Sememangnya mahasiswa perlu berfikiran lebih kritikal dalam membincangkan isu-isu semasa, malah juga isu kebajikan pelajar, tetapi mereka haruslah mengelakkan diri daripada menjadi katak di bawah tempurung, yang hanya mengeluarkan pendapat yang subjektif dan tidak menyeluruh.
Keadaan ini diperlihatkan dalam Majlis Perundingan Mahasiswa (MPM) Ke-3 Universiti Sains Malaysia pada 9 Februari 2004. Majlis ini diadakan sebagai usaha baik Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar untuk membuka ruang perbincangan antara pihak pentadbir dengan yang dipertua persatuan dan Majlis Perwakilan Pelajar.
Majlis ini dimulakan dengan forum berjudul 'Jauh Perjalanan, Luas Pengalaman'. Timbalan Naib Canselor, Datuk Prof Madya Jamaludin Mohaidin bersama dua pelajar yang dipilih menyertai rombongan lawatan sambil belajar ke New Zealand, berkongsi pengalaman mereka dengan semua ahli MPM.
Apa yang menarik ialah gambar yang diambil oleh TNC sendiri, telah membuka mata semua orang bahawa USM sebenarnya lebih baik dan tinggi tarafnya daripada universiti luar negeri. Tandas mereka yang sempit, ruang perpustakaan yang terhad, sekaligus menutup mulut mereka yang sering merungut dan mengadu kerana tidak puashati dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak pentadbir universiti.
Sebagai kesimpulannya, TNC menyatakan politik siswa di New Zealand bersifat positif kerana berbentuk non-partisan. Beliau sendiri menyatakan tiada akta seperti Akta Univesiti dan Kolej Universiti (Auku) di New Zealand. Siswa-siswi yang terlibat dengan kecurian akan didenda atau dipenjarakan sekiranya didapati bersalah. Tetapi sekiranya siswa-siswi di Malaysia didapati bersalah kerana mencuri, kalau mengikut peruntukan di bawah AUKU, selebih-lebihnya, mereka ditamatkan pengajian.
Majlis diteruskan dengan perbincangan antara pihak pentadbir dengan ahli MPM mengenai isu-isu dalam kampus. Apa yang mengecewakan sekali ialah apabila terdapat segelintir pelajar yang cuba membangkitkan masalah dan memperbesar-besarkannya.
Salah seorang pelajar yang membangkitkan isu di mana penggawa lelaki desasiswa masuk ke bilik siswi tanpa keizinan. Saya amat kecewa dengan pandangan beliau kerana ternyata beliau mengeluarkan pendapat dengan penuh emosi dan hilang pertimbangan yang waras.
Beliau seharusnya faham, sebagaimana yang dijelaskan oleh TNC, apabila seseorang tinggal di desasiswa universiti, dia seharusnya mematuhi segala peraturannya untuk melindungi kepentingan semua. Penggawa perlu diberikan kuasa untuk memasuki bilik sesiapapun apabila disyaki melakukan kesalahan, misalnya mencuri.
Tidak mungkin pihak berkuasa meminta keizinan daripada orang yang disyaki kerana ini akan menyebabkan pesalah bersedia dan dengan ini pihak berkuasa gagal mengesan orang yang melakukan jenayah.
Malah, tujuan penggawa masuk ke bilik penghuni juga disebabkan penghuni kesalahan terlebih dahulu kerana menyidai baju di luar tingkap. Sebagaimana yang dikatakan TNC, apa akan terjadi sekiranya orang luar melihat bangunan desasiswa USM dipenuhi seluar dalam, bra yang koyak-koyak dan yang berlubang-lubang?
Pelajar yang membangkitkan isu ini gagal melihat bahawa perbuatan menyidai baju di luar tingkap akan menjatuhkan imej universiti. Golongan inilah yang sentiasa mementingkan diri tetapi mendatangkan keburukan kepada orang lain.
Sememangnya universiti telah menggubal peraturan untuk melarang pelajar menyidai pakaian di luar, malah undang-undang Malaysia juga tidak membenarkan orang umum berbuat demikian. Hal ini kerana tidak bersesuaian dengan norma masyarakat dan nilai ketimuran kita yang menitikberatkan kesopanan.
Pelajar sebenarnya diberi kebebasan, untuk sama ada tinggal dalam desasiswa atau tinggal di luar kampus. Sekiranya pelajar memilih untuk tinggal di kampus, dia seharusnya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti tanpa mempersoalkannya. Pelajar perlu lebih matang dalam memberi kritikan
Pelajar sememangnya digalakkan untuk mengemukakan pandangan masing-masing, namun ini tidak bermakna kita boleh membuat kritikan sewenang-wenangnya. Kita harus melihat sesuatu perkara dengan lebih luas dan kesan-kesannya terhadap orang ramai. Adalah baik bagi siswa-siswi untuk berfikiran kritis, tetapi bukan membesar-besarkan sesuatu yang negatif.
Kita harus tahu peranan dan tanggungjawab diri sebagai mahasiswa dan seterusnya memanfaatkan kehidupan dalam kampus supaya hebat bukan sahaja dalam akademik, malah juga dalam bidang sukan.
