Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jangan lupa Negeri Sembilan ini diteroka oleh Orang Asal (Orang Asli) dengan dibantu oleh orang Indonesia dari Minangkabau. Antara isu paling besar yang menjadi permasalahan utama sekarang ini ialah isu tanah adat yang terbiar.

Banyak seminar, banyak kertas kerja yang dibentangkan yang menelan belanja jutaan ringgit tapi hasilnya pada saya boleh dikatakan kosong.

Yang peliknya kenapa di zaman penjajahan British, institusi istana dan Undang, tidak timbul masalah tanah adat yang terbiar? Institusi Adat pada zaman British telah berjaya memberi geran-geran kepada orang Melayu.

Dalam tangan saya ada tiga salinan geran milik arwah nenek saya. Walhal nenek saya bukannya sekolah tinggi, tapi dia ada geran atas namanya. Kini saya menghadapi masalah untuk menukar nama geran tersebut ke nama ibu saya, atau nama kakak saya, kerana memerlukan banyak dokumen serta karenah birokrasi untuk menyelesaikan proses penukaran nama tersebut.

Cuba fikirkan, zaman British, zaman Undang mempunyai banyak kuasa, mereka boleh berfikir untuk rakyat, memastikan setiap rakyat yang ada hak geran tanah, ada geran tanah, kenapa sekarang zaman ramai yang hendak membela orang Melayu, dengan kemudahan sistem komputer yang canggih , susah untuk membuat proses tersebut?

Oleh itu perlu dimartabatkan insitusi Undang dan Datuk Lembaga Adat ini. Perlu dibukukan bahan rujukan untuk memudahkan anak-anak buah membuat rujukan dalam permasalahan adat terutama yang melibatkan tanah adat.

Maka usaha Pakatan Rakyat untuk menaikkan elaun Datok Lembaga Adat kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun sebanyak RM250 sebulan kepada Buapak-Buapak yang diisytiharkan dalam Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan yang dilancarkan pada 15 Januari 2011 di Gemas adalah merupakan satu langkah awal untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan adat dan tanah adat di Negeri Sembilan ini.

Amat sukar untuk saya mencari bahan rujukan mengenai permasalahan Adat Perpatih di internet. Sumber yang boleh diharapkan hanyalah dari seorang Blogger yang secara sukarela membicarakan isu Adat Perpatih .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS