Janji PAS untuk mengemuka dua manifesto - satu di negeri yang ditandinginya dan satu lagi di peringkat persekutuan dengan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu langkah strategik yang bijak.
Malah seorang penulis kolum di malaysiakini ( Bumi Dipijak ) telah menggunapakaikan kata-kata seorang strategis Cina "apa yang ditentang musuh hendaklah kita sokong, dan apa yang disokong musuh hendaklah kita tentang" sebagai alasan menyokong keputusan PAS itu.
Menurut penulis kerana strategik ini memang ditentang oleh Barisan Nasional dan maka ia "haruslah kita sokong".
Menganggap BN sebagai musuh memang satu pendirian yang betul kerana ia menafikan hak demokratik rakyat sepanjang tempoh 46 tahun pemerintahannya. Tetapi adakah wajar seseorang itu menyokong apa sahaja yang "ditentang" oleh BN (dua manifesto) demi menjatuhkannya, tanpa menilai sifat sebenar strategi dua manifesto yang disokongnya itu?
Penulis berharap semua pihak akan mengambil sikap berhati-hati dalam soal ini supaya tidak merosot menjadi oportunis yang akhirnya menggadaikan hak kerakyatan dan hak asasi manusia rakyat jelata demi kuasa politik.
Pendekatan dua manifesto yang diambil oleh PAS, pada hemat penulis, merupakan strategi serampang dua mata PAS, dan perangkap dua tingkat untuk Keadilan serta rakyat Malaysia yang menyokong Barisan Alternatif, yang dianggotai PAS dan Keadilan. Ada tiga alasan yang ingin dikemukakan di sini:
Pertamanya, Malaysia adalah sebuah persekutuan. Perhubungan antara Persekutuan dengan negeri-negeri adalah dikawal mengikut Bahagian 6 Perlembagaan Persekutuan dan secara ringkasnya, kuasa setiap negeri dalam hal perundangan adalah dihadkan oleh peruntukan-peruntukan di bawah Jadual Kesembilan <Senarai Perundangan>.
Mana-mana tindakan atau perundangan negeri yang melanggari batasan yang digariskan oleh Jadual Kesembilan ini adalah "terbatal" dan "undang-undang persekutuan hendaklah dipakai" (Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan).
Berdasarkan prinsip di atas, PAS tidak boleh dan tidak harus menjanjikan sesuatu yang jelas melanggari Perlembagaan Persekutuan yang merupakan batu asas penubuhan Malaysia. Sekiranya prinsip ini tidak dipatuhi, maka rasional kewujudan Perlembagaan Persekutuan, malah Persekutuan Malaysia, turut menjadi tanda-tanya.
Keduanya, dengan membentangkan Manifesto Negara Islam yang berasingan untuk setiap negeri yang ingin ditawannya, PAS telah membelakangkan Manifesto Bersama BA yang dikemukakan kepada rakyat Malaysia dalam pilihanraya 1999. Melainkan perubahan drastik dibuat ke atasnya, ia dijangka terus menjadi teras manifesto BA untuk pilihanraya umum akan datang.
Manifesto Bersama BA pada 1999 berjanji akan "menghormati prinsip-prinsip asas Perlembagaan Malaysia" (<Janji Kami>, m/s 8 Ke Arah Malaysia Yang Adil). Ini termasuklah sistem persekutuan dan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan). Tidak wujud mana-mana fasal yang mengatakan Malaysia sebuah Negara Islam atau Undang-undang Islam akan menjadi teras perundangan negara ini.
Apakah penjelasan yang dapat dikemukakan oleh Keadilan, melainkan PAS ada hak demokratik untuk menyarankan bentuk kerajaan yang dihasratkannya!
Bagaimanakah Keadilan dapat menyakinkan rakyat bahawa apabila BA menjadi kerajaan nanti, PAS - yang dijangka mendapat lebih banyak kerusi dan menjadi parti terbesar dalam "'Kerajaan BA' - akan menepati janjinya tidak akan melaksanakan undang-undang Negara Islam, sedangkan PAS kini secara terbuka membelakangkan Manifesto BA?
Ketiga, sepertimana yang disebutkan awal tadi, strategi dua manifesto in merupakan strategi serampang dua mata untuk PAS dan perangkap dua tingkat untuk Keadilan dan rakyat jelata. Strategis PAS memang pintar kerana berjaya merangka strategik yang begitu sempurna untuk parti itu.
Tanpa membelakangkan matlamatnya untuk menubuhkan Negara Islam di Malaysia (hanya sekadar tidak sebut perkara ini buat seketika demi memastikan Keadilan mendapat sokongan di Pantai Barat), PAS berpegang teguh dengan janji Negara Islamnya, kali ini di Kedah dan Perlis (mungkin juga di Pahang?)
"Negeri Islam" yang sedia ada pada masa kini (sungguhpun kuasa pelaksanaan hudud masih disekat peruntukan Perlembagaan Persekutuan) ialah Terengganu dan Kelantan. Di kedua-dua negeri ini, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukan BN adalah wakil PAS. Maka mereka ini lebih sesuai digelar sebagai kerajaan negeri PAS dan bukannya kerajaan negeri BA.
Tetapi bagaimana pula dengan Kedah dan Perlis sekiranya ditakdirkan kerajaan negeri BN di kedua-dua negeri itu, tewas dalam dalam pilihanraya umum akan datang? Katakanlah Adun di kedua-dua negeri itu bercampur aduk dengan wakil PAS dan Keadilan, apakah jenis 'kerajaan negeri' yang bakal ditubuhkan? Negeri Islam PAS seperti dijanjikannya dalam manifesto negeri, atau negeri sekular/separa sekular, mengikut Manifesto bersama BA dan Perlembagaan Persekutuan?
Kalau PAS mendapat lebih kerusi, berbanding Keadilan di kedua-dua negeri itu, adakah wakil Keadilan akan menjadi Adun pembangkang kerana parti itu tidak menyokong manifesto negeri PAS yang memperjuangkan Negeri Islam.
Atau mereka turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri PAS/BA dan melaksanakan manifesto negeri Islam PAS - sungguhpun ia bertentangan dengan janji kepada penyokong BA yang tidak menyetujui konsep negara Islam PAS - dan di atas kepercayaan itu, telah memberikan undi mereka kepada Keadilan?
Delima ini mesti dijawab sekarang dan sebelum pilihanraya umum yang akan datang, supaya rakyat mendapat gambaran sempurna mengenai pendirian politik BA amnya dan Keadilan khasnya. Jika tidak, Keadilan akan dituduh cuba mendapat kebaikan daripada kemenangan PAS dan turut mengaburi mata rakyat jelata mengenai pendirian sebenarnya berhubung isu Negara Islam ini.
Kesimpulannya, penulis ini ingin mengulangi seruannya di permulaan tulisan ini - sementara kita mahu menumpaskan musuh kita, janganlah kita dibutakan oleh perasaan benci yang membara dan menyokong apa sahaja yang ditentang oleh BN, dan akhirnya mempelawa sesuatu yang tidak selaras dengan kehendak dan kepentingan rakyat, yang kita tiada berupaya menentangnya kerana PAS menyatakan penubuhan Negara Islam adalah "Perintah Tuhan"?
