Malaysiakini Surat

Benarkah wujud tali barut dalam agensi k'jaan?

Umar Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Merujuk kepada artikel Malaysiakini ‘Utusan: Orang Anwar Resapi Badan Kerajaan?’ yang mengulas artikel Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia 28 September  2011, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) tertarik untuk memberikan beberapa pandangan.

Isu ini sekiranya benar wujud perlu diberikan satu perspektif yang betul, komprehensif  dan perlu diambil tindakan dengan segera setelah proses pengenalpastian dilakukan.

Dari penerangan yang diberikan saudara Zaini, apa yang beliau maksudkan ialah sikap berpura-pura  pegawai-pegawai  dalam agensi strategik kerajaan yang pro-Anwar menyalurkan maklumat sulit dan maklumat yang  tertakluk kepada klasifikasi tertentu kepada pihak  yang tidak sepatutnya.

Dalam bahasa spy dan propaganda ia dirujuk sebagai musang berbulu ayam, talam dua muka iaitu tali barut atau ‘agen’ yang berjaya menyusup masuk sehingga ke peringkat tertinggi dalam sesebuah pengurusan organisasi.

Namun begitu elok sekiranya dilihat latar belakang gejala ini terlebih dahulu. Fenomena talam dua muka merupakan satu perkara biasa dalam situasi perang. Ia mencapai kemuncaknya sewaktu era Perang Dingin di mana kedua-dua pihak Amerika Syarikat dan Russia saling memasang agen masing-masing untuk mencuri dan mendapatkan maklumat strategik musuh dengan pelbagai kaedah.

Yang penting ialah matlamat boleh dicapai.  Manakala istilah ‘double agent’  lahir apabila seseorang agen yang digaji satu pihak mula dipengaruhi oleh pihak musuh dan memberikan maklumat secara terpilih-pilih, mengikut kepentingan mana yang menjadi prioritinya.

Menarik untuk diperhatikan apa yang menentukan seseorang agen ini boleh bersikap talam dua muka. Sesuatu yang agak pasti ialah bayaran yang lumayan atau dorongan tertentu seperti wanita, namun jarang diperhatikan bahawa proses penyusupan berlaku secara terancang. 

Perancangan dilakukan sesebuah organisasi dengan amat halus (very subtle) yang tidak mungkin disedari oleh organisasi yang menerima seseorang agen bekerja sekiranya aspek tapisan yang juga amat teliti tidak dilakukan.

Organisasi penerima selalunya hanya akan melihat aspek kelayakan seseorang, pengalaman kerja dan kejayaan tanpa melihat aspek yang maha penting dalam sesebuah agensi strategik- iaitu aspek ideology seseorang.

Sering terjadi aspek ideologi  ini yang mengikat seseorang untuk tunduk patuh kepada arahan pemimpin utama atau mullah, yang terhasil dari satu proses pengkaderan yang berlangsung dalam tempoh amat panjang.

Tidak mustahil proses itu bermula  dengan menjejak bakat seseorang sejak di peringkat sekolah menengah, lalu dilanjutkan di universiti. Untuk seseorang agen yang dikira bijaksana, karisma  danberkelayakan, mereka akan didaktate secara halus dengan penekanan bahawa sepanjang masa keutamaan tetap diberikan kepada ideologi walau apa keadaan atau di mana mereka bekerja sekali pun kemudian hari.

Kepada kebanyakan orang Melayu, ideologi berteraskan agama memainkan peranan yang amat besar, dengan itu ideologi ketaatan kepada ‘perjuangan asal menegakkan dan memperkasa islam’ khususnya islamisasi dan membentuk islam tamadun (islam madani) dilihat mengatasi semua ideologi dan matlamat lain yang kesemuanya dianggap sekular.

Dengan melihat latar belakang ini, tidak lah terlalu mustahil untuk menjangkakan bahawa telahan saudara Zaini dijangka akan berlaku. Malahan, ianya dipercayai  telah dan sedang berlaku melihat kepada beberapa laporan yang tersiar melalui blog-blog tertentu.

Blogger ini amat berbangga jika mereka berjaya menyiarkan berita dan informasi yang mendahului pengumuman penting kerajaan menyebabkan pengumuman yang dianggap utama, serius dan boleh menarik sokongan awam itu menjadi sesuatu yang tawar kerana telah berjaya dijangkakan atau dipintas  terlebih dahulu.

Jika dalam perang sebenar, pintasan maklumat mungkin akan menyebabkan kematian beberapa ratus nyawa tentera.  

Selain dari kecuaian pegawai kerajaan yang  secara tidak sengaja membocorkan maklumat, boleh dibuktikan bahawa kebanyakan info yang disiarkan dalam sebuah blog adalah hasil daripada permainan double agent ini.

Ini disebabkan penyiaran maklumat strategik kerajaan secara berterusan (konsisten) seolah-olah mereka merupakan media utama pejabat tertinggi negara sedangkan pendirian mereka jelas membelakangi kepentingan nasional dan dilihat dipengaruhi (dan didanai) oleh pihak asing.

Contohnya jelas dalam pengumuman pelantikan CEO GLC-GLC dan jawatan utama, dan mencapai kemuncaknya sewaktu mendahului pengumuman Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA.

Maklumat melalui blog tersebut menyebabkan pengumuman amat penting Perdana Menteri itu telah dijangkakan rakyat, dan kesannya pasti berbeza jika tidak dibocorkan.

KPPM membayangkan, jika akses kepada pejabat tertinggi berjaya dilakukan, dan mungkin telah disalurkan kepada pihak tertentu yang menjadi ‘ketua sebenar’ pegawai tersebut,  maka nampaknya tiada lagi rahsia yang mungkin boleh disembunyikan.

Tanpa mahu menuduh sesiapa, namun melihat kepada petanda-petanda yang jelas dan konsisten, elok sesuatu dilakukan, sebaik-baiknya serta merta.


Penulis adalah ahli jawatan kuasa Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM)