Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya antara ratusan mahasiswa UIAM Kuantan yang bersama dalam Grand Hall UIAM Kuantan dalam sesi tontonan Tanda Putera anjuran Office of Campus Director UIAMK.

Kelihatan pengawal keselamatan aktif menjaga di luar dewan. Hanya satu pintu sahaja dibuka yang bertampal amaran dilarang merakam tayangan ini. Kehadiran mungkin sekitar 200-300 pada anggaran saya.

Kedatangan agak ramai mungkin kerana sudah mendapat liputan oleh web berita Malaysiakini , dua hari sebelum program.

Acara bermula dengan ucapan ringkas wakil penganjur yang menerangkan tujuan tayangan iaitu supaya mengenang kembali jasa orang terdahulu dan belajar dari sejarah.

Huraian sedikit tentang gagasan 1Malaysia juga diselitkan. Tayangan bermula sekitar 9.30 dan berakhir 11.20 malam.

Elemen persahabatan

Ia mengisahkan pengalaman Tun Abdul Razak (perdana menteri) & Tun Dr Ismail (timbalan perdana menteri) dalam menghadapi tragedi perbalahan kaum 13 Mei, kebijaksanaan mereka mengawal pengikut, ketegasan terhadap komunis, krisis dalaman polis dan askar dalam menghadapi tragedi ini.

Sejarah penubuhan dan kemajuan MAS, FELDA, PETRONAS, DEB juga diceritakan secara ringkas. Ditonjolkan juga elemen persahabatan antara dua tokoh ini sangat hebat dan mampu buat penonton menangis.

Juga ada watak sekelompok mahasiswa pelbagai kaum di UM yang menjadi mangsa pergaduhan ini. Elemen kekeluargaan kedua-dua keluarga ini sangat romantik.

Karakter Tun Razak sebagai pemimpin rakyat ditonjolkan secara jelas. Secara keseluruhan, saya merasakan filem ini sangat baik untuk ditonton.

Adegan sensitif

Kewujudan adegan menggambarkan penyokong DAP bertindak ganas membunuh pengikut Parti Perikatan hasil tiupan semangat oleh pemimpinnya.

Filem ini dilihat cuba menanam kebencian orang Melayu kepada DAP, yang dikatakan punca rusuhan 13 Mei. Ia juga dirisaukan dapat membangkitkan semangat permusuhan Melayu-Cina.

Penilaian mahasiswa

Sejarah ada banyak sudut penilaian. Tanda Putera memaparkan persepsi sejarah dari pihak kerajaan, bahawa DAP punca 13 Mei. Ada juga penilaian sejarah dari entiti lain bahawa Umno adalah punca rusuhan ini.

Sebagaimana buku Sejarah SPM menceritakan PKMM, AWAS, API sebagai golongan kiri yang menimbulkan persepsi negatif, tapi pada sudut yang lain kajian mendapati kumpulan ini banyak berjasa dalam meniupkan roh kemerdekaan.

Juga sejarah cerita Mat Indera, ada yang mendakwa beliau adalah pengkhianat, juga ada yang menganggap beliau adalah hero Melayu.

Maka sebagai mahasiswa, nilailah sejarah dengan membaca banyak versi dan tidak hanya rigid dengan satu sumber penceritaan.

Tayangan menjelang p'raya

Jika tanpa meragui objektif tayangan sebagaimana diterangkan oleh penganjur, saya merasakan ia sangat bagus. Objektif tayangan dilihat tercapai.

Tapi jika antara tujuan tayangan adalah supaya mahasiswa kembali bernostalgia dengan jasa-jasa lama Umno, kejahatan lampau DAP, lalu dapat mempengaruhi undi mahasiswa untuk PRU 13 nanti, saya kira penganjur tersilap besar.

Zaman Internet ini, mahasiswa sudah maklum apa beza Umno zaman Tun Razak dan Umno zaman sekarang. Mahasiswa melihat ketempangan yang ketara dari sudut ketelusan, amanah terhadap harta negara, kegagalan urus tadbir yang baik dan isu perkauman.

Kekaguman kami pada Tun Razak tidak mampu memadamkan kekecewaan mahasiswa terhadap pemerintahan anak Tun Razak. Kami reti membaca dan menilai, kami tahu membezakan pencapaian zaman Tun Razak dan pencapaian zaman anak Tun Razak.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS