Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Menteri pendidikan didakwa tidak beri jawapan rasmi rayuan ISA7

Saya amat dukacita dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin serta Setiausaha Parlimen kementerian berkenaan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir - dalam sidang Parlimen dan sidang media baru-baru - bahawa penggantungan pengajian tujuh mahasiswa ISA7 akan diteruskan sehinggalah mahkamah memutuskan kes mereka.

Ini ditambah pula dengan kenyataan mereka bahawa perbuatan pelajar terbabit melibatkan soal ketenteraman awam serta merupakan satu kesalahan jenayah yang perlu dipandang serius.

Saya yang merupakan salah seorang daripada tujuh mahasiswa yang dimaksudkan itu, merasa terpanggil untuk memberi respon terhadap kenyataan kedua-dua pemimpin ini. Yang lainnya ialah Helma Sanudin, Khairul Amal Mahmood, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Nik Noorhafizi Nik Ismail dan Zulkifli Idris.

(Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana mengambil bahagian dalam demontrasi di luar Majlis Negara pada 8 jun 2001 (kerana membantah penahanan aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kenyataan Aziz dan Mahadzir telah tersebar luas di akhbar arus perdana. Kenyataan mereka seolah-olah telah menghukum kami sebelum dibuktikan bersalah di mahkamah.

Ini sekaligus memberikan imej yang buruk kepada ISA7 kerana kami dilabelkan sebagai "penjenayah" serta boleh mengganggu ketenteraman awam, walhal perbicaraan kes kami masih di peringkat awal dan pihak mahkamah belum lagi membuat sebarang keputusan.

Walaupun perbicaraan kami masih berjalan, saya tetap berpendirian yang ISA7 berhak meneruskan pengajian di universiti masing-masing. Sedangkan mereka yang telah disabitkan kesalahan jenayah pun dapat meneruskan pengajian, apatah lagi kami yang baru menghadapi pertuduhan jenayah.

Ini dibuktikan dalam beberapa kes - yang terbaru ialah seorang remaja lelaki yang disabit kesalahan membunuh pada awal tahun ini - diberi jaminan untuk meneruskan pendidikannya walaupun dalam penjara. Bagaimana pula dengan kami bertujuh?

Menteri pendidikan tidak pernah menyampaikan sebarang keputusan mengenai rayuan ISA7. Kini sudah hampir dua tahun tetapi ISA7 tidak mendapat sebarang keputusan rasmi mengenai keputusan rayuan tersebut.

Hanya kini, setelah dibangkitkan dalam perbahasan di Parlimen, setiausaha parlimen dan timbalan menteri pendidikan, membuat kenyataan umum menolak rayuan ISA7 dan mendakwa hanya seorang sahaja daripada mereka yang membuat rayuan.

Ini adalah tidak benar kerana kesemua ISA7 sudah merayu secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan. Saya berpendapat, kenyataan kedua-duanya di Parlimen itu, menunjukkan mereka tidak melakukan "homework" berhubung rayuan kami.

Saya mencadangkan kepada mereka supaya bertanyakan kepada Bahagian Hal-Ehwal Pelajar Universiti atau setiausaha sulit menteri pendidikan berkaitan rayuan kami.

Keadaan kementerian yang seolah bermain tarik tali dengan ISA7 menyebabkan peluang ISA7 untuk belajar semula terjejas selama hampir tiga tahun. Kenyataan kedua-dua pemimpin ini bahawa "ISA7 bebas untuk merayu walaupun rayuan telah ditolak", sukar diterima kerana tanpa surat rasmi daripada kementerian, bagaimana kami akan tahu rayuan itu ditolak atau tidak.

Keputusan yang dibuat untuk menggantung pengajian adalah berdasarkan kepada AUKU 1971. Tidak dinafikan AUKU memperuntukkan budi bicara kepada menteri pendidikan untuk menolak atau menerima rayuan mahasiswa.

Tetapi peruntukan itu yang merupakan sebahagian dari Seksyen 15 AUKU, dengan jelasnya melanggar prinsip "presumption of innocence". Bukankah Aziz dan Mahadzir selaku wakil suara rakyat, amnya dan mahasiswa, khasnya di Parlimen, mempunyai kuasa, bersama-sama dengan ahli Parlimen lain untuk memansuhkan peruntukan yang tidak demokratik itu?

Walaupun pertuduhan terhadap kami amat berat dan pihak kementerian seolah-olah menyalahkan kami dan menganggap ia melibatkan keselamatan awam, saya percaya rakan-rakan saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan keselamatan ramai kerana mereka adalah mahasiswa yang mempunyai rekod kepimpinan yang baik di kampus masing-masing.

Seorang daripadanya, Wan Sanusi, pernah menjadi exco pelajar dan menyumbang khidmatnya dalam MPMUM; Amal , yang termuda antara mereka, berpandangan jauh dan matang. Jika dibenarkan menyambung pengajiannya, beliau merupakan seorang pelajar yang berpotensi besar.

Nik Noorhafizi pula terpilih untuk mengambil jurusan yang agak sukar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Audiologi di Fakulti Sains Besekutu. Beliau merupakan naib presiden MPMUKM-KL. Rakannya, Kamal adalah seorang yang aktif di persatuan kampus.

Helma pula turut menganggotai barisan kepimpinan JPPUiTM dan yang paling ceria antara kesemua pelajar terbabit. Manakala Zulkifli pula adalah seorang yang kreatif dan mahir dalam bidang komputer. Beliau adalah seorang yang pendiam dan berhemah tinggi.

Sumbangan ISA7 itu bukanlah sesuatu yang direka-reka tetapi pandangan ikhlas dan hasil pergaulan saya bersama mereka dalam mengharung cabaran selama hampir tiga tahun. Wajarkah ISA7 dikaitkan dengan isu keselamatan awam sedangkan mereka mahasiswa cemerlang?

Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan pendidikan kepada rakyatnya. Oleh itu, apa yang sewajarnya pihak kementerian dilakukan ialah membenarkan ISA7 meneruskan pengajian walaupun perbicaraan masih berjalan. Ini kerana ianya adalah hak asasi setiap manusia tanpa mengira latar belakang, agama, sosio-ekonomi ataupun kaum.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS