Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebuah karya yang berjudul “alksnaabknuaunmo” karya artis Cheng Yengpheng dilaporkan telah dikeluarkan daripada pertandingan untuk Anugerah Bakat Muda Sezaman 2013, mengundang pelbagai persoalan.

Karya yang dimaksudkan itu adalah sebuah catan yang disembur dengan cat putih dengan perkataan “ABU=ASHES” itu, telah dipilih oleh panel juri ke peringkat akhir pertandingan tersebut.

ABU ialah akronim ‘Asal Bukan Umno’ yang menjadi grafiti popular oleh aktivis yang membantah kerajaan Umno.

Kita ingin sekali mengetahui apakah justifikasi pihak penganjur mengeluarkan karya beliau yang telah terpilih ke peringkat akhir oleh para juri profesional dengan cara yang penuh persoalan itu.

Setakat ini, menurut laporan portal Malaysiakini , pihak juri juga tidak mengetahui akan hal ini dan pihak penganjur tidak memberi apa-apa penjelasan berhubung perkara tersebut.

Keadaan ini sangat mengelirukan dan kita mendesak pihak penganjur tampil memberi penjelasan demi menunjukkan komitmen dan profesionalisme mereka, malah ia adalah keadilan kepada pelukis.

Kami memandang berat isu ini kerana ia seakan satu tindakan tidak profesional pihak tertentu yang sekaligus mencabul hak dan kebebasan berkarya oleh pelukis.

Propaganda Tanda Putera

DAP pada prinsipnya meraikan kebebasan berekspresi dan kreativiti sesuai dengan prinsip asas kebebasan dalam konteks demokrasi.

Tindakan ini juga telah melangkaui hak dan kebebasan berekspresi dan kreativiti, malah ulasan pelukis juga menjelaskan lagi bahawa karya beliau adalah karya seni yang mengangkat ruang idea yang melangkaui politik picisan.

“Saya bermain-main dengan idea ruang lukisan, ruang pameran dan pendirian politik dalam ruang institusi.”

Kita juga melihat perkara ini sebagai kesinambungan penindasan terhadap pengkarya sepertimana karya Ernest Zacharevic yang telah melakar mural-mural sosial kritiknya didinding-dindang kawasan awam.

Begitu juga dengan karya-karya lain seperti video ‘Onederfull Malaysia’ terbitan Teresa Kok termasuk karya-karya terdahulu seperti “Negara Kuku”.

Sebaliknya, karya-karya propaganda kerajaan seperti Tanda Putera diberi ruang meluas dalam arena penghayat termasuk liputan media kepada pembuat filem untuk menjelaskan kontroversi filem tersebut.

Tetapi dalam siri-siri penindasan kepada karya yang kritikal, ia tidak berlaku.

Secara prinsipnya, kita menyokong usaha para artis, pemuzik, seniman dan pelukis yang tampil dengan karya-karya yang membawa semangat demokrasi, kepelbagaian dan estetika yang tinggi sebagai lambang Malaysia yang lebih progresif.


MAHDZIR IBRAHIM setiausaha politik kepada pengarah biro pendidikan politik DAP yang juga peminat dan pendukung seni dan kebudayaan.

ADS