Membaca tajuk di atas, sekali imbas ia mengingatkan kita kepada tajuk buku terbaru Datuk Zainudin Maidin mengenai perjuangan anggota keselamatan menentang komunis.
Memang ilham untuk tajuk ini datang disebabkan buku itu. Maksudnya, selama ini jumlah hero dan wira yang tidak didendang itu cukup ramai. Kadang-kadang wujud juga situasi songsang, apabila hero yang sepatutnya didendang tak didendang, atas pelbagai sebab. Banyak juga hero yang salah didendang, sehingga apabila kepalsuannya begitu nyata, maka barulah kita semua menyedarinya.
Paling malang ialah apabila wujudnya situasi tersalah dendang, yang sepatutnya kita dendangkan orang lain, tetapi atas sebab-sebab tertentu orang lain pula yang kita agung dan dendangkan.
Dalam konteks politik Melayu, sudah terlalu banyak kes-kes semacam ini, bergantung kepada perspektif masing-masing. Dari perspektif Lee Ban Chen misalnya, sudah pastilah dalam kolum terbarunya, beliau melihat Ruslan dan kumpulan 12 'katak' sebagai tokoh Keadilan yang tersalah dendang.
Kepada Umno, tokoh seperti Anwar Ibrahim dilihat sebagai didendang berlebih-lebihan oleh pihak-pihak tertentu, pemimpin dan pengikut, sehingga akhirnya menjadi beban politik kepada parti itu sendiri.
Kepada parti Keadilan, mungkin ahli-ahli mereka sekarang ini sedang mencongak-congak apakah tokoh seperti Ezam Mohd. Noor layak didendangkan. Begitulah seterusnya, kita melihat berdasarkan apa yang ingin kita percaya.
Sepanjang pengamatan KPPM mengenai politik dan pemimpin politik Melayu, sepanjang masa, orang Melayu mengalami gejala mudah tersilau dengan beberapa perkara yang bersifat luaran. Mereka cepat tersilau dengan kulit berbanding isi, terpegun dengan bentuk berbanding kandungan.
Orang Melayu sangat erat hubungannya dengan agama. Sebab itulah apabila ada sekumpulan orang Melayu dengan imej agama, bercakap soal Islam dengan sulaman ayat-ayat al-Quran yang fasih, maka mereka terus tersilau.
Penceramahnya akan terus dianggap alim, tahu Islam, sekaligus boleh melakukan apa-apa sahaja urusan dan boleh diberikan amanah untuk mentadbirkan soal-soal yang besar termasuklah negara.
Mereka tidak malu-malu untuk mengiktiraf orang ini sebagai pandai, alim dan bijak, tanpa menyelidik terlebih dahulu latar belakang, personaliti seseorang ataupun menyoal benarkah apa yang diucapkan itu.
Ataupun sesekali terfikir di kepala mereka bahawa dengan hanya pandai agama, tetapi tidak arif mengenai pentadbiran dan politik antarabangsa, hubungan antarabangsa dan perlakuan rakyat, ianya belum mencukupi untuk menjadi ahli politik yang berkesan kepada negara dan rakyat keseluruhannya.
Ataupun bolehkah orang ini mewakili seluruh rakyat yang pelbagai kaum dan agama. Ataupun orang ini mungkin sesuai untuk memerintah satu daerah mereka sahaja yang mempunyai penduduk yang hampir sama kepercayaan, status ekonomi ataupun bangsanya sahaja, tetapi tidak pandai untuk menghadapi situasi rakyat yang pelbagai kaum, ragam dan permintaannya yang menjadi realiti di Malaysia.
Disebabkan mereka tidak didedahkan mengenai perbezaan di antara retorik dan 'substance' dalam pengucapan, maka kebanyakannya akan tersilau dengan ucapan-ucapan yang penuh retorik. Ucapan ini kebanyakannya menjanjikan segala macam yang enak-enak, dengan gaya bercakap melaung-laung dan tangan dikepal-kepal ke udara.
Mereka telah mengalaminya berkali-kali, tetapi disebabkan seronoknya dijanjikan syurga, itu dan ini, mereka lupa realiti mereka di bumi dan tetap memilih pakar retorik sebagai pemimpin.
Mereka juga cepat mengiktiraf seseorang sebagai hero dalam sekelip mata, tanpa mengkaji 'track record' seseorang sama ada dalam perkhidmatan ataupun segala aktiviti seseorang sebelum beliau muncul sebagai hero. Orang Melayu sangat mudah mengiktiraf hero yang terbentuk dalam 'satu malam' ini.
Sebagai contoh, pertubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang pada kebanyakan masanya mempunyai begitu ramai pemimpin dan ahli yang sangat komited kepada perjuangan. Sebelum diambilalih oleh pemimpin 'satu malam', pertubuhan yang diiktiraf sebagai antara pertubuhan tertua di Malaysia ini digerakkan melalui aktiviti-aktiviti 'senyap' dan amat mementingkan kandungan program.
Antara pengasasnya termasuklah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Tun Dr Mahathir yang giat berjuang untuk memajukan kaum wanita Melayu. Bayangkan pada waktu itu, anak-anak perempuan Melayu rata-ratanya masih belum lagi dibenarkan keluar rumah, tetapi beliau telah faham makna emansipasi wanita.
Sejarah lampau GPMS menunjukkan mereka berjuang tanpa mengira sangat perbezaan ideologi di kalangan sesama ahli, tetapi fokus mereka adalah kepada pendidikan bangsa. Bekas-bekas pejuang GPMS menjadi pemimpin kepada parti-parti lain, seperti Parti Rakyat Malaysia ataupun PAS. Tetapi, mereka tidak berkompromi dengan tema perjuangan mereka - pendidikan bangsa.
Ahli-ahlinya ketika itu - selepas kemerdekaan - akan melakukan segala cara supaya pendidikan bangsa maju. Mereka sanggup menggunakan perbelanjaan sendiri, naik basikal atau menumpang lori untuk ke kampung-kampung memberi tuisyen kepada anak-anak Melayu di luar bandar.
Inilah wira-wira yang tidak didendang dalam politik Melayu. Sehingga ke hari ini, kisah perjuangan mereka hanya tersimpan dalam kamus peribadi masing-masing. Bandingkan perjuangan ini dengan perjuangan kumpulan-kumpulan yang suka meletakkan label 'Islam', tetapi sukakan publisiti, teriakannya kuat supaya didengar dan 'banner'nya besar-besar supaya senang dilihat.
Cakapnya hebat, penuh slogan, retorik serta jenaka. Era politik Melayu tahun 70-an hingga 90-an memang mengukur 'siapa yang hebat bercakap, orang itu pasti boleh memimpin'. Dengan itu, parti-parti yang bertanding akan mengemukakan penceramah yang paling petah berkata-kata, paling pandai membaca ayat al-Quran dan kadangkala paling berani mengeluarkan kata-kata buruk kepada parti lawan.
Begitu juga halnya dalam pentadbiran kerajaan, sesiapa yang menonjol dan berani bertindak secara kontroversi akan cepat-cepat menjadi hero. Suatu ketika, dalam perkhidmatan awam, gempar kisah seorang 'ketua pengarah' yang selalu dipinjamkan ke sektor-sektor atau agensi-agensi tertentu kerajaan kerana keberanian dan kehebatan beliau dalam mengambil tindakan-tindakan yang keras terhadap 'orang bawahannya'.
Maka, tersilaulah rakyat seketika, bahawa inilah orangnya yang diharap untuk mentadbirkan negara dengan cekap. Tetapi, sungguh malang, kerana wira yang didendang ala 'mi segera' ini tiba-tiba terbongkar sisi-sisi lemahnya termasuklah isu-isu peribadi. Begitu cepat dia muncul, begitulah cepatnya dia menghilang dan dilupakan .
Maka, pengajaran di sebalik kisah-kisah di atas, khususnya kepada orang Melayu, eloklah dari sekarang dikenalpasti wira-wira yang terlalu cepat didendang, supaya dengan itu kita boleh kenal wira-wira lain yang tidak didendang, tetapi merekalah sebenarnya yang membentuk pemikiran orang Melayu sejak dahulu.
Elok juga kita meningkatkan sikap berhati-hati dan sifat ingin tahu yang kuat, supaya setiap hero baru yang muncul kita siasat dahulu latarbelakangnya.
