Sekali lagi dunia dikejutkan dengan berita serangan ke atas rakyat Syria oleh regim Bashar Al Assad yang mengorbankan 1,364 rakyat nyawa di wilayah Ghouta, Timur Damsyik.
Dilaporkan bahawa mereka yang terkorban diserang ketika sedang lena di rumah masing-masing. Dilaporkan juga sejenis senjata kimia digunakan, dipercayai gas sarin.
Gas sarin merupakan sejenis agen saraf yang toksik berbentuk cecair atau wap dan diserap ke dalam badan melalui kulit, mata dan pernafasan.
Mangsa yang terdedah dengan gas sarin akan mengalami pelbagai gejala yang menyeksakan seperti rembesan cecair badan berlebihan (glandular hypersecretion) di dalam paru-paru dan pundi liur, lumpuh satu badan, koma, sawan dan pernafasan berhenti (respiratory depression).
Ini jelas melanggar Protokol Geneva 1925 yang mengharamkan penggunaan segala jenis bentuk senjata kimia.
Kami daripada IKRAM Health mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang tidak berperikemanusiaan dan kejam ini.
Kami menyeru kepada kerajaan Malaysia untuk menyatakan pendirian dan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dan Persidangan Kesatuan Islam(OIC) untuk membuat satu siasatan penuh dan mendakwa pihak bertanggungjawab di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
PROF DR MOHAMMED FAUZI ABD RANI pengerusi Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health).
