Most Read
Most Commented
Read more like this

Matlamat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi semakin kabur apabila berlaku beberapa insiden yang saya rasa akan mencemarkan hasrat murni pelaksanaannya. Insiden yang berlaku di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka di Bangi dan pengaduan anak saya sendiri, selaku peserta PLKN, memanggil saya untuk menyatakan sedikit pendapat yang saya kira agak penting, sekaligus sebagai harapan yang cukup tinggi terhadap pihak-pihak yang mengendalikan program tersebut.

Insiden yang berlaku benar-benar menimbulkan rasa kesal dan terkilan di hati saya. Antara yang boleh saya nyatakan di sini, terdapat sejumlah peserta lelaki yang merokok, pergaulan bebas, bertepuk-tampar lelaki perempuan tanpa segan silu, dan lelaki perempuan duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi pada waktu malam.

Dan baru-baru ini, berlaku pergaduhan antara dua kumpulan peserta lelaki dari kolej kediaman yang berlainan. Saya sendiri kurang pasti di manakah letakkan disiplin yang diterapkan di kalangan peserta. Insiden ini menunjukkan semacam pihak yang terbabit ,tidak berjaya mengemudi peserta dengan baik.

Saya ingin merujuk kepada objektif ketiga PLKN untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Hasrat murni ini kita sandarkan kepada semua peserta PLKN kerana gejala keruntuhan akhlak yang serius, telah melanda masyarakat hari ini., Selaku warga Malaysia yang prihatin dan rindukan suasana harmonis, saya mengharapkan satu pelaksanaan yang begitu baik agar matlamat kita bagi menjana pemuda harapan bangsa, tercapai.

Sebagaimana yang dibangkitkan sebelum ini, saya berpendapat perlunya diberi penekanan terhadap pengisian rohani dan menitikberatkan norma-norma kehidupan yang murni. Remaja perlu disiapsiagakan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan pengisian kerohanian yang mantap, terutamanya bagi menghadapi zaman yang penuh cabaran.

Alangkah ruginya kita apabila telah diberi peluang untuk mengumpulkan tenaga remaja yang ramai, tetapi disia-siakan begitu sahaja. Ibarat kata pepatah, dayung telah berada di tangan, cuma tugas pendayung sahaja yang menentukan halatuju sampan tersebut.

Justeru, saya memohon kepada semua pihak yang terbabit dengan PLKN agar dapat mengemudikan halatuju remaja ini dengan sebaik mungkin. Khidmat mereka amat penting untuk dijana serta dibajai dengan penghayatan terhadap nilai murni, dan bukannya disogokkan dengan gejala yang tidak bermanfaat.

Sekiranya kita tidak berjaya, ini bermakna kita sama-sama telah mengkhianati amanah dan harapan seluruh rakyat Malaysia.

Saya cukup yakin dan percaya, seluruh rakyat mengharapkan program ini menjadi salah satu wasilah dalam membentuk keperibadian yang mulia di kalangan peserta, sekaligus membantu mengurangkan kadar kebejatan sosial yang merisaukan hati semua pihak. Jangan hampakan harapan kami untuk merealisasikan hasrat membina sebuah negara gemilang, cemerlang dan terbilang.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS