Agak mengelirukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan ditawarkan juga kepada mereka yang sudah memiliki rumah.
Mengikut laman web Perbadanan PR1MA Malaysia, PR1MA ditubuhkan untuk menyediakan perumahan gaya hidup berpatutan untuk rakyat berpendapatan sederhana di kawasan bandar-bandar utama.
Juga menurut kerajaan, pendapatan sederhana yang dimaksudkan adalah pendapatan bulanan isi rumah (suami dan isteri) antara RM2,500 hingga RM7,500.
Tetapi melalui kenyataan menteri ini, jelas objektif utama pelaksanaan PR1MA tidak diikuti.
Jika pembaca melayari laman web http://www.pr1ma.my/eligibility.html, masih jelas kelihatan salah satu kelayakan awal iaitu "tidak memiliki lebih daripada 1 hartanah sama ada anda atau pasangan anda jika ada".
Apa yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan dengan membenarkan pembeli yang yang sudah memiliki rumah untuk membuat permohonan rumah melalui PR1MA?
Jelas, kerajaan tidak berniat untuk mengurangkan beban rakyat yang menyara hidup di bandar dengan beban kos hidup yang semakin tinggi dan terus meningkat.
Golongan muda yang dalam keadaan tertekan untuk membeli rumah pada masa kini, akan lebih tergugat dengan pengumuman ini.
Pembeli rumah yang pertama terpaksa bersaing bersama pembeli yang sudah memiliki rumah semasa permohonan perumahan ini. Siapakah yang harus diberi keutamaan untuk memiliki rumah?
Bukankah perubahan dari segi kelayakan PR1MA ini akan menggalakkan lebih ramai untuk membeli rumah bagi tujuan pelaburan.
Ini merupakan realiti pada masa sekarang yang turut mengakibatkan spekulasi harga rumah yang melambung tinggi sekaligus menyukarkan seseorang untuk membeli rumah.
Secara praktikalnya, seseorang itu bukan boleh tinggal di beberapa rumah pada sesuatu masa. Tambahan alamat surat menyurat hanya tertumpu pada satu alamat kediaman yang rasmi sahaja.
Oleh itu, kerajaan harus memberi fokus utama kepada pembeli rumah pertama. Hak perumahan rakyat adalah suatu hak asasi manusia dan bukannya keuntungan semata- mata.
R THEVARAJAN koordinator Jerit.
