Kenyataan Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) berhubung kes bunuh dan rogol Nurul Huda Abdul Ghani di Johor Bahru, sebagaimana yang disiarkan oleh malaysiakini , bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah bersifat menghina kaum keluarga mangsa.
Kenyataan Ketua Penerangan DPP, Mazlan Aliman itu memperlihatkan betapa rendahnya budi bicara beliau selaku seorang yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal penerangan sebuah parti yang berteraskan Islam sebagai platform perjuangan mereka.
Malah saya ingin menyatakan bahawa kenyataan beliau itu tidak ubah seperti perbuatan menaguk di air yang keruh, dengan mengambil kesempatan di atas kejadian malang yang menimpa keluarga Abdul Ghani, dengan propaganda murahan politik PAS.
Nampak sekali, DPP cuba mengambil kesempatan untuk mempromosikan hukum hudud PAS yang terkandung di dalam Dokumen Negara Islam mereka. Apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila beliau cuba membuat satu andaian atau kesimpulan bahawa seandainya rakyat Malaysia tidak menerimapakai hukum hudud PAS, Tuhan akan menurunkan lebih banyak bala kepada negara ini.
Bagaimanapun, amat malang dan mendukacitakan sekali apabila andaian bala yang akan diturunkan Tuhan ke atas bumi Malaysia ini dikaitkan dengan apa yang telah berlaku ke atas Nurul Huda. Sebagai buktinya, saya ingin sekali memetik kembali (bulat-bulat) apa yang dikatakan oleh Pemuda PAS Pusat itu sebagaimana yang disiarkan oleh malaysiakini . Petikan itu berbunyi;
"Umno juga hendaklah menarik balik cercaan mereka dan juga saman mereka di Mahkamah Tinggi terhadap hukum hudud. Jika Umno terus memerangi hukum hudud, maka tidak mustahil Allah akan menurunkan lebih banyak bala seperti yang berlaku ke atas Nurul Huda (Abdul Ghani)."
Adalah amat tidak bertanggungjawab untuk Pemuda PAS Pusat membuat kenyataan yang cuba menyamakan apa yang telah terjadi ke atas Nurul Huda sebagai satu bala atau malapetaka daripada Allah sebagaimana petikan kenyataannya yang berbunyi: "...tidak mustahil Allah akan menurunkan lebih banyak bala seperti yang berlaku ke atas Nurul Huda (Abdul Ghani)."
Yang pertama-tama sekali, macamana ketua penerangan PAS itu tahu itu adalah balasan Allah ke atas Nurul Huda dan keluarganya. Tidak mengapa untuk mengatakan ia adalah takdir ilahi, tetapi untuk menyamakannya sebagai satu bala, hanya memperlihatkan sikap tidak sensitif PAS terhadap keluarga mangsa yang masih bermurung dengan kehilangan ahli keluarga mereka. Ini adalah satu pernyataan yang menghina mangsa dan juga seluruh isi keluarganya.
Kedua, saya ingin memperbetulkan fakta yang dibuat oleh DPP itu. Untuk makluman pengarang, Umno tidak pernah mengemukakan sebarang cercaan atau saman di Mahkamah Tinggi terhadap hukum hudud.
Ketiga, apa hubungkaitnya Umno dengan kejadian yang menimpa Nurul Huda sehingga mendorong PAS untuk mengeluarkan kenyataan yang berbunyi "Jika Umno terus memerangi hukum hudud, maka tidak mustahil Allah akan menurunkan lebih banyak bala seperti yang berlaku ke atas Nurul Huda (Abdul Ghani)."
Saya telah memeriksa rekod di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di Putrajaya dan mendapati tidak ada sebarang rekod yang mencatatkan Umno pernah memfailkan petisyen untuk menghalang hukum hudud daripada dilaksanakan.
Oleh yang demikian, saya membuat kesimpulan bahawa apa yang cuba dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Ketua Penerangannya itu ialah, satu percubaan untuk menggunakan kesempatan di atas insiden rogol dan bunuh ke atas Nurul Huda bagi:
- Mempromosikan hukum hudud PAS;
- Cuba menyalahkan Umno di atas kejadian ini sebagai satu bala daripada tuhan;
- Dengan berbuat begitu, PAS cuba membangkitkan kemarahan keluarga mangsa terhadap Umno; dan
- Menuduh apa yang telah berlaku ke atas Allahyarhamah Nurul Huda adalah satu balasan bala daripada Tuhan.
Saya dengan itu mendesak Dewan Pemuda PAS, dengan kadar yang segera, menarik balik kenyataan akhbar yang tidak bertanggungjawab tersebut dan dengan tanpa berlengah masa lagi, segera memohon maaf kepada bapa Nurul Huda dan seluruh kaum muslimin yang lain kerana menyamakan apa yang telah terjadi kepada anak beliau sebagai satu balasan bala daripada Allah.
Dengan itu juga saya mendesak agar PAS berhenti daripada menjadi jurucakap Tuhan di muka bumi ini kerana sejak kewafatan Nabi besar Muhammad SAW, Allah tidak pernah melantik mana-mana pihak, mahupun individu lagi, menjadi jurucakapNya.
