SURAT

Apa? Di rumah Zaid ada bar?

Masrum Dayat

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Apr 2010, 1:09 tengahari

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.

"Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (49:12)

“Seorang Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkan dia teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya maka Allah akan menolong keperluannya pula.

"Siapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat." (HR Bukhari)

Saya hairan bagaimana ada yang tergamak bertanyakan Tuan Guru Hj Hadi Awang, Presiden PAS, dan beberapa pemimpin PAS yang lain, mengenai tohmahan yang dilemparkan terhadap Zaid dalam laman web atau blog.

Zaid ditohmah sebagai  pewain atau peminum arak tegar dulu kini dan selamanya. Bukan itu sahaja laman web dan blog tersebut turut mempamerkan gambar-gambar “ super-imposed ” (gambar yang telah ditokok tambah supaya kelihatan real ).

Itu kerja-kerja jahat yang keterlaluan!

Zaid dan keluarganya juga ditohmah apabila dikatakan di rumah beliau sendiri terdapat bar (ruang khusus di mana arak di sediakan).

Tidak cukup dengan tohmahan tersebut, arak dikatakan menjadi hidangan sarapan pagi, tengah hari dan makan malam.

Arak ibarat air jus mangga yang dihirup senaknya, tohmah laman web dan blog berkenaan.

Saya sering berpeluang ke rumah Zaid di Tropicana Golf & Country Resort . Orang putih kata seeing is believing .

Setahu saya di rumah beliau juga sering diadakan sidang akhbar yang dihadiri oleh pemberita dari pelbagai akhbar termasuklah Selangorkini , Harakah dsb. Tidak kelihatan bar atau minuman keras di rumah beliau.

Sedangkan menghisap rokok di rumahnya pun isteri Zaid, Datin Suliana, tidak benarkan, apatah lagi menghidangkan arak siap dengan barnya sekali!

Tentulah tohmahan semacam itu merupakan serangan yang biadab dan amat keterlaluan.

Setahu saya Allahyarham ayah Zaid merupakan seorang pendukung kuat PAS Kota Baharu semasa hayatnya. Zaid sendiri merupakan anak lelaki yang sering mengiringi Almarhum ayahnya ke ceramah-ceramah PAS.

Hubungan dan aroma PAS sudah tersemat dalam jiwanya semenjak beliau kecil lagi.

Zaid dan isterinya juga telah beberapa kali mengerjakan umrah sebelum berpeluang mengerjakan ibadah haji pada tahun lepas (2009).

Pada saya, tidak mungkin Zaid sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk mengerjakan ibadah umrah dan haji kalau di dalam hati sanubarinya sarat dengan “penentangan terhadap hukum-hukum Allah” dan tiada sifat mahu mengabdikan diri kepada Allah.

Apakah menunaikan fardu haji dan berbuat kebajikan kepada lebih 5000 orang kurang upaya yang berdaftar dengan Yayasan beliau di Kelantan itu bukan manifestasi ketaatan kepada Allah Rabul Jalil?

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.