Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jerebu yang kini dialami oleh kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia amat membimbangkan. Pada hari ini, negeri Selangor merakamkan bacaan indeks pencemar udara (IPU) yang amat tinggi, khususnya di kawasan berhampiran Kuala Selangor (97) dan Nilai, Negeri Sembilan (98).

Merujuk kepada peta satelit, jelas dilihat bahawa punca jerebu kali ini adalah pembakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia.

Mengikut laporan yang disediakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, bilangan "hotspot" yang terdapat di Sumatera mencapai 202 pada 11 September, manakala tiada yang dikesan di Semenanjung Malaysia.

Pada hari ini, bilangan hotspot telah menurun sedikit, dengan 34 dikesan.

Jelas bahawa punca jerebu kali ini berada di luar kawalan Kerajaan Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama agensi kerajaan telah meningkatkan usaha pemantauan untuk memastikan pembakaran tempatan tidak memburukkan lagi keadaan.

Saya ingin menggesa Menteri Luar Negara untuk memberi keutamaan kepada kesihatan rakyat Malaysia dengan menyuarakan bantahan terhadap pembakaran yang berlaku di Sumatera kepada kerajaan Indonesia. Keadaan berjerebu ini telah pulang berulang kali tahun ini.

Saya juga ingin menyeru kerajaan pusat untuk menyiasat semua syarikat-syarikat Malaysia yang memiliki ladang di Sumatera untuk memastikan mereka lebih bertanggungjawab dalam kaedah pertanian mereka.

Segala aktiviti pembakaran yang dijalankan bukan sahaja menjejaskan nama negara tetapi malang lagi, jelas memberi kesan teruk terhadap rakyat Malaysia.


Penulis adalah ahli exco kerajaan negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan.

ADS