Saya merujuk kepada berita-berita mengenai pergaduhan, gangguan seksual, peserta memiliki ganja dan syabu, jurulatih mabuk, tayangan filem berunsur seks yang telah diberitakan oleh malaysiakini berhubung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Saya sebagai bapa kepada anak perempuan berumur 17 tahun yang turut menyertai PLKN ini merasa bimbang, gusar dan amat risau dengan kejadian-kejadian yang tidak diingini ini yang berlaku di kem-kem program tersebut.
Kejadian pergaduhan, gangguan seksual dan masalah disiplin itu menunjukkan bahawa hasrat untuk menanam sifat patriotik, keyakinan dan perpaduan antara kaum, nampaknya telah gagal sama sekali. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Yang ingin ditanam tak menjadi, yang tumbuh ialah kerosakan sivik, pergaduhan dan persengketaan.
Saya berpendapat, jika program khidmat negara ini tetap diteruskan, saya bimbang ramai anak-anak kita akan mengalami trauma emosi apabila melihat atau mengalami pengalaman sewaktu menghadiri program tersebut latihan yang kacau-bilau dengan pergaduhan, sengketa antara kaum, gangguan seksual dan masalah-masalah disiplin berat yang lain, seperti menghisap ganja, merokok, meminum arak, pergaulan bebas dan sebagainya.
Saya dapat merasakan betapa kacau dan bergolaknya emosi anak saya jika dia mengalami atau melihat kejadian-kejadian tersebut. Pada umur yang begitu muda, trauma emosi yang dialaminya itu pasti akan mengambil masa yang panjang untuk pulih.
Bukan sahaja dia boleh mengalami trauma emosi, tetapi dia juga mungkin terpengaruh dan turut terlibat dalam pergaduhan dan kejadian-kejadian tidak sihat yang berlaku sewaktu menghadiri program tersebut. Dan yang lebih merisaukan saya lagi ialah dia berkemungkinan menjadi mangsa gangguan seksual, sama ada dari jurulatih lelaki mahupun peserta lelaki PLKN.
Kerana itu, saya menyeru semua pihak, tidak kira parti pemerintah atau parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibubapa dan persatuan atau pemimpin setiap kaum, untuk melancarkan kempen atau petisyen yang ditandatangani dan dipersetujui semua ibu-bapa dan individu, menuntut supaya PLKN dihentikan segera, sebelum banyak lagi kejadian yang tidak diingini itu terus berlaku.
Kempen dan petisyen ini perlu dilancarkan segera dan dimulai dari sekarang sebelum anak-anak kita menjadi mangsa kepada program yang gagal untuk menyemai sifat patriotik, keyakinan dan perpaduan, tetapi sebaliknya mengakibatkan sifat rosak sivik, persengketaan dan pergaduhan.
