Dalam era milenium ini, sebarang bentuk berita dan isu semasa boleh diperolehi oleh hampir semua rakyat Malaysia kerana peranan teknologi yang canggih telah memberi khdimat tersebut dengan pantas dan mudah sekali.
Teknologi seperti telefon pintar dan komputer mudah alih dilengkapi dengan internet mudah alih tanpa kita sedari telah memberi kebaikan dan juga keburukan pada masa yang sama.
Tujuan saya menulis bukanlah untuk membahaskan impak positif dan negatif teknologi seperti karangan sekolah rendah dahulu. Tapi ingin mengajak pembaca khususnya mahasiswa untuk berfikir sejenak ke mana hala tuju masyarakat kita dalam menangani setiap isu semasa yang sensasi.
Artikel ini juga akan lebih menjerumus kepada mahasiswa kerana saya juga seorang mahasiswa yang melihat hala tuju golongan almamater ini terhadap setiap isu populis yang diterima melalui laman sosial di internet.
Selepas isu sikap isteri seorang pemain bola sepak negara terhadap pengawal keselamatan mendapat perhatian, kemudian muncul pula penyanyi Youtube "Bobo" dan yang terbaru, isu seorang pemandu wanita mengamuk apabila keretanya dilanggar oleh seorang pakcik warga emas.
Hakikatnya, semua isu ini mendapat "takdir" yang sama daripada masyarakat kita. Parody, troll dan cemuhan dilemparkan melalui media sosial yang menjadi medium sama untuk isu ini menjadi popular.
Malang yang perlu ditelan oleh masyarakat kita adalah apabila golongan mahasiswa turut menjadi sebahagian dari tangan yang terlibat dalam aktiviti yang dipanggil public shaming ini.
Mungkin ini lah yang hasil eksperimen yang telah diciptakan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam membentuk peranan sebenar mahasiswa.
Mahasiswa tidak lagi berminat untuk membahaskan tentang isu-isu yang lebih besar dan utama seperti hal yang melibatkan masyarakat ataupun rakyat.
Jika ada yang berminat, keberanian pula memainkan peranan setelah AUKU berjaya menawarkan ketakutan untuk bersuara terhadap mahasiswa.
Jangan terkejut
Jangan terkejut kalau ada mahasiswa yang dikenakan tindakan hanya kerana satu ucapan terima kasih kepada NGO atas bantuan kebakaran.
Jangan terkejut ada mahasiswa dikenakan tindakan hanya kerana menyuarakan pendapat tentang sistem dan fasiliti universiti.
Semua ini telah menimbulkan ketakutan yang tidak berasas terhadap mahasiswa dalam mengutarakan pendapat untuk isu-isu yang lebih penting.
Akhirnya, mahasiswa yang tidak tahan pendapatnya dikongkong telah memilih jalan lain bagi mengemukakan pendapat.
Tapi sayangnya, jalan yang dipilih adalah dengan menyalurkan pendapat mereka terhadap isu-isu yang kurang kritikal dan semestinya yang tidak dipandang oleh pihak pentadbiran.
Kerana sekiranya isu yang dibawa adalah isu yang diambil perhatian oleh pihak universiti, maka kemungkinan besar mereka akan dikenakan hukuman.
Kini mahasiswa lebih memilih public shaming, atau menulis untuk hiburan diri sendiri atas sesuatu isu daripada menulis dan mengkaji tentang penyelesaian yang seharusnya difikirkan bersama.
Golongan akademik sudah tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap diri untuk membawa idea terhadap sesuatu isu sedangkan mereka lah seharusnya mengetuai buah fikiran masyarakat di luar tentang penyelesaian terhadap masalah-masalah masyarakat.
Dalam satu hingga ke dua minggu lagi, kita tunggu mahasiswa yang terlibat ini akan senyap semula bersama-sama dengan isu populis tersebut.
Mahasiswa dan populisme berpisah tiada!
MUHAMMAD ASHRAFF NAZRIN, 19, mahasiswa jurusan Kewangan Islam Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.
