Keperihalan campurtangan politik di dalam sistem pendidikan kebangsaan memang telah lama diperkatakan. Namun ketika zaman sebelum dan semasa kemerdekaan, campurtangan itu lebih ke arah memantapkan lagi sistem pendidikan supaya survival bangsa dan agama dapat dipertahankan.
Namun begitu, kini campurtangan lebih membawa kepada kesan negatif, apa lagi jika ia membabitkan mereka yang berkepentingan politik dan diri sendiri. Lihat sajalah apa yang telah berlaku sekarang.
Penggunaan bahasa baku cukup penting dalam penyatuan bangsa ke arah perpaduan yang kental. Namun kerana pemimpin politik tertentu, pembinaan yang telah dirancang dan dilaksanakan melibatkan jutaan wang, tenaga dan keringat, terpaksa dikorbankan kerana kepentingan pemimpin yang berpemikiran sempit.
Begitu juga pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Metamatik. Mereka dengan sengaja membohongi umum dengan memanipulasi kajian yang tidak sah dan tidak boleh dipercayai. Inilah contoh bagaimana politik telah merosakkan sistem pendidikan.
Kebanyakan para pendidik, sama ada di peringkat universiti atau sekolah, sememangnya tidak percaya dengan hipotesis bahawa dengan penggunaan bahasa Inggeris sahajalah Matemetik dan Sains akan dikuasai oleh pelajar Melayu. Tetapi kita sering ditimpa kemalangan di dalam sistem pendidikan yang sepatutnya selamat.
Ini kerana sekolah hari ini menjadi percaturan pemimpin politik yang malang. Mereka kata, politik tidak boleh dilibatkan di sekolah atau institusi pengajian tinggi. Tetapi, secara terang-terang, merekalah yang menggunakan sekolah, maktab, kolej dan universiti untuk merosakkan minda pelajar. Pemimpin politik ini memaksa pihak pentadbir mengadakan program untuk mereka .
Malangnya mereka menggunakan program tersebut untuk melakukan indoktrinasi. Pelbagai bahan bacaan memfitnah disebarkan kepada pelajar. Pelajar jadi keliru. Mereka sendiri yang melanggar arahan yang mereka keluarkan.
Mereka hanya pandai beretorik, tetapi isi dan amalannya jauh panggang dari api. Para pendidik tahu segala yang berlaku ini akan merosakkan sistem pendidikan. Tetapi apa yang mereka dapat buat?
Tangan, kaki dan mulut mereka dibelenggu dengan pelbagai peraturan yang berat sebelah, tidak adil dan memihak. Kini, sudah wujud trend 'masabodoh' di kalangan pendidik, dengan mengiyakan segala perbuatan bobrok di dalam sistem pendidikan.
Oleh itu, sudah sampai masanya, ahli-ahli politik berhenti campurtangan dalam pelaksanaan sistem pendidikan. Cukuplah campurtangan mereka dalam pemilihan ketua pengarah dan perlantikan sebahagian pengarah-pengarah bahagian. Biarlah sistem pendidikan menjadi satu sistem yang bebas, ditadbir dan diuruskan oleh mereka yang arif dalam bidang tersebut.
