Saya merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh Utusan Malaysia tentang kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, mengenai pemanggilan pulang pelajar Malaysia di luar negara kerana didapati "terlibat dalam kegiatan yang bertentangan dengan dasar kerajaan".
Menurut Abdul Aziz, pelajar tersebut tidak akan dibenarkan lagi mengikuti pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) milik kerajaan kerana biasiswa yang digunakan oleh mereka semasa di luar negara adalah wang rakyat dan tidak seharusnya mereka membuat sesuatu perkara yang bertentangan dengan amanah yang telah diberikan.
Malah, katanya, kerajaan tidak akan bersimpati sama sekali dengan pelajar yang terlibat ini. Baru-baru ini tiga pelajar termasuk yang membuat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di United Kingdom dan Ireland diarah pulang selepas biasiswa mereka ditarik balik kerana dikatakan terbabit dalam kegiatan tersebut.
Selain itu kira-kira 20 penuntut yang sedang mengikuti pelbagai kursus di institut pengajian tinggi juga di United Kingdom dan Ireland telah diberi amaran keras atas alasan yang sama.
Saya, sebagai rakyat biasa di negara 'demokrasi' lagi 'serba boleh' ini, tidak begitu pasti sama ada ingin melahirkan kekecewaan atau ingin ketawa dengan tindakan terburu-buru kerajaan Barisan Nasional yang sebenarnya amat merugikan seluruh rakyat dan negara ini.
Ini adalah kerana tindakan hanya menggambarkan kebebalan pemerintah yang semakin tersepit akibat kehilangan sokongan dari golongan cerdik pandai. Ini amat merugikan kerajaan sendiri kerana ia akan terus membuatkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan akan terus memprotes dalam senyap.
Nampak kerajaan bolehlah melupakan sahaja hasrat untuk memanggil pulang saintis atau pakar-pakar dari pelbagai bidang yang kini bertugas di luar negara sekiranya tindakan kurang bijak seperti ini diteruskan.
Malahan, syarikat gergasi multinasional juga akan turut memikirkan semula pelaburan mereka sekiranya soal 'pilih bulu politik' terhadap golongan intelek ini berterusan. Ini adalah kerana mereka cuma mahukan pekerja yang terbaik tanpa mengira fahaman politik masing-masing.
Saya yakin pelajar-pelajar yang telah dipanggil pulang ini tidak akan hidup melarat semata-mata kerana tidak dapat meneruskan pengajian mereka, sebaliknya akan terus berusaha lebih gigih serta berkorban wang ringgit untuk mencapai cita-cita murni mereka. Bagi mereka yang yang sudah mempunyai sekeping dua ijazah, sebenarnya pasaran kerja di negara luar boleh menggamit mereka bila-bila masa sahaja.
Yang rugi ialah kerajaan dan rakyat sendiri. Kalau beginilah sikap pemerintah, suatu hari yang tinggal di negara ini cumalah graduan-graduan yang tidak tahu berfikir serta golongan pak turut. Kalau qualiti seperti ini sahaja yang IPTA boleh lahirkan, lebih baik kita ucapkan sayonara kepada Wawasan 2020 Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai pembayar cukai pendapatan, saya ingin bertanya kepada Abdul Aziz bahawa siapakah sebenarnya 'hakim' dalam soal ini? Bolehkah laporan-laporan SB kerajaan seperti ini dipercayai bulat-bulat oleh Kementerian Pendidikan?
Apakah kriteria sebenar dalam mendefinisikan tindakan 'menentang dasar kerajaan' tersebut? Apakah cakap-cakap tidak bersetuju dengan kerajaan sahaja sudah memadai? Saya berpendapat Abdul Aziz perlu menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ianya melibatkan soal keadilan, wang rakyat dan masa depan negara.
Tahukah Abdul Aziz bahawa semakin teruk pelajar di tekan, semakin ramai yang memprotes secara diam. Abdul Aziz mungkin menangis sekiranya beliau tahu bahawa kebanyakan pensyarah dan pelajar 'celik politik' di IPTA sebenarnya begitu kritikal dengan kerajaan dan hampir dengan parti pembangkang.
Bagaimanapun mereka ini tidak lagi bersuara lantang seperti suatu ketika dahulu kerana bimbang tindakan diambil terhadap mereka. Nampaknya Akujanji dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebenarnya menipu kerajaan sendiri.
Tetapi ingatlah, mereka ini akan turut diberikan sekeping kertas undi dan sebatang pensil bila tiba masanya nanti. Ketika itu, tiada lagi Abdul Aziz atau Datuk Noh Omar untuk menakutkan mereka. Sebaliknya, mungkin Abdul Aziz dan Noh Omar yang menggigil ketakutan.
