Sayamahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyatakan hasrat menyatakan beberapa perkara, antaranya mahasiswa hari ini perlu dilayan sebagai insan intelektual bukannya seperti pelajar sekolah.
Sewajarnya mahasiswa diberikan peluang dan kebebasan melatih diri dengan kemahiran insaniah melalui pencapahan ilmu dalam pelbagai bidang termasuklah politik. Mahasiswa pemacu masa depan negara.
Oleh itu, sebagai seorang intelektual mereka perlu diberi ruang kebebasan berfikir dan mencari kebenaran berasaskan ilmu. Maka mahasiswa harus diberi ruang memilih apa yang mereka sukai.
Kebebasan perlu bagi seseorang mahasiswa supaya mereka bebas menentukan apa yang mereka mahukan.
Malangnya, buat pengetahuan tuan masih terdapat dalam pengurusan mahasiswa beranggapan bahawa mahasiswa tidak banyak beza dengan pelajar sekolah. Dan ini adalah satu tanggapan yang salah.
Oleh yang demikian, seiring dengan perubahan yang bakal dilaksanakan, perlu kita melihat sendiri apa sebenarnya yang diinginkan oleh mahasiswa dari kaca mata mahasiswa dan tidak lagi bergantung kepada methodologi yang rigid sebagai garis panduan mengawal perkembangan mahasiswa.
Kepentingan politik
Sepanjang saya mengikuti kuliah di UTHM terdapat pelbagai unsur politik di bawa ke universiti, antaranya ceramah kempen BN oleh Datuk Maslan sempena International Youth Day UNESCO pada 18 November lalu.
Dua Kolej Kediaman - Tun Fatimah dan Tun Dr Ismail - dimatikan lampu dan dipaksa menghadiri ceramah tersebut. Dalam ceramah tersebut pula bukan dihidangkan tentang soal akademik tetapi ceramah kempen politik BN.
Mahasiswa ketika itu dalam minggu ujian. Harap Datuk tidak lagi mengulangi perkara ini dan minta maaf secara terbuka kepada mereka yang terlibat serta menarik balik dakwaan ke atas tiga mahasiswa.
Mereka dituduh atas penyebaran video di Youtube bertajuk "Mahasiswa UTHM bantah kempen politik melalui program Universiti".
Selain itu, pelancaran Kempen BN PollingAgent & Counting Agent (PACA) yang diadakan di Dewan Terbuka Ibrahim Ismail juga menunjukkan fasiliti awam untuk mahasiswa digunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan tertentu.
Di samping itu, saya merasa amat kecewa tindakan Datuk Naib Canselor berada dalam kaca televisyen, menjadi salah seorang panel ketika persidangan Umno berlangsung. Saya tidak pasti apa jawatan yang Datuk sandang dalam Umno.
Hiburan melampau
Sepanjang saya belajar di UTHM, hiburan melampau menjadi perkara wajib tiap tahun, antaranya konsert "Born for Nature" pada konvokesyen tahun 2010 yang didakwa mengundang perkara negatif.
Ini tidak selari dengan Universiti yang sepatutnya menjadikan UTHM ini sebagai gudang ilmu.
Di samping itu, sesi konvokesyen 2011 yang lalu juga dihidangkan dengan "Battle of the Band" dan konsert Rock yang menampilkan artis yang membuka baju.
Kawasan yang dibuat berhadapan dengan masjid baru UTHM. Ramai masyarakat luar yang membuat aduan keburukan program hiburan ini.
Banyak lagi program hiburan melampau tertutup mahupun terbuka. Dan saya harap Datuk jika sayangkan agama, anak bangsa dan universiti tercinta ini tidak melakukan lagi perkara ini.
Mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Datuk. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Datuk, saya dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya hanya seorang mahasiswa, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya.
Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Datuk meluangkan masa memberi perhatian pada surat saya satu penghormatan buat mahasiswa seperti saya.
Namun Datuk, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan seperti saya ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin Datuk Seri terguris hati, saya memohon maaf untuk itu.
