Salah sebuah surat pembaca yang dikirim kepada harakahdaily.net mencerminkan mentaliti tipikal penyokong PAS yang sentiasa memutarbelitkan fakta.
Beliau mendakwa kononnya pada pilihanraya ke-11 yang baru lalu, rakyat Terengganu tidak dapat menerima kerajaan Islam Terengganu 'dirompak' hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Sebenarnya, majoriti besar rakyat Terengganu tidak dapat menerima insiden tahun 1999 di mana kerajaan Islam Terengganu telah dirompak oleh sebuah parti politik bernama PAS yang telah mengambil kesempatan daripada kemarahan rakyat terhadap kerajaan Dr.Mahathir Mohamad untuk merampas kuasa politik di negeri itu.
Pada pilihanraya tahun 1999, rakyat mengundi PAS bukan kerana percaya kepada parti itu, tetapi kerana ianya adalah salah satu parti komponen Barisan Alternatif (BA). Tetapi PAS telah tersalah tafsir kemenangan itu dan menyangka rakyat akhirnya telah percaya kepada dakwaannya kononnya memperjuangkan Islam.
Presiden PAS sendiri, secara tidak langsung, mengakui sememangnya rakyat Terengganulah yang telah mengembalikan kuasa politik kepada Barisan Nasional (BN) kerana beliau menuduh sifat anti-Islam rakyat yang membuat PAS kalah teruk.
Penulis itu juga memberi gambaran bahawa beliau dan pengikut 'Tuan Guru' lain sedia berkorban nyawa sekalipun untuk mempertahankan alasan parti tersebut. Ini adalah reaksi tipikal pihak pelampau yang amat kecewa kerana orang ramai tidak mudah diperdayakan seperti mereka.
Alhamdulillah, pemimpin PAS masih waras berfikir panjang sebelum mengambil tindakan drastik. Parti itu sendiri akan rugi besar sekiranya mengambil tindakkan ekstremis.
Penulis surat itu menunjukkan sifat double-standard apabila mengaku wajib mentaati keputusan pemimpin PAS selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Tetapi tidakkah keputusan pemimpin itu bertentangan dengan syariat Islam kerana memaksa kita bangun berjihad nyawa dalam keadaan sedemikian? Namun beliau sanggup mentaatinya juga kerana percaya akan muslihat sebalik keputusan pemimpin parti itu.
Mengapa tidak mengamalkan prinsip sedemikian dan taat kepada pemerintahan kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong? Serahkan soal pentadbiran kepada pemimpin kerana kita harus percaya akan muslihat sebalik keputusan mereka.
Seperti maksud sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud: 'Taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan pemimpin di antara kamu'.
