Most Read
Most Commented
Read more like this

Tanggal 23 Ogos 2002, genap 500 hari kawan saya Hishammuddin Rais mendekam di dalam Kem Tahanan Kamunting. Sudah 500 hari saya kehilangan seorang teman melepak di warung dari petang hingga ke lewat malam, melihat dan kemudiannya berfalsafah mengenai kehidupan manusia.

Beliau seorang teman yang senang diajak bicara, terbuka untuk berdebat, di mana jawapannya kadangkala, buat saya, membuka satu dimensi baru dalam cara melihat kehidupan ini.

Dan pastinya sudah 500 hari jugalah jiwa saya kekosongan pandangan dan pemikiran Hisham dalam ruangan pojok dotmainya itu di laman web Malaysiakini.com, yang kadangkalanya mencuit hati, serta memberi nafas baru kepada lanskap politik Malaysia.

Walaupun hasil tulisan Hisham sudah dibukukan dengan tajuk Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya , namun telah hilang satu mata pena yang tajam untuk menghuraikannya secara konsisten setiap minggu mengenai perkembangan politik semasa.

Kebanyakan tulisan Hisham dalam pojok dotmainya itu mengandungi satu cubaan beliau untuk memberi makna atau petunjuk kepada simbol, peristiwa dan juga perubahan yang berlaku. Hasilnya, pembaca dapat mengembangkan dan memperdalamkan keilmuan ke arah menjadi manusia yang bebas merdeka.

Namun, pokok persoalan saya ialah apakah petunjuk atau makna yang boleh kita kutip dari hari yang ke-500 ini? Apakah kejayaan dan kegagalan kita sepanjang tempoh 500 hari itu?

Buat Hisham dan tahanan ISA yang lain, 500 hari itu merupakan suatu ujian, didera secara fizikal serta mental. Itulah antara keperitannya. Tidak ada jangka waktu yang tepat. Boleh jadi 500 hari, 5,000 hari atau 50,000 hari. Atau boleh jadi infiniti.

Kesunyian boleh membunuh.semangat, jiwa, upaya hidup, fikiran, harapan. Setelah 500 hari melalui ujian getir ini, pasti ada yang berubah. Sama ada menang atau kalah.

Ketika kali terakhir saya berjumpa dengan Hisham pada hari perbicaraannya di mahkamah majistret Kuala Lumpur, kami bertentang mata dan dia melemparkan senyumannya pada saya sambil tangannya mengepal tinju tanda ayuh maju!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS