Pertalian di antara Gerakan Reformasi dan PRM sememangnya begitu rapat. Malah, sebelum keputusan menubuhkan Keadilan dibuat, PRM pernah dipertimbangkan sebagai wadah politik untuk pendokong Reformasi.
Saya masih ingat tatkala Keadilan dilancarkan pada 4 April 1999, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan agar Keadilan bergabung dengan PRM seberapa segera yang mungkin bagi memastikan pengalaman, ilmu, komitmen dan istiqamah yang dimiliki oleh pimpinan PRM dapat dimanfaatkan bagi mewujudkan sebuah parti berbilang kaum yang unggul di Malaysia.
Malangnya, setelah lebih tiga tahun saranan penggabungan itu dibuat, ianya masih gagal direalisasikan. Di manakah silapnya?
Di peringkat awal, usul penggabungan ini telah dikatakan mendapat tentangan hebat daripada 'kelompok Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia)' di dalam Keadilan. Malah, ketika berkempen bagi menghadapi pemilihan parti November lalu, isu 'Kelompok Abim anti-gabung' telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk memperoleh undi popular. Amat menyedihkan, setelah enam bulan Keadilan ditadbir oleh 'pemimpin pro-penggabungan', penggabungan ini bukan sahaja masih gagal dijayakan, malah ianya sudah tidak lagi berada dalam agenda mesyuarat MPT Keadilan dan hanya dibincangkan dalam agenda lain-lain hal.
Di manakah perginya teriakan-teriakan lantang yang mendesak agar penggabungan dilaksanakan segera, yang pernah menganggap penentang penggabungan sebagai penentang Anwar Ibrahim?
Kongres Khas PRM pada tahun lalu telahpun meluluskan usul penggabungan Keadilan-PRM. Begitu juga dengan Keadilan yang telah mendapat mandat daripada majoriti perwakilan yang hadir dalam Persidangan Agung Khasnya di Kemaman November lalu. Keadilan sepatutnya melaksanakan penggabungan terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan di peringkat pusat supaya pimpinan PRM dapat dipilih sama bagi menduduki kerusi MPT.
Namun dengan alasan mereka boleh dilantik untuk mengisi jawatan lantikan, pemilihan tersebut telah diteruskan. Bulan Jun ini pula pemilihan akan dilakukan di peringkat bahagian, dalam keadaan kita masih belum bergabung. Adakah kita mahu pimpinan PRM di peringkat Bahagian yang akan bergabung dengan kita kelak menunggu selama tiga tahun lagi untuk mendapatkan tempat dalam saf kepimpinan Bahagian, sepertimana yang berlaku di peringkat Pusat?
Jika saya ahli PRM, sudah pasti saya akan merasa tertipu. Pimpinan Keadilan tidak boleh melenting sekiranya ada pihak yang mengatakan bahawa seluruh proses penggabungan ini tidak disertai oleh iltizam politik ( political will ) di pihak pimpinan Keadilan yang seharusnya menjadi prasyarat utama dalam usaha sepenting dan semurni ini.
Perkara ini amat serius dan harus dihalusi dengan teliti oleh pucuk pimpinan Keadilan. Tiga perkara utama berikut mesti dilaksanakan segera untuk mengatasi rentak kura-kura ke arah penggabungan ini.
Pertama, Persidangan Agung di peringkat Bahagian perlu ditangguhkan sehingga proses penggabungan selesai. Kedua, perbincangan untuk mewujudkan kabinet 'Parti Keadilan Rakyat' bagi menempatkan pimpinan PRM di dalam saf baru di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian termasuk dalam Pergerakan Pemuda dan Wanita perlu dilakukan dalam tempoh sebulan dari sekarang. Ketiga, segala urusan teknikal untuk menjayakan penggabungan perlu diselesaikan bagi membolehkan penggabungan ini dilaksanakan dalam tempoh tidak lebih dari tiga bulan.
Adalah malang sebagai sebuah parti yang ditubuhkan di atas semangat dan cita-cita perubahan, khususnya sebagai pelopor terhadap politik baru, kita tidak berdaya untuk mejayakan usaha penggabungan ini. Penggabungan ini bukan sekadar satu peristiwa mencantumkan dua buah parti. Ianya membawa makna yang lebih besar daripada itu iaitu, kekuatan menggarap seluruh elimen reformasi, melahirkan semangat keterbukaan dalam perjuangan dan membina satu era baru ( third force ) dalam politik negara. Inilah antara harapan Anwar Ibrahim dan Dr Syed Husin Ali, dua tokoh yang berjiwa besar dalam perada politik tanahair kita.
Cadangan ini tidaklah keterlaluan malah, ianya selaras dengan matlamat yang diikrarkan oleh saf MPT Keadilan sekarang. Sekiranya penggabungan yang sudah lama disarankan oleh Anwar ini tidak dapat kita jayakan, usahlah kita bermimpi untuk menggukuhkan semula Barisan Alternatif apatah lagi untuk memerintah Malaysia.
