Yang Berhormat Dato' Chua Jui Meng
Menteri Kesihatan Malaysia
Kami pelajar-pelajar Kementerian Kesihatan Malaysia dari Pantai Institute of Health Science & Nursing yang menetap di kediaman Greenpark Condominiums ingin menarik perhatian YB Dato' kepada perkara-perkara berikut:
a) Tempat penginapan
Kami telah diarahkan untuk berpindah ke Flat Pantai Hill sebelum akhir bulan ini tanpa alasan. Kami suka Greenpark kerana lengkap dengan kemudahan dan yang penting sekali pihak pengurusan Greenpark ada membekal servis penghantaran pada waktu kecemasan (tidak kira masa).
Ramai senior kami telah menyuarakan keadaan yang sangat kurang memuaskan di Pantai Hill. Lagi pun kami berasa selesa tinggal di Greenpark. Kami dimaklumkan, Pantai Hill Flat tidak ada perkhidmatan keselamatan dan "kaki intai" sentiasa merayau di sekitarnya. Kami sangat risaukan keselamatan kami.
Kami bersetuju berpindah sekiranya tempat baru lebih selesa dengan kemudahan yang lebih baik. Kami tidak bersetuju berpindah ke Pantai Hill kerana kami dimaklumkan tempat tersebut tidak selesa kerana senior kami yang tinggal di sana, telah memberitahu kami mengenai kesusahan mereka kerana rumah yang rosak tidak dapat dibaiki. Greenpark sudah menjadi "bahan cemburu" senior dan junior yang duduk di Pantai Tower Apartment (Bangunan di sebelah Pantai Hill Flat).
Kemudahan seperti kantin menjual makanan dan minuman, kedai dobi, kedai runcit, pusat komputer, servis fotostat, kemudahan rekreasi dan lain-lain tidak dibekalkan di Pantai Tower dan Pantai Hill.
b) Waktu pembelajaran
Kami diperlukan berada di kolej dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Walaupun ada kala kelas kami telah habis pada jam 3.30 petang, kami tidak dibenarkan balik. Kami bercadang waktu belajar bermula dari 8 pagi hingga 4.30 petang, sama seperti kolej kejururawatan yang lain.
Waktu "posting" yang terlalu panjang berbanding dengan waktu pembelajaran kelas, telah mengakibatkan banyak matapelajaran ditangguhkan dan dibawa ke semester yang akan datang.
c) Pentadbiran
Majoriti pelajar tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran pihak Pantai Institute. Adakah patut seorang pengetua mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami sedangkan dia juga seorang wanita seperti kami? Dia juga terlalu gemar bermain dengan "surat amaran". Adakah wajar seorang pengetua mengugut untuk "menamatkan" kontrak pelajar KKM hanya kerana perkara-perkara kecil?
Apabila kami bersuara tentang ketidakwajaran akan tindakannya itu, kami akan mendapat tindakbalas dan balas dendam di dalam keputusan peperiksaan, di mana markah kami dikurangkan sedangkan jawapan yang diberi adalah betul.
Pengetua juga ada berkata yang dia tidak mahu menerima kami - pelajar KKM di kolejnya kerana mengikuti katanya, kami telah banyak memberikan masalah kepadanya dan kolejnya.
Institut Pantai hanya menyediakan empat orang CI (clinical instructor) untuk lebih kurang 300 pelajar. Jumlah CI yang tidak cukup menyebabkan kami kekurangan "cross". Kami terpaksa mengejar CI bagi mendapatkan "cross" menyebabkan kami tidak dapat melakukan prosedur di hadapan kerana jarang berada di wad.
Kami tidak boleh mendapatkan "cross" daripada SN (senior nurse) kerana "cross" hanya boleh diberi oleh CI. Kami terpaksa memenuhi "cross" yang ditetapkan bagi setiap semester. Kami dalam bilangan yang ramai diposting bersama senior ke wad yang tidak mempunyai prosedur. Ini menyebabkan kami dihalau dari kelas kerana tidak cukup "cross" dan terpaksa bekerja di wad bagi memenuhi "cross".
Disebabkan kekurangan CI dan tutor, kolej terpaksa memberi "cuti belajar" kepada sesetengah pelajar dan memaksa beberapa pelajar semester lain bekerja di wad bagi memenuhi "cross" dan memudahkan mereka untuk mengemaskini untuk pihak LAN (National Accreditation Board).
d) Lain-lain perkara penting
Kami berasa begitu kesal di atas layanan yang diberi kepada kami. Kami dipaksakan berpindah pada masa kami sedang sibuk menyediakan persiapan untuk peperiksaan.
Sehingga sekarang kami para pelajar KKM masih tidak mendapat suntikan Hepatitis B, sedangkan kami telah banyak terdedah dengan pesakit Hepatitis B di wad ketika menjalani latihan klinikal.
Sudah menjelang lebih satu tahun, elaun "posting" masih belum dibayar kepada kami mengikuti syarat-syarat ternyata dalam kontrak.
Kami memohon jasa baik Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghantar pegawai melawat dan memberi penjelasan mengenai hak-hak kami dan maklumat terbaru dari KKM. Kami telah diarah supaya mengemas sekarang juga untuk berpindah pada hari Sabtu ini.
Pengetua sekali lagi berkata 'pemeriksaan mengejut' akan dibuat. Sekiranya didapati sesiapa tidak berkemas untuk berpindah, tindakan akan diambil. Kami sangat ketakutan akan kontrak kami ditamatkan. Kami tidak akan menjadi jururawat. Kami tidak akan dapat menghadapi ibubapa dan keluarga. Kami masih perlu membayar balik hutang kepada pemberi biasiswa.
Kami berharap agar YB Dato' dapat meluangkan sedikit masa untuk menimbang dan memberi perhatian sewajarnya kepada permasalahan kami. Sebahagian besar daripada kami sentiasa hidup dalam keadaan ketakutan, kurang keyakinan dan menghadapi tekanan akibatkan ugutan berulangkali daripada pihak pentadbiran Institut Pantai.
