Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS Negeri Andansura Rabu melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan pengurusan Air negeri pada Ogos lalu.

Kini seramai 80 NGO dari seluruh negara yang berpayung bawah Solidariti Hijaud pimpinan Zulkefly Mohamad Omar menyerahkan pula memorandum kepada menteri besar pahang pada Disember tahun lalu.

Ia antaranya bagi menuntut reformasi segera dilakukan terhadap tahap kualiti perkhidmatan yang mengecewakan dari Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) walaupun telah diswastakan beberapa tahun lalu.

Beberapa siri gangguan bekalan air di seluruh negeri Pahang sepanjang 2 tahun lalu telah pun disenaraikan dalam memorandum yang diserahkan, termasuklah potensi gangguan bekalan air kepada penduduk Kuantan dari operasi kilang Lynas yang dikatakan akan menggunakan 500 meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian.

Selepas penduduk Kuantan dihantui gangguan bekalan air sebelum ini akibat kerosakan teknikal di Loji Air di Empangan Kobat, paip yang kerap pecah di Felda Bukit Kuantan serta kerosakan sistem bekalan air ketika sambutan perayaan, penulis dikejutkan pula dengan rungutan penduduk Taman Bukit Pelindung dan Taman Alor Akar Kuantan.

Lebih 100 penduduk mengambil keputusan untuk melahirkan kekecewaan mereka secara terbuka kepada PAIP di Bukit Pelindung Kuantan.

Mereka menuntut PAIP mengambil tindakan segera memastikan bekalan air yang stabil kepada kediaman mereka dalam tempoh dua minggu sebelum tindakan susulan diambil.

Malah mereka juga menuntut penjelasan PAIP sama ada gangguan bekalan air mempunyai kaitan langsung dengan penggunaan bekalan air yang tinggi dari Kilang Lynas, sehingga bekalan air dilihat seolah-olah dicatu oleh untuk memastikan bekalan air mencukupi disalurkan kepada Kilang itu.

Penduduk tidak boleh dipersalahkan kerana membuat andaian berkaitan punca gangguan bekalan air kerana sehingga hari ini, sebahagian dari mereka masih tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Ramai yang tertanya-tanya, apakah puncanya? Dan sampai bilakan masalah gangguan bekalan air ini akan dapat diselesaikan?

Penulis selaku Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS Pahang ingin mendesak maklum balas segera dari pihak kerajaan Pahang dan PAIP terhadap memorandum yang diserahkan pada Disember tahun lalu.

Sehingga hari ini, tiada satu pun maklum balas diterima oleh Solidariti Hijau dan PAS negeri.

Memorandum itu seolah-olah dibakul sampahkan oleh mereka walaupun cadangan penambahbaikan yang banyak disenaraikan dalam memorandum itu untuk kebaikan seluruh rakyat.

Mengambil sikap mendiamkan diri amat mengecewakan.

Oleh kerana itu, tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak UMNO/BN dalam PRU-13 ini.

Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada ‘telinga' untuk mentadbir negeri ini. Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran perdana menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.


HUZIR SULAIMAN setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS Pahang. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS