Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat risau apabila membaca laporan Panduan Pengurusan Kantin Sekolah dilanggar dan makanan tidak sihat seperti gula-gula, jeruk, snek yang mengandungi perasa dan pewarna tiruan masih dijual walaupun ia jelas tidak dibenarkan.

Masalah makanan yang tidak sihat yang dijual di kantin sekolah bukan satu perkara baru.

Sejak beberapa tahun yang lalu kini masalah ini telah dibawa ke perhatian pihak berkuasa yang berkaitan tetapi usaha CAP menggesa untuk melahirkan generasi mudah yang lebih sihat tidak mendapat perhatian.

Garis panduan itu menyatakan makanan yang mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan, mi segera, ais krim, minuman dengan pewarna dan perasa tiruan, teh dan kopi, serta minuman ringan adalah tidak digalakkan.

Sebagai tambahan, garis panduan ini juga turut menyediakan panduan yang jelas bagi pengendali kantin bagaimana untuk menyediakan makanan yang kurang gula, garam dan lemak; dan juga kepentingan untuk memasukkan makanan yang mengandungi serat yang tinggi dalam setiap hidangan mereka.

Tiada alasan bagi pengendali kantin untuk tidak mematuhinya.

Sejak bertahun-tahun lamanya, CAP telah mengemukakan bahawa minuman dan makanan yang tidak sihat dijual di dalam dan sekitar sekolah tetapi masalahnya masih berterusan.

Kami juga telah membawa perkara ini kepada perhatian Kementerian Kesihatan bahawa sesetengah sekolah di Pulau Pinang masih menjual makanan segera seperti nuggets , kentang goreng dan minuman dan makanan remeh yang mempunyai kandungan pewarna, gula atau garam yang tinggi atau mengandungi terlalu banyak bahan pengawet.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga menunjukkan bahawa kanak-kanak mengambil makanan seperti ayam goreng, kentang goreng, cokelat, ais krim, minuman berkarbonat, biskut krim dan jeruk di sekolah.

Semua penemuan ini jelas menunjukkan bahawa pengendali kantin dengan jelas melanggar garis panduan tanpa bimbang tindakan akan diambil.

CAP menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran supaya bertindak dengan segera untuk menghentikan jualan minuman dan makanan tidak sihat kepada pelajar sekolah. Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan terhadap pengendali kantin yang enggan untuk bekerjasama.

Makanan remeh boleh digantikan dengan makanan tradisional seperti nasi lemak, bihun, mi sup, tosai, idli, capati dan uppuma , tetapi makanan ini perlu disediakan dalam keadaan yang bersih.

Minyak dan garam yang digunakan untuk menyediakan hidangan ini perlu digunakan dengan berhati-hati. Pengendali kantin juga perlu memastikan bekalan buahan segar yang mencukupi.

Minuman ringan dan lain-lain bahan yang manis, minuman berwarna hendaklah dengan segera digantikan dengan air minuman kosong. Mesin air perlu ditempatkan di kawasan laman sekolah dan kantin untuk menggalakkan kanak-kanak minum air.

Untuk memastikan pematuhan oleh semua pihak yang berkenaan, bahagian yang berkaitan daripada Garis Panduan Pengurusan Kantin Sekolah ini perlu ditukarkan kepada undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa mempunyai lebih kuasa penguatkuasaan.

Senarai makanan yang tidak digalakkan di bawah garis panduan itu perlu di masukkan ke dalam senarai yang diharamkan dan dilarang oleh undang-undang.

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan juga perlu bekerjasama dengan Kerajaan Tempatan supaya menghentikan dengan segera amalan makanan dijual di luar kawasan sekolah. Zon penampan atau lingkungan yang ditetapkan boleh diwujudkan di setiap sekolah di mana penjaja dilarang daripada menjalankan perniagaan mereka.


Penulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi melalui tel: 04 8299511, faks: 04 8298109 atau emel: [email protected]                  

ADS