Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya adalah pemilik apartmen di Desa Tasik , Sungai Besi, Kuala Lumpur yang merupakan salah satu projek perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kawasan perumahan ini terbahagi kepada empat blok iaitu blok 26, 28, 30 dan 32.

Kami penduduk di sini kini menghadapi masalah yang kritikal kerana DBKL telah menamatkan perkhidmatan pengawal keselamatan di kawasan kami dengan alasan kontrak dengan syarikat terbabit telah lupus, dan tidak akan diperbaharui kerana penduduk gagal menjelaskan bayaran penyelenggaraan.

Di sini saya akui kebenaran alasan DBKL itu. Tetapi persoalannya ialah mengapa penduduk enggan menjelaskan bayaran penyelenggaran itu.

Jawapannya ialah walaupun pembayaran dibuat, namun perkhidmatan yang diberikan oleh pejabat pengelola DBKL di sini sangat buruk, seperti yang tertera dibawah ini:

1) Kebersihan tidak dijaga langsung dan bersampah - sarap, sistem saliran selalu melimpah kerana longkang tersumbat. Walaupun ada tukang pembersih, namun keadaan masih kotor kerana pegawai DBKL di sini tidak langsung membuat rondaan dan pemeriksaan. Pondok menyimpan tong sampah induk berhampiran blok 32 pula dijadikan tempat meletak kereta pegawai DBKL manakala tong sampah dibiarkan di luar, mengakibatkan bau yang sangat busuk.

2) Tiada "privacy" bagi penduduk di sini kerana sesiapa sahaja boleh memasuki kawasan kediaman kami yang berpagar pada bila-bila masa dan merayau ke seluruh pelusuk kawasan kediaman serta merosak dan merompak segala kemudahan yang seharusnya dikhaskan untuk pemilik rumah di sini.

Kesemua ini adalah kerana sifat pegawal keselamatan yang malas dan suka menghabiskan masa dengan berborak dan tidak pernah membuat rondaan. Sekali lagi perkara ini adalah disebabkan oleh sifat kakitangan DBKL di sini yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pentadbir.

3) Perbuatan merosakkan harta awam teruk dilakukan oleh para remaja yang tinggal di persekitaran kawasan Desa Tasik ini. Mereka menggunakan kawasan kediaman kami sebagai sarang menghisap/menjual dadah, ponteng sekolah dan bermaksiat secara terbuka. Bangunan pula diconteng dengan perkataan lucah.

Sekali lagi ini adalah disebabkan oleh sistem pengawalan keselamatan yang langsung tidak berfungsi dan pihak pentadbiran DBKL gagal melaksanakan tugas mereka. Aktiviti mencuri bekalan eletrik pula dilakukan secara terbuka di mana wayar dipasang dari apartmen kami dan ditarik sehingga ke gerai-gerai haram di tepi jalan besar Desa Tasik.

4) Bangunan yang kami diami telah diselaputi kulat kerana tidak dicat sejak bertahun- tahun.

Selain daripada perkara di atas, banyak lagi perkara buruk yang kami hadapi setiap hari dan kesemuanya adalah disebabkan oleh sikap sambil lewa anggota DBKL yang yang bertugas di sini.

Yang pastinya kami penduduk di sini akan dipersalahkan kerana enggan menjelaskan bayaran penyelenggaran. Tetapi mereka enggan berbuat demikian adalah kerana sebab-sebab yang telah disebut di atas tadi

Oleh itu, saya meminta agar Datuk Bandar Kuala Lumpur meneliti dahulu keluhan kami dan mengambil tindakan yang rasional. Janganlah beliau mengambil sikap 'defensive' apabila membaca rungutan ini.

Kami penduduk di sini rela dan sanggup membayar semula wang penyelenggaran itu sekiranya DBKL dapat memperbetulkan segala kepincangan di tempat kediaman kami. Bagaimanapun, jangan pula meminta kami berbuat demikian dalam tempoh 14 hari. Berilah peluang kepada kami untuk membuat bayaran itu secara berperingkat-peringkat.

Akhirnya, saya ingin mempelawa Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan yang disayangi, Datuk Seri Najib Tun Razak, agar dapat meluangkan masa melawat kawasan Desa Tasik khususnya blok 26, 28, 30 dan 32 ketika beliau kebetulan melawat Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk menilai sendiri keadaan di sini.

Ini adalah kerana ada penduduk di sini sering menyalahkan kerajaan kerana pada pendapat mereka DBKL adalah merupakan agensi kerajaan. Ada pula yang bersungut akan mengundi pembangkang kerana isu ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS