Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Parti politik Melayu-Islam didakwa pesong istilah sekular

Saya merujuk kepada surat pembaca yang disiarkan di malaysiakini yang bertajuk ' Parti politik Islam takutkan masyarakat dengan istilah sekularisme '. Buat saya tiada salahnya dan tidak berdosa bagi seorang Melayu-Islam mengaku percaya kepada pemerintahan sekular dan demokratik.

Tamadun dunia hari ini dibentuk hasil pemikiran sekular. Namakanlah sahaja ahli falsafah besar yang mencorakkan tamadun dunia hari ini - daripada Plato, Socrates, hinggalah kepada Rousseau, Sartre, Foucoult, Toffler, Chomsky dan Fukuyama - kesemuanya lahir hasil pemikiran sekular.

Sekular bukan bermakna kehidupan yang hedonistik dan materialistik sepertimana yang sering digambarkan oleh penceramah parti politik Melayu-Islam, khususnya PAS dan Keadilan.

Negara sekular seperti di Skandinavia (Sweden, Finland, Denmark, Norway dan Iceland) yang mengamalkan sistem pemerintahan sekular dan demokratik adalah antara negara yang mempunyai kadar jenayah terendah di dunia.

Bukan setakat itu sahaja, negara sekular ini juga menjaga kebajikan dan kesejahteraan setiap warganya dengan menyediakan pendidikan secara percuma, dari peringkat rendah hinggalah ke universiti, kos kesihatan yang murah dan termampu oleh semua orang, rumah yang manusiawi untuk setiap warganegaranya dengan kadar harga yang mampu dibeli oleh semua orang serta penjagaan dan membiaya warga tua mereka.

Di negara-negara ini, dari segi politiknya mereka sangat demokratik dan dari segi pengurusan ekonominya pula, adil dan saksama di mana hasil kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat melalui penyediaan keperluan asas seperti rumah, pendidikan, kesihatan dan sebagainya, secara murah atau percuma. Dan negara-negara ini adalah negara sekular !

Inilah yang tidak diterangkan oleh penceramah parti politik Melayu-Islam, terutamanya PAS dan Keadilan, kepada masyarakat. Mereka sebaliknya memesongkan fakta-fakta ini, dengan menyamakan istilah sekular ini dengan sesuatu yang tidak bermoral dan tidak berakhlak.

Mereka sering memfitnah dan mentohmah istilah sekular ini dengan kehidupan hedonistik dan materialistik.

Sedangkan saya yakin, jika mereka diminta mereka memberi contoh negara Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan demokratik dan menjaga kebajikan rakyatnya seperti negara di Skandinavia ini, nescaya mereka pasti gagal untuk menamakannya walaupun satu !


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS