Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyenaraikan ramai calon untuk bertanding dalam pilihanraya umum kali ini, termasuk beberapa pemimpin berketurunan Tionghua dan pemimpin bekas PRM. Sebabnya mungkin kerana PKR bertanding di kawasan majoriti Tionghua di mana DAP mempunyai pengaruh besar.

Kebanyakan analisa pilihanraya kali ini mengatakan pengundi Tionghua di bandar menyokong DAP sehingga parti itu bakal menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Namun begitu, kita juga tidak boleh mengabaikan prestasi calon-calon Keadilan di kawasan majoriti Tionghua.

Keadilan seringkali dikenali sebagai sebuah parti politik yang dapat memecah mitos politik perkauman yang telah lama bertapak di arena politik tanahair. Inilah tugas berat Keadilan sejak penubuhannya lima tahun lalu.

Namun, sebahagian besar rakyat masih meragui integriti Keadilan dalam perjuangan politik di Malaysia, khususnya apabila ia perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada jentera-jentera Umno.

Keraguan rakyat terhadap Keadilan seringkali menjadi kenyataan apabila ia dilihat terlalu asyik dengan "Politik ke-Hijauan" ciptaan PAS dalam Barisan Alternatif (BA). Kalaupun tidak, terdapat ahli-ahli Keadilan yang lemah semangat memilih untuk kembali ke pangkuan "Politk Ke-Biruan" ciptaan Umno.

Dalam pilihanraya kali ini, apa yang jelas ialah Keadilan kalah teruk. Dalam pertarungan tiga penjuru di kawasan majoriti Tionghua, terdapat calonnya (yang juga merupakan bekas ahli DAP, dan pernah menjadi MP atau Adun atas tiket DAP) kalah hingga hilang deposit.

Kekalahan sebegini, walaupun amat menyedihkan, tidaklah penting kerana yang lebih mustahak ialah Keadilan perlu mengetahui mengapa mereka kecundang begitu teruk sekali.

Memang diakui bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak dapat menjalankan tugas dengan berkesan, tetapi adalah tidak wajar sekiranya Keadilan menolak bulat-bulat tanggungjawab kepada SPR, sekaligus memberi gambaran kepada orang luar bahawa parti itu cuba melarikan diri daripada menerima kekalahan.

Soalan pokoknya ialah sekiranya pilihanraya kali ini diadakan dengan adil dan saksama (sekurang-kurangnya kekeliruan pada hari Ahad lepas tidak berlaku), mampukah Keadilan memenangi lebih banyak kerusi Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum yang baru lalu?

Sebenarnya, Keadilan telah menghadapi cabaran getir dalam pilihanraya kali ini. Cabaran-cabaran ini adalah sepertimana di bawah, di mana yang pertamanya merupakan cabaran yang perlu dihadapi semua parti politik pembangkang, sama ada berada di dalam BA ataupun tidak.

Ianya adalah faktor 'Pak Lah' dan 'Gelombang Biru' yang dilancarkan oleh Umno/BN. Keduanya, pengundi kelas pertengahan bimbang dan khuatir dengan dasar PAS yang 'ekstrem' dan bercorak fundamentalis. Ketiga, kehilangan beberapa pemimpim kanan Keadilan yang menyertai Umno kebelakangan ini, telah menjejaskan moral dan semangat perjuangan parti tersebut.

Ianya merupakan soalan pokok kerana Keadilan kelihatan tidak begitu mengambil kira terhadap faktor-faktor negatif di atas, dalam pengaturan strategi untuk menangkis serangan BN.

Misalnya, pakatan Keadilan-PAS telah menyelubungi corak kiri Keadilan. Strategi PKR yang lebih kepada 'pilihan jalanraya' bukan sahaja tidak dapat meraih undi simpati rakyat, malahan ini mungkin telah menakutkan sebilangan pengundi kelas pertengahan dan pengundi atas pagar.

Perlu ditegaskan, mereka ini tidak semuanya kaum Tionghua, tetapi juga kelas pertengahan kaum etnik yang lain, kerana sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, imej 'Mr Clean' beliau telah berjaya memikat hati pengundi Melayu. Dan mereka juga mungkin tidak begitu tertarik dengan corak kepimpinan PAS di bawah Abdul Hadi Awang berbanding Fadzil Noor yang dianggap kurang ekstrem.

Keadaan menjadi lebih kritikal apabila PAS mengemukakan Dokumen Negara Islam pada tahun lalu. Kebanyakan pengundi Melayu atas pagar, telah hilang keyakinan terhadap PAS, apatah lagi pengundi Tionghua.

Tambahan pula, berikutan kekalahan teruk pada 1999, Umno telah mengubah strateginya. Ini amat jelas sekali selepas Pak Lah menjadi Perdana Menteri baru. Tindak-tanduk PAS yang kurang menghormati rakannya dalam BA, dipandang sinis oleh Keadilan, walaupun hubungan rapat dan saling menghormati, amat penting dalam apa juga bentuk pakatan politik.

Faktor-faktor luaran ini kurang diberi perhatian oleh Keadilan, menyebabkan ia mengatur strategi yang silap dan seterusnya terjerumus dengan corak perjuangan lama, yang sudah sampai masanya untuk ditukar supaya api perjuangan reformasi dapat diwarisi dengan nafas baru.

Dalam jangka masa lima tahun seterusnya, saya berpendapat Keadilan perlu mempertimbangkan secara serius hubungannya dengan PAS dalam BA. Begitu juga kerjasamanya dengan parti-parti politik lain yang lebih bercorak kiri (dari segi ideologi, Keadilan merupakan parti politik sayap kiri, dan warna merah sering digunakan untuk mewakili parti-parti politik yang berfahaman kiri) seperti DAP, PRIM dan PSM.

Pembentukan pakatan politik yang sebegini bukan sahaja dapat memperteguhkan fahaman perjuangan Keadilan yang pelbagai kaum, bahkan dengan ini, satu kuasa pembangkang yang teguh, kuat dan mempunyai jatidiri yang kukuh, dapat dibentuk untuk menentang hegemoni BN/Umno.

Inilah apa yang dimaksudkan sebagai 'Hijau ditanggalkan, Merah dipadukan, Biru diperangi' .

ADS