Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Membiarkan umur kerajaan melepasi lima tahun mandat rakyat sememangnya menimbulkan pelbagai konotasi yang tidak sihat.

Saya akui bahawa 8 Mac 2013 bukanlah suatu tarikh yang diambil kira jika Perlembagaan Persekutuan menjadi rujukan.

 

Apa yang disebut kini adalah soal konvensyen yang diterimapakai oleh kebanyakan negara Komanwel. Ia membangkitkan suatu keabsahan tanggapan ( legitimate expectation ) di kaca mata rakyat.

Di manakah moral kerajaan yang masih memegang kuasa sedangkan rakyat menaruh 8 Mac 2008 sebagai tempoh mandat dari mereka?

 

Setiap apa yang kita lakukan, biarlah ia baik di kaca mata undang-undang dan baik di kaca moralnya. Demikian juga mandat sebuah kerajaan. Kita mahukan kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan diterima dari moralnya.

 

Bukankah suatu ketempangan bila kerajaan yang ada kini sah di sisi undang-undang tapi tercalar di sisi moral?

 

Justeru, mahu tidak mahu konvensyen yang kini kian signifikan, iaitu berkaitan prinsip kerajaan sementara mesti dihormati demi memulihkan moral kerajaan yang ada.

 

Dalam negara-negara Komanwel, konvensyen ini bukan suatu yang asing. Australia umpamanya ialah sebuah negara yang ada menyediakan suatu pengisytiharan berkaitan kerajaan sementara.

Meskipun ia bukan suatu dokumen yang mengikat di sisi perundanga, setidak-tidaknya kerajaan Australia komited menghormati nilai-nilai demokrasi yang didokong oleh rakyat.

 

Disebut secara jelas lima prinsip kerajaan sementara termasuklah:

  • Tiada penganugerahan kontrak-kontrak berskala besar.
  • Tiada pembentukan polisi-polisi baru.
  • Tiada pelantikan penting bagi mana-mana jawatan.
  • Tiada keputusan penting berkaitan hal ehwal antarabangsa dibuat.
  • Tidak membabitkan kakitangan awam dalam aktiviti-aktiviti kempen politik khususnya parti yang memerintah.
 

Apa yang jelas prinsip-prinsip kerajaan sementara ini mampu memperkasakan hak rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Rakyat mempunyai kemampuan menilai yang sama rata akan kemampuan parti yang mempertahankan kuasa dan parti lawan yang mencabar wibawa kerajaan yang sedia ada.

 

Berbalik kepada situasi Malaysia, saya akui prinsip kerajaan sementara tidak ada dalam mana-mana dokumen perundangan negara.

Namun sebagaimana yang ditekankan pada awal penulisan, konvensyen kerajaan sementara ini kian diterima pakai oleh negara-negara demokrasi bagi menzahirkan sebuah kerajaan yang benar-benar berwibawa.

 

Tidakkah kita mahu menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan hebat pada moralnya? Itulah impian rakyat yang kian faham norma-norma demokrasi berparlimen hari ini.

 

Terbaru isu kontrak bernilai 4.27 bilion semasa LIMA 2013 di Langkawi cukup memberi imej yang amat tidak sihat kepada kerajaan yang memerintah.

Pada moralnya, kerajaan Malaysia hari ini sebuah kerajaan yang gagal menghormati prinsip-prinsip kerajaan sementara berasaskan legitimate expectation dan mandat rakyat.

 

Rakyat memerhati dan menanti, apakah lagi yang kerajaan ingin lakukan dalam masa-masa yang amat kritikal hari ini? Tiadanya tarikh pembubaran sebenarnya telah cukup untuk meletakkan moral kerajaan pada tahap yang tidak sewajarnya.

 

Apakah kelebihan tarikh pembubaran yang dipegang oleh perdana menteri menjadi suatu percaturan wang ringgit atau apa saja oleh pihak-pihak tertentu?

Tambah mencabul nilai demokrasi, percaturan itu menjadikan rakyat dan masa depan negara sebagai cagaran.

 

Apa pun, kerajaan hari ini menitipkan sejarah hitam dalam amalan demokrasi berparlimen bilamana mandat rakyat melepasi lima tahun dan telah ada Dewan Undangan Negeri yang terbubar secara automatik.

 

Mahu tidak mahu, rakyatlah kini yang berkuasa dan perlu bertindak untuk membetulkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam negara di setiap ceruk sistem pentadbiran negara.

PRU13 adalah wadah terbaik yang setiap rakyat tidak boleh tidak mengambil bahagian bagi mencipta perubahan.


MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS