Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Sebagaimana laporan Sinar Harian pada 10 Jun 2013 yang bertajuk "Kesal anak OKU cemerlang SPM gagal ke matrikulasi", kami menggesa untuk pihak-pihak terbabit dalam kementerian pendidikan memberi perhatian khusus kes-kes seumpama ini.

Kisah seorang ibu sebagaimana luluhnya harapan Goh Eng Booy, 52, apabila permohonan untuk memasukkan anak lelakinya, Jayson Pua, 18, ke program matrikulasi gagal, malah rayuannya sebanyak dua kali ditolak bukanlah cerita baru di negara ini.

Memetik dari laporan tersebut, dalam SPM 2012 lalu, Pua yang terpaksa berkerusi roda kerana mengalami masalah lemah keseluruhan badan ( duchenne muscular dystrophy atau DMD) sejak berumur enam tahun memperoleh 6A 5B.

Kami menggesa untuk perhatian khusus diberikan oleh pihak kerajaan dalam kes-kes yang membabitkan OKU atas dasar-dasar berikut:

1. Sepertimana yang diperuntukkan oleh Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) dalam artikel 24, akses kepada pendidikan adalah menjadi hak kepada setiap OKU tanpa boleh ada diskriminasi.

2. Seksyen 28 Akta OKU 2008 mengesahkan pemakaian artikel 24 CRPD di peringkat nasional iaitu hak kepada pendidikan kepada individu OKU sebagaimana diterimapakai di peringkat antarabangsa.

3. Akta OKU 2008 juga dalam mukadimah telah memberi satu penegasan bahawa perlunya pengiktirafan kepada potensi dan keperluan individu OKU bagi memastikan keupayaan sebenar individu tersebut dapat digilap.

Justeru, setiap anak-anak OKU perlulah diberi ruang yang seadilnya oleh pihak kerajaan bagi memastikan pendidikan yang sehabis sempurna dapat diberikan bagi memastikan potensi diri anak tersebut dapat digarap kerana Allah menciptakan manusia itu dengan kelebihan yang tersendiri.

Pelu diinsafi, pencapaian yang dicapai oleh anak-anak OKU sebagaimana berjayanya Pua tentunya hasil dari usaha luar biasa beliau sendiri dan kedua ibu bapanya.

Harus diingat, kelengahan pihak kerajaan menangani kes-kes yang seumpama ini dalam menyediakan akses pendidikan kepada setiap individu OKU yang pelbagai kategori hanya akan membunuh potensi-potensi lebih ramai individu OKU di negara ini pada masa hadapan.


MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF pengerusi Sekretariat Prihatin OKU PAS.

ADS