Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan negeri Selangor boleh dianggap mengambil tindakan tepat dan sejajar dengan ruh siasah syar’iyyah (politik berasaskan Syariat Islam), apabila memperuntukkan RM10 juta bagi menyediakan pekerjaan halal  bagi umat Islam yang bekerja dalam industri membabitkan arak di negeri itu.

Namun, langkah tepat dan bijak ini perlu digandingkan dengan pelaksanaan yang juga tepat dan bijak.

Dalam melaksanakan usaha membebaskan umat Islam daripada industri membabitkan arak ini, kerajaan negeri Selangor boleh mengambil panduan daripada pengamalan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Khalifah Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah-pemerintah sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).

Penangguhan ini walau bagaimana pun, dibantah oleh anak beliau, Abdul Malik. Bantahan Abdul Malik ini didorong oleh semangat Islamnya yang tinggi dan kecintaan beliau terhadap Islam.

Beliau berkata kepada Khalifah Umar, “Mengapa ayahanda tidak melaksanakan perkara-perkara ini (iaitu menghapuskan saki baki penyelewengan dan kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli sekalipun anakanda dan ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”.

Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama), membantah kenyataan anaknya itu dengan berkata, “Jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu yang berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).

“Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah”. (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, jilid 2, hlm 93-94).

Dalam dialog ini, Khalifah Umar tidak bertindak menghapuskan sekali gus saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah-pemerintah terdahulu kerana bimbang jika beliau berbuat demikian, orang ramai akan menolak al-haq yang cuba ditegakkan, juga secara sekali gus.

Beliau sebaliknya-meskipun seorang ketua negara yang berkuasa-mengambil pendekatan beransur-ansur dalam mencegah kemungkaran.

Kebimbangan Khalifah Umar akan kemungkinan pencegahan kemungkaran yang dilakukan secara tergesa-gesa, akan mendorong orang ramai menolak ajaran Islam, adalah berasas.

Ini kerana, Syaidatina Aisyah r.a sendiri menjelaskan bahawa pencegahan kemungkaran yang dilakukan secara drastik, akan mengakibatkan manusia tidak akan meninggalkan kemungkaran tersebut.

Ketika memperihalkan kaedah pensyariatan hukum hakam Islam, Syaidatina Aisyah r.a berkata, “Sesungguhnya perkara pertama dalam al-Quran yang diturunkan, ialah surah-surah yang terdapat di dalamnya perihal syurga dan neraka. Sehingga apabila manusia menerpa kepada Islam, turun (ayat-ayat berkenaan) halal dan haram.

Jika perkara pertama yang turun ialah ‘Jangan kamu meminum arak dan jangan kamu berzina’, nescaya mereka akan berkata, ‘Kami tidak akan tinggalkan arak dan juga zina sampai bila-bila”. Kenyataan Syaidatina Aisyah r.a ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya.

Dalam konteks usaha membebaskan umat Islam di Selangor daripada industri membabitkan arak, pendekatan beransur-ansur yang dipamerkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz ini, perlu diamalkan.

Ini kerana pendekatan ini sejajar dengan kaedah pengharaman arak yang dilakukan oleh al-Quran, iaitu pengharaman secara beransur-ansur, seperti yang dinyatakan Khalifah Umar. Selain ia selari dengan kaedah al-Quran menguatkuasakan hukum hakam syarak seperti yang dinyatakan oleh Syaidatina Aisyah r.a.

Pendekatan ini jugalah yang dipraktikkan Nabi Muhammad SAW dalam mengembangkan dakwah Islam. Ketika sebelum hijrah ke Madinah, Nabi tidak pernah mencuba untuk memusnahkan 360 berhala yang terdapat di sekeliling kaabah di Masjidil Haram. Bahkan, kewujudan berhala-berhala itu sedikit pun tidak menghalang Nabi bersolat di dalam masjid suci tersebut.

Nabi juga menolak permintaan para sahabat baginda yang datang dalam keadaan bercucuran darah-kerana diseksa oleh musyrikin Mekah-meminta diizinkan mereka berperang.

Semua ini menunjukkan pendekatan tadarruj atau beransur-ansur dalam melaksanakan Islam, adalah pendekatan yang diamalkan oleh Islam.

Sudah tentu pendekatan beransur-ansur ini tidak akan dipersetujui oleh segelintir umat Islam. Ini bukan sesuatu yang memelikkan kerana sejak zaman Umar Abdul Aziz lagi, sudah ada yang membantah pendekatan ini, iaitu anak beliau sendiri.

Namun, jika dilihat kepada penjelasan Khalifah Umar dalam dialog di atas, bantahan anaknya terhadap pendekatan beransur-ansur dalam mencegah kemungkaran, disebabkan oleh kesilapan beliau memahami kaedah perlaksanaan Syariat Islam. Atau disebabkan oleh kealpaan beliau tentang kaedah ini disebabkan semangat Islam yang berkobar-kobar.

Sikap tergesa-gesa mencegah kemungkaran hanya akan menimbulkan fitnah, iaitu penolakan orang ramai terhadap kebenaran, seperti yang ditegaskan oleh Khalifah Umar.

Manakala pihak yang gopoh mencegah kemungkaran, sehingga mengakibatkan orang ramai menolak kebenaran, dianggap sebagai seorang yang menyebabkan fitnah, sebagaimana yang dinyatakan oleh khalifah yang faqih dan adil, Umar Abdul Aziz radhiyallah 'anhu.

Adapun berkenaan tindakan bagaimanakah yang menepati pendekatan beransur-ansur dalam menyelamatkan orang-orang Islam daripada pekerjaan membabitkan arak, terpulanglah kepada pihak kerajaan negeri Selangor menentukannya.

 

ADS