Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Dokumen Negara Islam PAS: Salinan semula karangan Harun Din?

Saya menyokong pandangan yang diutarakan oleh Ahmad Zaki dalam suratnya kepada malaysiakini , yang melihat sikap ahli dan pemimpin PAS sebagai kurang sesuai dengan kedamaian iklim politik Malaysia.

Sesetengah kalangan melihat budaya politik PAS keseluruhannya bukan budaya asli politik Malaysia, tetapi lebih kepada budaya yang diimport dari negara tertentu, dengan sedikit ubahsuai, lalu diterapkan di negara ini.

Hal inilah yang terjadi kepada Dokumen Negara Islam PAS itu. Malangnya, PAS menghukum mudah bahawa dokumen itu sebagai memenuhi tanggungjawab yang disuruh Tuhan. Sekiranya tidak menerimanya, bersedialah dengan hukuman tuhan. Kaedah mengugut ini sedikit sebanyak berjaya memikat pengundi untuk memangkah PAS.

Dokumen yang dibuat secara mudah itu ingin dipaksakan penerimaannya kepada seluruh orang Islam, sedangkan begitu banyak lompang dan kelemahan dokumen tersebut di sana sini. Kepada PAS, sudah pastilah isi dokumen itu sangat mengkagumkan. Tetapi, dalam politik Malaysia, hakikatnya tidak semua perkara yang baik untuk satu-satu kumpulan, adalah baik dan akan mendapat dokongan dari kumpulan yang lain, termasuklah dalam gagasan sendiri.

Tragedi ini juga menimpa pakatan BA, apabila dua parti gabungan (Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia) kelihatan begitu jauh daripada intipati dokumen tersebut. Sudah pastilah rakyat akan melihat bahawa inilah masanya PAS menunjukkan taringnya yang sebenar. Selama ini, DAP, Keadilan dan PRM walaupun tahu kecenderungan PAS, tetapi pastinya tidak menyangka PAS sanggup melanggar ikatan persahabatan dengan cara yang sebegitu rupa.

Pakatan itu pun sebenarnya dalam keadaan retak menunggu belah. Sebab itulah dalam laman-laman web sudah banyak disuarakan bahawa di sebalik berpakat dengan PAS, Keadilan dan PRM lebih sesuai berpakat dengan DAP dan menjalankan persefahaman longgar sahaja dengan PAS.

Seelok-eloknya Keadilan dan PRM sudi melihat sejarah PAS dengan lebih jernih dan jujur, sebelum melanjutkan perhubungan dengan mereka. Tetapi, ini pun cerita yang hampir basi dan kurang kepentingannya selepas PAS mengemukakan dokumen tersebut. Apa yang ingin dijelaskan adalah, kedua-dua parti yang kini menjadi terlalu 'underdog' dalam pakatan itu, gagal menyorot PAS daripada era Amanat Hadi lagi.

Amat menarik misalnya, pandangan Jeff Ooi (dalam satu tulisan beliau di sebuah forum) yang menyatakan bahawa PAS perlu dilihat dalam konteks Amanat Hadi serta lain-lain isi ceramah PAS sebelum difahami mentaliti sebenar mereka.

Kalau pun boleh ditambah, dokumen terbaru ini hanyalah versi 'bermanis-manis muka' PAS, satu solekan untuk menyembunyikan intipati dan hasrat PAS sebenar dalam Amanat Haji Hadi, yang dibaca di Panggol Pradong suatu ketika dulu. Kegagalan memahami pemikiran PAS, yang dicerminkan oleh pandangan Hadi melalui amanatnya ini, sebenarnya hanyalah menambahkan keperitan dan mengecewakan pejuang-pejuang Keadilan dan PRM yang berjuang dan berpolitik secara jujur.

Saya boleh memberikan fakta yang menyokong kenyataan ini, iaitu Haji Hadi sehingga saat ini masih belum menarik amanat beliau itu. Malah, melalui sebuah risalah kecil yang diterbitkan tidak lama dulu oleh PAS Terengganu, Haji Hadi sangat bangga dan mempertahankan amanat tersebut.

PAS akan tetap mengungkit cerita lama untuk menagih simpati masyarakat. Seumpama peristiwa Holocaust dalam skala kecil, ejen-ejen PAS cuba menyusupkan semula kisah-kisah pahit parti melalui penyebaran email-email tertentu. Saya turut menerima email yang memaparkan gambar-gambar mayat Ibrahim Libya dan rakan-rakan beliau yang ditulis sebagai jenazah 'Syuhada Memali'.

Kalau tidak percaya, pergilah ke kampung-kampung di pedalaman Besut, Jertih ataupun di kawasan Felda di Kedah untuk mendengar sendiri bentuk penerangan melalui cceramah PAS ini. Sehingga kini, istilah kafir, taghut dan secular masih menjadi permainan bahasa penceramah PAS.

Agak mengejutkan dalam satu VCD ceramah yang saya lihat, penceramahnya memanggil Jabatan Agama Islam Selangor sebagai...(tak sanggup disebutkan di sini, tetapi nama seekor haiwan).

Satu lagi perspektif adalah dokumen yang didakwa dibuat dengan perancangan teliti itu tidak lebih sekadar seperti kerja si pemalas. Apakah seperti itu sahaja kerja yang dibuat selama tiga tahun.

Ataupun kerja-kerja membuat dokumen diserahkan bulat-bulat kepada Harun Din sebaik sahaja menerima tugas sebagai Ketua Penerangan PAS lalu secara tergesa-gesa disusun kerana mengejar tarikh 1 Ramadhan.

Isi dokumen tersebut begitu ringkas, dan ayat-ayat yang dikutipnya pun merupakan salinan semula buku 'Manusia dan Islam" karangan Harun Din berpuluh tahun dahulu dengan dicantum dengan beberapa risalah keluaran Abim dan Jakim. Secara jujur, risalah seumpama itu boleh disiapkan dalam masa dua malam sahaja kerana bukannya susah hendak menulis ayat-ayat umum dan menggunakan jargon Islam.

Misalnya, huraian dokumen item ke-14, muka surat 19 yang menyatakan ikrar seseorang individu Muslim dengan Allah s.w.t. Secara tiba-tiba, mendadak dan begitu mudah, ayat yang menghuraikan hubungan personal/individu antara manusia dengan Tuhan ini disimpulkan dengan kewajiban mendirikan negara Islam. Nampak sangat PAS suka berpolitik.

Kalau nak dipanjangkan lagi, apa akan jadi kepada orang-orang Islam yang menjadi minoriti di pelbagai negara. Apakah disebabkan pengertian ayat ini, mereka akan turut dikehendaki menuntut sebuah negara Islam di Amerika ataupun di Australia misalnya.

Penegasan Hadi bahawa isi dokumen ini adalah merupakan pandangan muktamad bagi PAS ternyata satu kesilapan dan egoistik. Kenyataan seumpama ini sudah pastilah menyukarkan lagi perhubungan PAS dan para pembangkang yang sangat berlainan pegangan itu. Sepatutnya, Hadi dalam masa mengalu-alukan pandangan lain, tidak cepat-cepat memuktamadkan pendirian.

Apa salahnya menunggu, mungkin teguran yang membina boleh diperoleh dalam menyendatkan ruang-ruang yang longgar. Seperti biasa, senjata Hadi dan Nik Aziz yang mengulas kemudiannya sudah pastilah ugutan agama dan kemurkaan Tuhan kepada sesiapa yang cuba menolak dokumen mereka.

Kalaulah benar masa begitu lama diambil untuk menyiapkan dokumen yang indah kulit dari isi itu, apa yang muncul sepatutnya bukan dokumen 'pemalas' ini. Menggunakan masa yang begitu lama, sudah pasti dokumen yang menghuraikan pemikiran terperinci, apa rasional di sebalik tindakan, penyenaraian tindakan daripada sebesar-besarnya hingga sekecil-kecilnya, memberi dan menghuraikan konsep yang luas, serta analisis mendalam kepada segenap bidang yang ingin dihuraikan.

Rakyat, tanpa mengira Islam dan bukan Islam hendak tahu perkara-perkara berikut yang terkandung dalam aktiviti pelancongan, misalnya. Apakah arak akan dibenarkan di hotel tempat penginapan pelancong asing, apakah aktiviti perjudian akan diharamkan, kerana semua orang tahu, perjudian dan kasino ada tarikan kumpulan pelancong tersendiri, apakah berbikini akan dibenarkan, ataupun semua pelancong mesti menutup aurat selengkapnya di tepi pantai peranginan.

Apakah penciptaan barangan kraf berbentuk patung akan dibenarkan dijual sebagai produk pelancongan, apakah persembahan nyanyian, kebudayaan, tarian tradisional, dikir barat, makyung, menora, tarian singa, tarian tradisional India - yang tidak dibenarkan oleh kerajaan Terengganu sekalipun pada perayaan Deepavali atas alasan menampakkan pusat para penari wanitanya, serta berpuluh-puluh lagi?

Hal inilah yang menjadikan dokumen itu tidak sanggup diterima oleh pelbagai pihak. Sebagai seorang Islam, saya bersetuju dengan konsep negara Islam, tetapi pengertian saya sudah pastilah berbeza dengan pengertian Hadi.

Saya tak termakan dengan ugutan Hadi, dengan ancaman kemurkaan Tuhan sekiranya dokumen tersebut tidak diakui oleh saya. Kepada saya, cukuplah pengertian negara Islam itu apa yang saya nikmati dan rasai di negara tercinta pada saat ini. Inilah negara Islam saya. Kalau ia bukan negara Islam kepada Hadi, cukuplah pengertian itu kepada beliau, dan tidak perlulah beliau cuba mempengaruhi saya untuk mempercayai semua karut-marut itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS