hidup rakyat itu sendiri.

Sekiranya, tujuan pekeliling membawa maksud tersirat untuk menyekat lambakan permohonan persaraan pilihan, ia juga tidak kena kerana langkah tersebut boleh menyebabkan kerajaan  menanggung masalah pengurusan organisasi berikutan penjawat awam sudah tidak berminat untuk meneruskan kerjayanya lagi.

Dan, bertambah amat malanglah sekiranya dengan tindakan itu juga kerajaan berharap agar penjawat awam lebih rela memilih “berhenti kerja” daripada memilih bersara awal berikutan kekeliruan ini, yang mana dengan pilihan itu semua hak-hak dan faedah persaraan tidak perlu ditanggung oleh kerajaan.

Begitupun, apa yang sebutkan itu hanyalah sekadar mentelah beberapa kemungkinan namun saya fikir apapun natijahnya, kerajaan perlu menarik semula pekeliling tersebut dan memberikan apa-apa kemudahan berkaitan pencen sama ada bersara pilihan mahupun persaraan wajib  sebagimana yang dilaksanakan sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS