Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah mewartakan seluruh kawasan hutan di Pulau Langkawi termasuk hutan paya bakau di sini sebagai hutan simpan kekal bagi menyelamatkan khazanah alam semulajadi itu dari mengalami kepupusan pada masa akan datang.
CAP percaya jika langkah tersebut tidak disegerakan seluruh kawasan hutan di pulau ini akan musnah dengan cepat akibat sikap rakus manusia berikutan pembangunan pesat yang berlaku di sini.
Mengulas kenyataan Exco Pelancongan Kedah S Manikumar baru-baru ini mengenai kawasan hutan di beberapa tempat di pulau itu diceroboh pihak tertentu serta menebang pokok-pokok sehingga cerah, CAP kesal kerana pihak berkenaan gagal bertindak walau pun kegiatan itu sudah lama berlaku.
CAP sebelum ini pernah mengemukakan masalah pencerobohan dan penebangan kawasan hutan termasuk hutan paya bakau secara haram di sini namun tidak ada langkah berkesan yang diambil oleh pihak terbabit.
Mengenai desakan ahli parlimen pulau Langkawi Datuk Abu Bakar Taib supaya kerajaan negeri segera meluluskan pemilikan tanah kepada mereka yang telah meneroka kawasan hutan sejak 20 hingga 30 tahun yang lalu, CAP membantah keras langkah sedemikian kerana ia akan mendorong lebih ramai penceroboh kawasan hutan di pulau lagenda ini pada masa akan datang sekaligus menambahkan lagi kerosakan alam semulajadi di pulau tersebut.
CAP berpendapat yang lebih penting sekarang ialah usaha memulihkan kawasan hutan termasuk paya bakau yang telah diteroka atau dimusnahkan perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan dengan menanam semula spesies hutan yang sesuai di kawasan terbabit.
CAP menegaskan demi mengekalkan alam semulajadi dan sumber bagi berbagai keperluan hidup penduduk tempatan sama ada aktiviti ini dibenarkan atau tidak kawasan hutan termasuk paya bakau tidak wajar diteroka dan musnahkan.
Tinjauan CAP sejak 10 tahun yang lalu mendapati bukan saja bukit bukau digondolkan malah ribuan hektar hutan bakau di pulau ini telah dimusnahkan bagi pelaksanaan projek pembangunan terutama projek tambak laut dan projek akuakultur.
Akibat dari itu tercetus masalah yang melibatkan alam sekitar seperti pencemaran laut, hakisan tanah dan banjir kilat. Kemarau dan kekurangan bekalan air untuk tanaman padi. Tempat pembiakan hidupan laut terancam. Sumber perikanan semakin pupus dan mata pencarian nelayan teruk terjejas.
CAP meminta Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi serta Jabatan Hutan Kedah membuat pemantauan yang lebih kerap bagi mengenalpasti pihak yang terlibat dengan kegiatan tersebut. Tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka agar kejadian seumpama ini tidak berulang dan alam semulajadi di Pulau Langkawi tidak terus terancam.
Penulis merupakan presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
