Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak diawalkan dan tidak dilewatkan walau sesaat, begitulah gambaran ajal maut oleh Allah dalam al-Quran. Dan kita sebagai hamba kepada-Nya wajib beriman dengan kalam tersebut.

Berita kematian ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim lewat petang 12 Februari yang lalu mengejutkan ramai pihak, oleh kerana beliau adalah salah seorang daripada wakil rakyat yang memenangi kerusi DUN tersebut melalui pilihanraya, kematian beliau membawa maksud perlunya diadakan pilihanraya bagi mengisi kekosongan tersebut.

Ironinya ini adalah pilihan raya kecil yang ke-16 dalam masa kurang 4 tahun. Dalam keadaan rakyat dan pemimpin parti daripada kedua belah pihak yang masih keletihan berkempen di Tenang, diikuti pula Merlimau dek kematian wakil rakyat dan kini giliran Kuala Krau di negeri Pahang pula.

Apa yang pasti, perbelanjaan bagi menanggung kos setiap pilihanraya pasti sangat tinggi. Kos bagi petugas SPR, anggota keselamatan, kos yang ditanggung oleh parti secara personal pun pasti tidak kurang ratusan ribu ringgit dan mungkin sahaja jutaan ringgit.

Menurut laporan Berita Harian bertarikh 23/1/2011di bawah tajuk Analisis: Pilihanraya kecil telan kos tinggi menyatakan:

“Selepas 13 pilihan raya kecil bermula Ogos 2008, SPR dilapor sudah membelanjakan lebih RM10 juta, manakala tambahan kira-kira RM1.1 juta lagi diperuntukkan di DUN Tenang. Mungkin juga jumlah dalam lingkungan RM1 juta disalurkan bagi menanggung pilihan raya kecil DUN Merlimau pula.

Itu baru di pihak SPR, belum lagi dicampur perbelanjaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah tentu lebih tinggi kerana tanggungjawabnya juga besar. Dilaporkan hampir RM40 juta dibelanjakan pihak berkuasa itu hanya untuk lima pilihan raya kecil pertama di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Semakin banyak pilihan raya kecil, semakin banyak jugalah kos yang perlu dikeluarkan, namun tidaklah ralat jika kekosongan kerusi yang berlaku itu memang tidak dapat dielakkan seperti kematian atau wakil rakyatnya hilang kelayakan.”

Secara peribadi saya fikir tidak ada alasan kukuh yang membolehkan saya bersetuju dengan kenyataan dalam perenggan ketiga. Sekalipun ianya melibatkan kematian atau wakil rakyatnya hilang kelayakan, kos pilihanraya tetap perlu ditanggung oleh kerajaan dan parti secara peribadi bagi tujuan kempen.

Perbelanjaan di atas adalah perbelanjaan tiga belas siri pilihanraya kecil sebelum ini dan belum ditambah dengan perbelanjaan yang bakal hangus di Merlimau dan Kerdau.

Dan duit tersebut adalah duit rakyat. Jika benar pihak kerajaan BN khususnya Umno prihatin dan mahu berjuang untuk rakyat, pembaziran ini wajib dihalang. Begitu juga kepada pihak Pakatan Rakyat, jika benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat, pembaziran ini juga perlu ditentang.

Sudah ada beberapa cadangan sebenarnya mengenai perkara ini antaranya, SPR perlu mengubah hak kerusi ADUN mahupun parlimen yang dimenangi oleh mana-mana calon mestilah menjadi hak parti yang mereka wakili bagi tempoh lima tahun tersebut dan bukannya milik calon yang menang nanti.

Justeru, jika ada kematian, lompat parti mahupun hilang kelayakan, pilihanraya semula tidak perlu diadakan. Bagi menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia mahupun lompat parti terserah kepada kebijaksaan parti masing-masing. Mungkin perlu diadakan jawatan timbalan wakil rakyat.

Antara kebaikannya adalah, YB yang memang melalui tiket parti mereka masing-masing pasti tidak akan belot kepada parti masing-masing kerana belot dan lompat parti bermaksud pelucutan automatik jawatan mereka sebagai YB. Dan ini pastinya satu mimpi ngeri kepada mereka.

Saya menyeru kepada pihak BN dan Pakatan  yang suara mereka merupakan harapan rakyat agar mereka membuat usul dan dipersetujui secara majoriti penuh kepada dua perkara tersebut di parlimen kelak. Tiada alasan bagi mereka untuk tidak bersetuju akannya jika benar mereka berjuang demi rakyat jelata.

Perbelanjaan yang sudah melebihi RM50 juta daripada duit kerajaan itu wajar dimanfaatkan bagi perkara yang lebih utama kepada rakyat seperti pemerkasaan bidang pendidikan dan pengajian ilmu kepada rakyat. Begitu juga dana parti dan kerahan tenaga kerja ahli parti akan dapat dijimatkan bagi disalurkan ke tempat lain seperti melakukan kerja-kerja amal.

BN juga perlu dan boleh fokus kepada kempen 1Malaysia dan Pakatan boleh terus berkempen merakyatkan perjuangan mereka. Biarlah Pilihanraya Umum ke-13 yang sudah terasa bahangnya menjadi perhitungan secara adil kepada kedua-dua belah pihak kerana pilihan di tangan rakyat.

ADS