Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya runsing dengan suasana yang menyesakkan yang berlaku di tanahair kita. Ketika enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mempertaruhkan nyawa dengan mengadakan mogok lapar, para wartawan di semua media utama langsung tidak mengambil peduli tentang hal ini. Begitu juga halnya dengan keadaan 15 aktivis masyarakat di Taman Melewar, Gombak, yang tidak menyentuh barang sebutir nasi pun, tiada satu cerita pun dihidangkan kepada rakyat.

Dan ketika mereka semua sudah 10 hari menderita kelaparan dan kekurangan air serta lemah seluruh anggota, tiada satupun berita tentang mogok lapar ini terbit di akhbar-akhbar utama.

Bagaimanakah keadaan kesihatan mereka? Apakah mereka masih bertenaga atau sudah terbaring tak bermaya ? Apakah mereka masih hidup atau sudah mati? semua soalan ini ditutup rapat dari mata rakyat.

Wartawanlah yang bertanggungjawab jika sekiranya mereka yang menyabung nyawa demi keadilan dan kebenaran itu, akhirnya menghembus nafas terakhir.

Tiada makna menjadi seorang wartawan jika kita mengambil sikap tidak ambil peduli dan memejamkan mata terhadap ketidakadilan di depan mata. Yang jelasnya rakyat telah dinafikan hak untuk mengetahui tentang kebenaran. Tugas dan tanggungjawab kita adalah kepada rakyat, bukan kepada syarikat, editor, pemegang saham terbesar atau kepada Dr Mahathir Mohamad.

Tugas kita adalah mengabdikan diri kepada rakyat. Tanpa berita dari kita, rakyat dinafikan hak untuk mengetahui kebenaran. Alangkah malangnya rakyat Malaysia kerana mempunyai wartawan seperti ini.

Saya rasa kawan-kawan wartawan perlu berkumpul (sekurang-kurangnya yang progresif) untuk duduk semeja bagi membincangkan apa yang boleh kita lakukan demi untuk mengembalikan harga diri kita sebagai manusia yang perlu dan wajib menyampaikan kebenaran kepada rakyat.

Hari Wartawan Sedunia akan tiba pada bulan Mei ini. Wartawan perlu bergabung dan nyatakan pendirian secara terbuka dan secara massa. Hanya aksi massa yang boleh memberikan kesan yang berbisa.

Saya teringat seorang kawan wartawan dari Indonesia yang menubuhkan Aliansi Jurnalis Independen (AJI), yang bernama Santoso. Menurut ceritanya, ketika bangun menyatakan bantahan secara terbuka terhadap regim Suharto, jumlah mereka hanya enam orang.

Apa yang mereka lakukan ialah berjalan ala peace walk dengan memegang sepanduk mengelilingi kota Jakarta selama kira-kira 20 minit sebelum mereka ditahan oleh pihak tentera.

Hasil hasil tindakan mereka itu, wartawan lain mula membuka mata dan membicarakan tentang perlunya berjuang bersama. Hasilnya, para wartawan Indonesia mula melancarkan aksi-aksi penentangan. Ia berlaku pada tahun 1993. Dan lima tahun kemudian, pada tanggal Meik 1998, wartawan di Indonesia merayakan kebebasan media yang tidak pernah mereka impikan sebelumnya.

Alangkah bagusnya kalau wartawan dan pengamal media kita juga boleh berbuat sedemikian rupa! Tetapi wartawan kita sudah kehilangan nilai diri sebagai manusia yang memejamkan mata terhadap kezaliman, membiarkan kebenaran dikuburkan, merelakan kawan-kawan mati tanpa berita. Usahlah kita menyalahkan rakyat kerana kitalah yang mematahkan mata pena asalkan perut sendiri terjaga. Kitalah yang bertanggungjawab terhadap kerosakan nilai yang bersarang dijiwa kerana kita takut untuk menyampaikan kebenaran.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS