Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya terkejut sekali apabila membaca pelbagai komen yang dibuat oleh para ulama dan pertubuhan Islam yang begitu cepat sekali emosional dan melatah dalam isu kempen monogami yang dilancarkan baru-baru ini.

Gabungan pertubuhan kempen itu adalah mewakili ramai rakyat di Malaysia ini dan mereka ingin menganjurkan keluarga bahagia di mana suami dan isteri saling sayang-menyayangi dan memahami satu sama lain walau apa pun masalah yang melanda mereka dan suami tidak mengambil jalan mudah dengan berkahwin lain apabila merasa kurang bahagia.

Apabila sebuah ikatan perkahwinan dihayati sebagai "hidup mati kita bersama", maka pasangan akan lebih berusaha keras agar perkahwinan mereka berkekalan.

Apabila satu pihak merasakan mereka mempunyai "lesen" untuk lari dari masalah, maka mereka tidak akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Jadi, saya tidak nampak mana salahnya kempen tersebut.

Apalah salahnya jika para ulama dan persatuan Islam tersebut mengambil cara yang lebih berhikmah seperti ajak mengadakan perbincangan terbuka atau keluarkan hujah-hujah yang boleh menyokong dakwaan mereka bagaimana menggalakkan monogami itu boleh diertikan sebagai merosakkan akidah dan anti Islam?

Bagi yang menghujahkan bahawa poligini boleh menghindar maksiat, bukankah Nabi s.a.w. menganjurkan bahawa nafsu boleh ditundukkan dengan berpuasa?

Sepertimana ahli-ahli ugama menyarankan agar gabungan tersebut menumpukan pada gejala-gejala sosial lain, begitulah juga saya ingin menyarankan agar cerdik-cerdik pandai Islam memberikan buah fikiran mereka yang bernas dalam isu-isu perkembangan pemikiran manusia, hak-hak bersuara, dan hak-hak kemanusiaan.

Harapnya, sama-samalah para ulama turun ke padang semasa rumah-rumah peneroka bandar dirobohkan secara paksa, sama-sama menyiasat tentang kejadian yang berlaku di Kampung Medan contohnya dan cuba mendekati mereka yang dianggap tidak bermoral dan fahami bagaimana keadaan sedemikan boleh terjadi dan seterusnya bersama-sama dengan mereka yang tidak bermoral itu, cuba menangani masalah yang timbul..

Alangkah besarnya hati perempuan-perempuan yang dianiaya suami contohnya, jika ada ulama yang sanggup bersama-sama mereka mengharungi pahit maung kehidupan mereka. Persatuan dan pihak kebajikan yang memberi perlindungan terhadap mangsa aniaya juga tentu sekali merasa ringan di bahu mereka jika para ulama turut prihatin dan bersama-sama menyelesaikan masalah

perempuan-perempuan tersebut.

Islam juga akan tentu saja dipandang begitu indah sekali jika para ulama juga turut bersama-sama menganjurkan langkah-langkah agar suami dan isteri dapat sentisa berkasih-sayang antara satu sama lain dan seterusnya mempunyai keluarga bahagia, agar suami lebih prihatin pada isteri dan rumahtangga, lebih penyayang, agar suami melihat isteri bukan saja pada kecantikan luarnya malah menyayangi isteri kerana budi dan semangat isterinya, meningkatkan tahap komunikasi antara suami isteri dan seterusnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS