Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya membaca surat-surat dari pembaca mengenai soal pendidikan dan meritokrasi. Saya merasakan beberapa pendapat

yang dikemukakan oleh Fairplay adalah terlalu mudah dan tidak berasaskan minda yang rasional, tetapi emosi marah kerana kemunduran bangsanya.

Saya merasakan sistem pendidikan negara terus dibelenggui kepentingan politik sesetengah pemimpin negara. Oleh itu, ia sudah jadi semacam 'rojak'. Dari segi ini, saya menyokong keputusan Umno Bahagian Senai, Johor, meluluskan undi tidak percaya terhadap Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad.

Ketika perlantikannya, saya mengharapkan perubahan dalam cara pemikiran dan perancangan dasar pendidikan negara kerana menteri pendidikan bukannya ahli politik. Malangnya, pendidikan masih diperalatkan sebagai agenda politik, khususnya bagi Umno.

Saya juga kurang senang dengan komen ramai pembaca malaysiakini , terutama dari kaum bukan Melayu. Saya memahami kekecewaan mereka terhadap sistem kuota universiti, tetapi mereka harus juga memahami kekecewaan orang Melayu terhadap dasar pendidikan yang sampai sekarang tidak turut menguntungkan mereka.

Mereka marah dengan subsidi yang diberikan kepada orang Melayu, tetapi orang Melayu juga marah kerana subsidi seperti biasiswa untuk ke universiti luar negeri tidak diberikan kepada mereka yang miskin tetapi kepada anak-anak Datuk dan Tan Sri Melayu yang berjoli di London, San Francisco dan New York dengan duit biasiswa tersebut.

Para pembaca ini menyuruh para bumiputra kaya untuk menolong mereka, tetapi bagaimana dengan para bukan Melayu yang kaya? Faktanya kaum Cina merupakan 26 peratus daripada penduduk Malaysia tetapi memiliki 37.9 peratus kekayaan syarikat-syarikat dalam negara.

Namun demikian, kaum Cina lebih selesa untuk menyumbang wang dan tenaga mereka kepada mempromosikan sistem pendidikan yang berasaskan bahasa Cina. Tetapi apakah maknanya duduk menetap di Malaysia, yang bahasa rasminya Bahasa Malaysia, tetapi tidak menggunakannya dalam kehidupan harian? Lebih mudah kononnya untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.

Mungkin para pembaca ini mengatakan bahawa adalah hak demokrasi mereka untuk menjana kekayaan mengikut citarasa mereka dan adalah menjadi hak mereka untuk membelanjakan harta tersebut mengikut kesesuaian mereka. Serta, adalah hak mereka untuk bercakap di dalam negara Malaysia dengan apa sekali bahasa mereka suka, sama ada bahasa Inggeris, Jerman, Urdu, Malaysia atau Cina.

Kalau begitu, apakah maknanya jadi orang Malaysia? Cubalah tanya balik diri sendiri adakah maksud menjadi orang Malaysia untuk menjadi kaya? Ataukah dengan menjadi rakyat Malaysia bermaksud bersama-sama tidak kira kaum bangsa untuk menolong mereka tidak kira bangsa?

Saya kira kebanyakan hentaman para pembaca bukan Melayu adalah untuk 'melepas geram' atas dasar pendidikan negara yang sudah menjadi chap chai atau rojak hasil dasar-dasar ad hoc beberapa pemimpin politik (khususnya pemimpin politik Melayu). Tetapi adalah lebih wajar bahawa dibuat jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan tidak melulu.

Saya lebih suka melihat satu dasar pendidikan di mana:

  • Semua universiti awam terbuka kepada semua kaum, tidak kira bangsa.
  • Matrikulasi dihapuskan dan semua kaum menduduki peperiksaan yang standard seperti A-level atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • Lebih banyak universiti awam ditubuhkan di setiap negeri.
  • Bahasa pengantar adalah dalam Bahasa Malaysia dalam institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kerana inilah bahasa rasmi kebangsaan.
  • Menteri dikenakan saman setiap kali menjawab soalan dalam bahasa Inggeris di kaca TV.
  • Pendidikan sekolah rendah dan menengah dalam bahasa Melayu sahaja, tetapi setiap pelajar harus mengambil subjek tambahan dalam bahasa Mandarin atau Tamil, selain belajar bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Orang Melayu boleh belajar Mandarin atau Tamil, orang Cina boleh belajar Tamil dan orang India boleh belajar Mandarin.
  • Akhir kata, saya memandang soal pendidikan ini sangat serius, kerana ia akan memberi kesan jangka panjang dalam hubungan antara kaum.


    Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

    ADS