Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Sesiapa saja yang cintakan negara ini perlu memikul tanggungjawab bersama membanteras gejala perkauman. Bahayanya sama seperti penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh utama kita. Negara akan hancur jika ia tidak ditangani dengan sebaik-baiknya. Huru-hara akibat pergaduhan kaum mudah saja berlaku apabila jurang perkauman dibiarkan melebar.

Mana-mana negara termasuk Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum, sangat bergantung kepada keutuhan perpaduan kaum dalam menjamin kesinambungan keamanannya. Oleh itu, perkara yang boleh melebarkan jurang perkauman hendaklah ditegah dan dibanteras sama sekali. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Tidak salah untuk kaum-kaum di negara ini mengekalkan bahasa dan adat budaya masing-masing. Tetapi ianya tidak sepatutnya sampai ke peringkat mengasingkan anak-anak di sekolah mengikut kaum, yang akan mengakibatkan jurang perkauman semakin melebar.

Sudah menjadi pengetahuan umum, sekolah yang dibina mengikut kaum telah kelonggaran perpaduan kaum di negara ini. Nampaknya kita telah mengabaikan perkara yang lebih penting, iaitu perpaduan rakyat, semata-mata kerana mahu menjaga bahasa dan budaya kaum kita sendiri.

Dalam buku yang kita baca di sekolah rendah, Ali, Tong Seng dan Ramasamy merupakan kawan rapat yang bermain bola, pergi memancing, berkelah dan mandi sungai bersama. Tetapi persahabatan mereka hanya berlaku dalam buku saja. Realitinya, Ali bermain bola, memancing, berkelah dan mandi sungai hanya bersama Ahmad dan Abu.

Ini kerana Ali tidak pernah bertemu dengan Tong dan Ramasamy, jadi mana mungkin mereka dapat berkawan? Dan terlalu mustahil Ali dapat bertemu dengan Tong dan Ramasamy kerana mereka telah diaturkan untuk belajar di sekolah yang berasingan.

Memandangkan keamanan dan keharmonian itu amat penting, sepatutnya setiap orang mempunyai kesedaran bahawa menjamin keutuhan perpaduan kaum adalah lebih utama daripada yang lain-lainnya.

Bandingannya samalah seperti keinginan kita untuk memelihara harimau supaya tidak pupus. Memanglah bagus tetapi janganlah sampai ia mengancam kita dan ternakan kita sendiri!

Kekalkanlah bahasa dan budaya anak-anak ini mengikut kaum masing-masing seperti yang kita mahu, tetapi jangan sesekali sampai mengasingkan sekolah mereka mengikut kaum yang akibatnya akan mewujudkan jurang perkauman.

Halangan kepada perpaduan kaum ini kadang-kadang bertambah sukar apabila isu perkauman dipolitikkan oleh ahli politik.

Oleh kerana parti politik di negara kita berasaskan kaum, maka mereka cuba mencari populariti murahan menjadi hero kepada kaum masing-masing dengan membangkitkan isu perkauman.

Ahli politik yang bermatlamatkan kuasa akan mengambil kesempatan daripada segala isu untuk mendapatkan kuasa. Mereka menangguk di air keruh dalam mengejar cita-cita masing-masing. Malah mereka tidak segan silu memperalatkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih populariti, tanpa memikirkan akibatnya kepada keharmonian kaum.

Manakala ahli politik yang ikhlas dan jujur, berjuang mendapatkan pembelaan daripada penindasan, memperjuangkan agar keadilan dapat ditegakkan di kalangan manusia yang mungkin kebetulan kaumnya sendiri. Ahli politik yang ikhlas dalam perjuangan akan sentiasa diingati zaman berzaman seperti Abraham Lincoln dan Mahatma Ghandi.

Yang lebih buruk lagi ialah pemisahan kaum di sekolah terus dilanjutkan ke pejabat dan tempat kerja. Orang Melayu ramai bekerja di pejabat kerajaan manakala orang Cina pula berniaga atau bekerja di sektor swasta.

Sekalipun kita terpaksa berdepan dengan berbagai rintangan untuk menghapuskan sekolah mengikut kaum, namun ianya tidaklah sesukar untuk menghadapi rusuhan kaum yang mungkin berlaku jika sekolah seperti itu terus dibiarkan beroperasi.

Apalah gunanya kekayaan dan kemewahan yang dibina di atas 'minyak perkauman' kerana dengan sedikit percikan api saja, segala yang kita bina bertahun-tahun lamanya, akan musnah dan hilang dalam sekelip mata sahaja?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS