Pertama saya ingin mengucapkan tahniah di atas perlantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Saya berharap dengan perlantikannya. Malaysia akan menjadi lebih baik.
Saya tidak ingin menulis panjang lebar mengenai bantahan dan sebagainya seperti yang dituntut oleh saudara. Cuma saya ingin menimbulkan dua isu yang saya anggap perkara yang prinsip yang perlu diselesaikan dengan segera.
Pertama ialah isu ISA 7 . Saya rasa saudara sudah maklum dengan perkara ini. Tujuh pelajar ini telah digantung pengajian mereka di universiti semata-mata kerana di tangkap semasa menyertai perhimpunan aman menentang tindakan kerajaan Malaysia menggunakan ISA dalam menghadapi Gerakan Reformasi pada 8 Jun 2001.
Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mahasiswa ini telah berakhir dengan penangkapan tujuh pelajar ini dan di tahan di lokap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Jalan stadium Kuala Lumpur. Semasa di dalam lokap, mereka juga telah "didera" oleh pihak polis.
Sekarang setelah dua tahun, mereka masih dibicarakan di mahkamah (kes akan bersambung Februari tahun depan) dan digantung pengajian masing-masing. Pak Lah, ketujuh-tujuh mahasiswa ini datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mereka menjadi harapan untuk meningkatkan sumber ekonomi keluarga.
Jika benar Pak Lah mahu membuat pembaharuan ke atas Malaysia, sila selesaikan isu ini dengan segera. Mereka yang ditahan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mereka hanya menyertai perhimpunan aman yang telah dijamin oleh Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.
Masa depan mereka berada di dalam tangan saudara. Kami faham sewaktu mereka ditahan, saudara hanyalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri dalam Negeri yang berada dalam cengkaman Tun Dr Mahathir Mohamad. Jadi sekarang saudara telah mempunyai kuasa sebagai perdana menteri yang sah, lakukanlah sesuatu untuk menyelamatkan masa depan ISA 7 ini.
Kedua, saya ingin menimbulkan isu memorandum yang kami dari UBU (Universiti Bangsar Utama) serahkan kepada saudara pada tahun 2000 sewaktu lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Universiti Putra Malaysia. Memorandum yang kami hantar bertajuk 'Hapuskan PTPTN, Pendidikan Percuma Untuk Rakyat'. PTPTN adalah pendekan bagi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
Saudara tidak mungkin melupakan kami kerana cara kami menyerahkan memorandum itu agak radikal. Saya ketika itu memakai cermin mata hitam dan topi "Bob Marley" ketika menyerahkan memorandum itu kepada saudara.
Kami tidak berniat untuk menahan kereta yang dinaiki oleh saudara pada ketika itu, tetapi akibat halangan daripada pegawai-pegawai UPM yang sangat mengampu saudara pada ketika itu, kami terpaksa melakukan tindakan radikal ini.
Tuntutan kami amat jelas iaitu kami mahukan kerajaan Malaysia untuk menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat. Tuntutan ini amat realistik kerana sudah banyak negara yang mengamalkan sistem ini seperti di Denmark, German, Sweden termasuk juga negara Cuba yang menghadapi sekatan ekonomi dari Amerika selama hampir 40 tahun, tetapi masih lagi boleh memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya.
Malaysia telah membina KLCC, KLIA, dan litar Sepang sebagai mercu tanda kegemilangan pemerintahan Dr Mahathir. Jadi kami merasakan Malaysia juga mampu memberikan pendidikan percuma untuk rakyatnya, tidak kira Melayu, Cina dan India. Malaysia juga mempunyai banyak sumber ekonomi seperti petroleum, industri dan pertanian sedangkan Cuba hanya mempunyai tebu sebagai sumber ekonominya.
Jadi saya berharap agar Pak Lah dapat mengambil serius perkara yang saya bangkitkan ini. Jika Pak Lah berjaya menyelesaikan perkara ini, kami rakyat Malaysia yang tidak suka membodek ini akan bekerja keras untuk membantu Pak Lah memajukan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai. Ini sesuai dengan saranan Pak Lah agar semua orang bekerja bukan untuk dirinya tetapi untuk rakyat Malaysia.
