Ketika tentera Amerika Syarikat mengisytiharkan perang ke atas Iraq beberapa bulan lalu, beribu-ribu rakyat Malaysia turun berdemonstrasi di depan Kedutaan Amerika, manakala beratus ribu lagi telah berhibur sambil mendoakan keamanan di Stadium Bukit Jalil dengan sokongan kerajaan Malaysia.
Beberapa hari lalu, kerajaan Indonesia juga telah mengisytiharkan perang. Cuma kali ini, perang diisytiharkan ke atas sebuah daerah dalam negaranya sendiri, Aceh.
Menurut mereka, peperangan tersebut perlu untuk 'menghapuskan' elemen-elemen gerakan kemerdekaan GAM (Gerakan Aceh Merdeka).
Sebenarnya, perang secara senyap-senyap memang telah lama bertapak di Aceh. Tentera Nasional Indonesia (TNI) selama ini telahpun menjalankan operasi ketenteraan di daerah itu secara kejam dan zalim.
Alasan yang digunakan adalah mereka merupakan penyokong GAM. Beribu-ribu rakyat Aceh telah menjadi mangsa peperangan yang tidak diisytiharkan itu.
Perbezaannya kali ini ialah Presiden Indonesia mengisytiharkan peperangan secara terbuka - namun kesannya tetap sama. Lebih ramai orang awam yang akan terkorban dalam kancah peperangan ini.
Kehidupan rakyat Aceh yang selama ini telah terseksa di bawah pemerintahan kerajaan Indonesia, akan menjadi bertambah tenat. Sudah tentu penggunaan tentera dan kekerasan ini akan menjadikan keadaan politik lebih tidak stabil di daerah itu.
Sudah tentu peperangan tidak mampu menyelesaikan konflik ini yang pada awalnya disebabkan oleh kemarahan rakyat Aceh terhadap eksploitasi kekayaan hasil bumi Aceh yang dimakan kerajaan Indonesia, sedangkan rakyat Aceh terus hidup dalam kesusahan dan kemiskinan.
Namun yang lebih membimbangkan ialah krisis kemanusiaan yang akan timbul daripada peperangan ini. TNI mengatakan operasi ketenteraan kali ini bertujuan untuk memulihkan bantuan kemanusiaan kepada Aceh - namun berdasarkan rekod lalu, sudah tentu kehadiran mereka akan menjadikan kehidupan rakyat Aceh lebih tertekan.
Jika kita di Malaysia boleh menentang peperangan di Iraq atas dasar kemanusiaan, kita juga wajib menentang peperangan di Aceh. Dari segi politik pula, sudah terbukti kerajaan Indonesia tidak menggunakan kesempatan untuk menyelesaikan isu ini tanpa perlu mengisytiharkan perang.
Malah, mereka telah menangkap wakil-wakil GAM yang seharusnya bertolak dari Aceh untuk berunding di Jepun pada 17 Mei lalu, tetapi selepas itu, mereka pula menuduh GAM tidak mahu meneruskan rundingan.
Dr Mahathir telahpun menyatakan beliau mahukan penyelesaian secara aman dalam isu Aceh. Rakyat Malaysia juga telah membuktikan mereka anti-perang dalam isu Iraq.
Oleh itu, kita perlulah meneruskan agenda anti-perang kita dengan mengutuk tindakan ketenteraan terhadap Aceh dan memberikan tekanan kepada Indonesia untuk mencari penyelesaian secara aman.
Sekurang-kurangnya dengan adanya tekanan dari luar, tentera Indonesia tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan kekejaman ke atas rakyat Aceh seperti yang telah mereka lakukan selama ini.
Kita telah menunjukkan solidariti dengan rakyat Iraq ketika menentang tindakan Amerika menyerang negara itu - mengapa pula kita tidak menunjukkan solidariti dengan jiran kita di Aceh yang turut menjadi mangsa kekejaman perang?
