Pemuda PAS Perak menggesa kerajaan negeri serius dalam membasmi gejala sosial khususnya dari kalangan generasi muda pada sambutan tahun baru nanti.

Jika dilihat pada setiap tahun, Pemuda PAS tidak nampak keseriusan kerajaan untuk membasmi masalah itu sebaliknya mengundang kepada masalah itu berleluasa dengan penganjuran program-program yang tidak menepati syarak.

Ia juga sekali gus melanggar etika yang digariskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

Pemuda PAS menggesa kerajaan negeri melalui agensinya termasuklah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) agar lebih proaktif untuk meninjau perjalanan sambutan tahun baru khususnya di kawasan-kawasan tumpuan masyarakat agar aktiviti maksiat tidak sewenang-wenangnya berlaku.

Dalam penganjuran program sambutan tahun baru pada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan negeri langsung tidak sensitif dengan batasan agama apabila perjalanan program tersebut tidak menepati garis panduan yang diajar oleh Islam.

Kerajaan Perak seharusnya mencontohi kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menganjurkan program-program bersifat keagamaan di malam tahun baru dengan menampilkan tokoh agamawan dan selebriti yang menjadi tarikan ke arah kebaikan.

Ini secara tidak langsung mengurangkan kes gejala sosial di samping menarik minat masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama ke majlis yang lebih bermanfaat.

Malam tahun baru ini adalah salah satu medan dakwah kepada masyarakat melalui penganjuran program-program bermanfaat namun ianya terletak kepada kebijaksaan kerajaan.

Justeru, Pemuda PAS memberikan harapan tinggi kepada kerajaan untuk mengerjakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin pada malam tahun baru ini.

Pemuda PAS akan turun meninjau di samping mengambil peluang itu untuk menyebarkan dakwah dalam kelompok masyarakat nanti!


MOHD SYAMSUL ALAUDIN ketua penerangan Pemuda PAS Perak.