Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Pada pandangan saya, kaitan antara sains dan agama secara asasnya tidak ada banyak perbezaan. Sains secara asas membawa maksud "cabang ilmu yang sistematik untuk menerangkan fenomena alam".

Agama secara asas membawa maksud "kepercayaan tentang kebenaran mengenai kehidupan (atau tuhan)". Maka, secara asasnya sains dan agama adalah mengenai kebenaran dan jika kita mempunyai kepercayaan kepada agama dan sains, kita perlu yakin bahawa 'kebenaran yang mutlak wujud' tetapi mustahil untuk kita capai melalui minda kita yang terhad.

Kebenaran juga adalah terhad kepada 'ilmu' yang kita ada pada sesuatu masa, dan ia adalah dinamik dari segi penghayatan dan tafsirannya. Misalannya, Islam secara asas adalah pengabdian kepada tuhan yang esa.

Namun, terdapat banyak cara untuk kita mengabdikan diri kita kepada tuhan. Mungkin kalau hendak diikutkan secara Mahathirisme , kita perlu belajar daripada bangsa lain untuk mencari ilmu yang berguna.

Mungkin kalau hendak diikutkan secara Anwarisme, kita perlu menghidupkan semangat keilmuan supaya kita boleh menghasilkan ilmu sendiri yang berasaskan keperluan dan orientasi tempatan (seperti yang dicadangkan dalam buku Asean Renaissance).

Pada hemat saya, kedua-duanya adalah baik, dan adalah lebih sihat bagi para akademik untuk melihat kedua-duanya sebagai strategi untuk menghidupkan ilmu dan bukannya dua pandangan yang 'antagonistik' antara satu sama lain.

Sains mempunyai terlalu banyak faedah yang boleh disumbangkan kepada masyarakat dan ia boleh membantu kita jika kita menggunakannya dengan cara yang paling ringkas. Dengan memasukkan elemen politik dalam pengertian sains, hanya akan mengalihkan perhatian kita kepada perkara-perkara yang kurang membina dari segi perkembangan ilmu.

Ini bukan bermaksud bahawa kita tidak patut berbahas mengenai kesan 'pemikiran tokoh-tokoh tertentu' kepada perkembangan sains, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah kesan penulisan seperti ini (mungkin murni dari hasrat asal penulisnya) boleh memberi pengaruh yang kurang sihat kepada pembaca yang kurang arif mengenai falsafah sains.

Bagi sesetengah pembaca yang mudah terikut-ikut dengan orientasi politik, ini boleh membawa kepada pembaca untuk memilih mana yang lebih baik, pemikiran Mahathirisme (ekonomisme) atau Anwarisme,(islamisme)?

Jika salah ditafsirkan, seolah-olah penulis Fathi A Omar secara tidak langsung melabelkan imej sekular kepada Dr Mahathir dan imej Islam kepada Anwar. Pada saya, ini adalah terlalu dogmatik dan tidak membawa faedah kepada pembangunan sains di Malaysia.

Dalam sudut pandangan yang lain pula, sains dan agama jika kita alihkan daripada konteksnya yang asli adalah terbuka kepada ekploitasi atau pembinaan sosial ( social construction ).

Sains dan agama hanya boleh kekal dalam konteksnya yang asli (kebenaran) jika ia dikendalikan oleh seorang individu yang ingin mencari kebenaran untuk dirinya sendiri ataupun jika individu tersebut, dalam menyampaikan maklumat mengenai sains dan agama, tidak mengambil endah atau terganggu dengan kehendak si pendengar.

Namun, sebaik sahaja agama dan sains mula digunakan untuk keperluan masyarakat, kehendak masyarakat seringkali mengubah sedikit sebanyak kebenaran tersebut, walaupun bukan secara sengaja.

Malah, persekitaran dan organisasi sosial dalam makmal dan universiti juga boleh mengganggu kebenaran sains. Bagi sesetengah saintis seperti Dr Syed Alwi Ahmad dalam suratnya yang bertajuk ' Science is not coloured by culture ' (Sains tidak diwarnai oleh kebudayaan), ini sukar untuk diterima dan bagi beliau sains adalah ' value neutral ' (nilai berkecuali).

Pada saya, pandangan seperti ini juga kurang berguna kerana saintis perlu sedar mengenai kesan masyarakat terhadap sains dan sejauhmana penilaian santifik mereka boleh diterima pakai. Ini juga penting untuk mengelakkan diri mereka daripada diekploitasikan atas nama sains.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS