Most Read
Most Commented
Read more like this

Melangkah masuk ke wilayah Indonesia melalui lapangan terbang Soekarno Hatta, pelancong asing tidak perlu terkejut jika tiba-tiba dimintakan "wang kopi" dengan jumlah tertentu oleh pegawai imigresennya. Boleh jadi Rp 50 ribu, Rp 100 ribu atau lebih. Ia budaya biasa yang bukan sahaja berlaku di jabatan imigresennya, tetapi di mana-mana.

Namun, di sebalik wajah negatifnya, ada bayang positif yang begitu indah yang tidak pernah rakyat Malaysia nikmatinya keindahan demokrasi. Sebutlah kebebasan akhbar, hak bersuara dan berdemontrasi, keadilan melaksanakan pilihanraya, atau apa sahaja hak sebagai seorang warga merdeka.

Itu sebahagian daripada hak yang dikembalikan kepada rakyat selepas jatuhnya rejim Suharto dalam api kemarahan rakyat pada 1999. Tidak ada istilah "kerajaan" atau "pembangkang". Yang diutamakan dalam asas pemberitaan, baik di media elektronik atau akhbar, ialah kebenaran.

Dan itulah yang menjadikan setiap pihak berpuashati. Sekurang-kurangnya kalau ada hak warga yang hilang kerana manipulasi sesuatu pihak, maka pihak yang satu lagi mampu untuk menyampaikan mesej mereka. Ia mungkin tidak ada dalam dalam budaya pemberitaan dan media di Malaysia.

Begitu jugalah dalam perjalanan pilihanraya yang baru berlalu, dan sekarang ini masih dalam proses kiraan. Daripada sejumlah 24 parti yang bertanding, baik parti kaya atau parti miskin, masing-masing mempunyai hak yang sama di segi perundangan. Dalam sistem terbuka itu, setiap parti boleh menggunakan semua medium yang ada untuk menyatakan manifesto dan ideologi mereka.

Penggunaan medium televisyen sebagai saluran berkempen oleh semua parti telah menjadi budaya baru sesuatu yang tidak ada pada era Suharto. Setiap parti yang bertanding juga diberikan ruang untuk mengadakan rapat umum pada hari-hari tertentu. Sama ada pengikut ramai atau tidak, itu soal lain. Yang utama, semua parti mampu menikmati hak berkempen yang adil.

Dan parti yang melakukan kesalahan berkempen, baik menggantung poster pada tempat yang tidak dibenarkan, politik wang atau cara-cara yang tidak sewajarnya, akan dikenakan denda yang sama, tanpa ada istilah "pilih bulu". Sebagai Presiden Indonesia dan juga ketua kepada parti pemerintah, Partai Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDIP), Megawati juga perlu akur dengan perundangan pilihanraya yang ditetapkan, termasuk tidak dibenarkan menggunakan kemudahan awam dan jentera pentadbiran semasa berkempen.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) atau Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga lebih bebas melaksanakan tanggungjawab mereka. Parti-parti yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan sesuai dengan kesalahannya, misalnya membongkar pentas pidato jika sesuatu parti mengadakan kempen pada tempat yang tidak dibenarkan.

Selesai sahaja masa berkempen selama 30 hari yang dibenarkan, semua poster dan kain rentang mesti diturunkan dan rakyat akan memasuki tempoh 'bertenang" selama 2 hari. Dalam tempoh bertenang ini, tidak lagi ada kempen atau iklan parti di mana-mana.

Begitu juga dengan sistem pengundiannya. Rakyat tidak hanya memilih parti, tetapi juga wakil rakyatnya. Ini bermakna, setelah mengundi sesuatu parti, mereka juga perlu mengundi wakil rakyat dari senarai calon yang disediakan. Jadi, tidak ada lagi istilah mengundi "kucing dalam karung" seperti sebelumnya.

Dan untuk menang, seseorang calon mestilah berkualiti, bukan hanya menang kerana pengaruh parti tetapi juga mesti memiliki kredibiliti di mata rakyat.

KPU pula terikat dengan pemantauan Panitia Pengawas Pemilu (Panwaslu) yang akan menyiasat sekiranya terdapat aduan oleh masyarakat mengenai kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh KPU semasa mengendalikan pilihanraya. . Kerana ada badan pemantau pilihanraya, maka ini telah menjadikan pilihanraya di Indonesia lebih bersih dan telus, dibandingkan dengan pilihanraya di sesetengah negara yang mendakwa sangat maju di Asia Tenggara!

Pada bulan Jun ini akan diadakan lagi pilihanraya bagi memilih Presiden Indonesia. Pihak polisnya telah bersiap sedia untuk mengiringi dan menjaga keselamatan setiap calon yang bertanding. Menurut pihak keselamatan, sebagai bakal presiden negara, calon mesti diberikan layanan khusus. Bilakah budaya ini akan wujud dalam politik Malaysia?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS