Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya ingin membawa kisah yang berlaku ke atas keluarga sahabat saya yang meninggal dunia dalam bulan Ramadhan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan membuka mata serta minda pihak yang berkuasa khususnya di HKL dan Jabatan Hal-ehwal Agama Islam agar keluarga terdekat si mati yang lain tidak bertambah menderita kerana kos menguruskan jenazah.

Kami terpaksa mengeluarkan wang sejumlah RM1,400 untuk kos bayaran pengurusan jenazah oleh orang-orang yang beroperasi dipersekitaran bilik mayat di HKL. Pengurusan mayat merangkumi mandi dan kapan, membawa ke masjid yang berhampiran HKL untuk disembahyangkan dan menghantar jenazah ke rumahnya di Kajang.

Memandikan mayat telah dibuat oleh sanak saudara di bawah penyeliaan orang-orang yang menjalankan bisnes pengurusan jenazah. Pendekata, mereka ini hanya berperanan sebagai jurutunjuk sahaja dan seterusnya membawa pulang jenazah dalam van mereka.

Oleh kerana tidak mahu melengah-lengahkan urusan jenazah tersebut, pihak waris terpaksa meminjam wang dari saudara-saudara yang lain serta rakan-rakan waris yang terdekat bagi membuat bayaran dengan segera. Persoalannya, adakah wajar bayaran RM1,400 dikenakan hanya untuk menguruskan jenazah. Sedangkan perkara menguruskan jenazah merupakan fardu kifayah dan bayaran tersebut adalah tidak setimpal dengan tugas dan kewajipan kita sebagai umat Islam.

Apa akan berlaku sekiranya pihak waris dari keluarga kurang berkemampuan? Mungkin jenazah akan dibiar tanpa diuruskan sehingga waris selesai membuat bayaran. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Sebagai masyarakat yang prihatin saya merayu kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Hal-ehwal Agama Islam dan HKL supaya mengkaji semula tentang kadar bayaran yang dikenakan untuk hal pengurusan jenazah khususnya, di hospital-hospital kerajaan.

Mereka yang beroperasi di situ perlu mempunyai permit untuk menguruskan jenazah dan akur kepada caj-caj yang ditentukan oleh pihak yang berkuasa. Tujuan saya membangkitkan perkara ini bukan bagi pihak yang beragama Islam sahaja, malahan bangsa lain juga turut mengalami nasib yang sama.

Saya berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab akan lebih prihatin dan berusaha untuk megatasi masalah ini demi kepentingan semua.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS