Merujuk kepada surat yang bertajuk ' Parti politik Melayu-Islam didakwa pesong istilah sekular ' yang ditulis oleh Nor Azhar Ahmad, saya ingin menekankan bahawa istilah 'sekularisme' telah dicemar, dipesong dan diperalatkan oleh semua pihak.

Ia termasuk semua parti politik dan gerakan bukan-kerajaan (NGO) sibil di Malaysia, dan bukan sahaja PAS dan Keadilan sepertimana didakwakan olehnya. Ini merupakan suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak di Malaysia dewasa ini.

Tujuan saya bukanlah untuk membela nasib PAS atau Keadilan (dan saya sendiri telah membuat dakwaan yang agak sama dalam tulisan-tulisan saya tidak berapa lama lalu).

Tetapi dakwaan sebegitu patut dibuat dalam konteks suasana politik semasa, dengan mengambil kira segala faktor lain yang terlibat juga, termasuk segala aktor dan agen yang terlibat dalam proses menyalahgunakan dan menginterpretasi semula konsep 'sekular' itu.

Dari dekad 80-an lagi kita telah lihat bagaimana istilah 'sekularisme' itu telah dipesong dan diberi suatu interpretasi yang lain - malah interpretasi yang ganjil dan tak padan - oleh golongan politikus di Malaysia ini, baik dari puak PAS ataupun Umno.

Apabila perdana menteri kita sendiri membuat dakwaan - bahawa 'di alam sekular barat' itu, masyarakat barat hidup tanpa moral, tanpa batasan dan melakukan segala aktiviti yang dianggap keji, jijik dan haram - bukankah itu suatu contoh pemimpin Umno yang menyalahgunakan dan memesong konsep sekularisme?

Bukankah ini suatu contoh pemimpin Asia yang menggunakan stereotaip negatif untuk memburukkan imej dan nama baik masyarakat asing? Malah, jika ditinjau dengan teliti, memang jelas bahawa pemimpin Umnolah yang memulakan proses mengkambinghitamkan konsep sekularisme, dengan mengedepankan suatu gambaran yang tidak tepat, berlandaskan stereotaip negatif dan ide-ide bersifat essentialist.

Segala fitnah yang dilemparkan kepada konsep sekularisme itu berlaku pada waktu yang sama di mana kerajaan Malaysia dan Singapura cuba mempromosikan konsep 'nilai-nilai Asia' yang sebenarnya hanya suatu wacana yang bersifat instrumental dan ideological, khususnya untuk membolot authoritas atau kewibawaan agar segala polisi dan projek yang dilaksanakan mereka pada masa itu, dapat digambarkan sebagai projek yang mencerminkan nilai-nilai Asia yang diagung-agungkan itu.

Projek-projek yang tidak membawa faedah atau manafa'at kepada masyarakat umum dianggap bukti bahawa 'Asia boleh' dan bahawa nilai-nilai Asia itu dapat melahirkan suatu masyarakat berdisiplin, suatu sistem politik dan ekonomi yang dinamik dan progresif.

Tetapi pemimpin-pemimpin ini lupa - dengan sengaja - bahawa perkembangan ekonomi di Asia itu tidak seimbang dan hanya dijamin kerana adanya suatu budaya politik yang bersifat authoritas dan totalitarian, sama dengan perkembangan yang berlaku dalam zaman lampau era dewa-raja, di mana pemimpin itu dianggap seakan dewa di kalangan makhluk biasa.

'Disiplin' masyarakat Asia itu dijamin oleh undang-undang yang bersifat represif dan zalim, yang tidak ada apa-apa kaitan dengan falsafah dan moraliti Asia yang disebut oleh tokoh-tokoh Asia seperti Syed Sheikh al-Hadi, Rabindranath Tagore, Mahatma Gandhi atau Muhammad Iqbal...

Pemimpin Asia memang gemar dengan aktiviti 'rekreasi' mereka iaitu menghentam dan mencaci tamadun barat dan juga nilai-nilai 'barat'. Namun demikian, golongan politikus Malaysia dan Singapura tidak dapat menafikan pencapaian golongan ahli falsafah, sarjana dan ilmuan barat, yang telah menghasilkan ide-ide dan nilai-nilai murni seperti konsep demokrasi berpalimen, hak asasi politik, kebebasan berfikir dan hak perkerja, yang masih relevan dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini.

Malah model pembangunan Asia itu sendiri ditiru bulat-bulat dari Barat, dan bukan dari Asia Tengah, Amerika Selatan atau mana-mana tamadun yang lain. Jika PAS dan Keadilan dituduh memesong konsep 'sekularisme' itu semata-mata untuk agenda politik mereka, maka para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) juga patut dikutuk dan dikritik kerana pandangan sempit, bersifat perkauman dan essentialist mereka.

Malah, boleh dikatakan bahawa Umno-BN telah memainkan peranan yang lebih ketara dan negatif dalam proses memburukkan nama dan imej sekularisme itu, kerana merekalah yang menggunakan segala instrumen media masa yang berada di bawah naungan mereka untuk memperkuatkan gambaran negatif itu.

Hari ini kita hidup dalam konteks masyarakat Malaysia yang tidak lagi kenali atau fahami istilah dan konsep-konsep politik seperti perbezaan kelas, struktur dan relasi kuasa. Proses 'de-politicisation' ini telah berjalan lancar kerana rangka wacana politik di Malaysia ini telah dialihkan kepada suatu alam paradigma baru, yang tidak lagi berlandaskan konsep dan nilai-nilai politik sekular, tetapi wacana agama dan nilai-nilai keagamaan.

Memang jelas sekali bahawa PAS telah memperalatkan agama untuk kehendak politiknya sendiri, tetapi Umno juga bersalah kerana pemimpinnya telah cuba membidas saranan pemimpin PAS dengan mengunakan istilah dan wacana yang sama.

Perlumbaan di antara Umno dan PAS yang kadangkali diberi gelaran 'Islamisation race' itu telah memesongkan perspektif dan fahaman politik tanahair, sehingga kita telah sampai ke suatu tahap di mana segala diskusi tentang politik terpaksa dijalankan melalui lensa keagamaan.

Dalam kasus ini, PAS dan Keadilan hanya memainkan peranan 'pak turut'. 'Tukang karut' nombor satu yang telah memesongkan fahaman sekularisme itu tidak lain dan tidak bukan Umno-BN sendiri!