Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Merujuk kepada artikel Ulama mampu memimpin tulisan Saudara Abu Bakar, saya mengucapkan terima kasih atas kritikannya terhadap dua tulisan saya. Saya percaya, sepertimana saya, beliau juga tentunya ada pertimbangannya sendiri dalam soal memperkasakan PAS.

Saya tidak berniat memperlekehkan ulama, apatah lagi parti yang saya kagumi itu. Sama ada ulama mampu memimpin atau tidak, juga bukan satu isu. Begitulah juga pakaian yang dipakai oleh seseorang. Sama ada belajar sastera, agama atau sains juga bukanlah hal yang menidakkan keupayaan untuk menjadi pemimpin yang baik.

Hakikat itu saya setujuinya. Bahkan, kalau seseorang itu tidak bersekolah sekalipun, kalau dipilih masyarakat melalui sistem demokrasi, maka akan menjadi pemimpinlah ia. Namun, soal utama bagi saya ialah persepsi rakyat yang memilih. Persepsi adalah soal utama dalam menentukan kejayaan, apatah lagi dalam pemujukan massa. Minuman 'Coca-Cola' atau seluar jeans 'Levis' berjaya bukan kerana tiada produk lain yang lebih hebat, tetapi kerana persepsi dan imej yang menonjolkan ia kelihatannya sangat luar biasa.

Deria persepsi itulah yang menjadikan sesuatu yang barangkali 'buruk' menjadi 'baik', begitulah sebaliknya. Jadi, apabila saya menyifatkan pemimpin ulamak dalam PAS tidak membawa imej nasional, atau lebih banyak berdamping dengan isu-isu agama, ia bukanlah bermakna mereka akan gagal apabila diberikan peluang menjadi pemimpin.

Bahkan, barangkali mereka menjadi pemimpin besar pula, seperti yang pernah dibuktikan Ayatollah Khomeini di mana karismatiknya tetap bernyala sekalipun beliau telah tiada. Tetapi, dalam realiti politik, seseorang itu akan dipilih atau tidak, bukanlah kerana bukti-bukti ini, tetapi kerana persepsi massa. Tidak dapat tidak, inilah yang perlu diubah. Kemenangan perlu diraih terlebih dahulu. 'Kekurangan' pemimpin PAS perlu diperbaiki agar mampu merubah persepsi rakyat terhadap keupayaan parti ini.

Dalam konteks politik Malaysia yang begitu banyak tekanan terhadap politik aliran alternatif, baik oleh media massa, jentera kerajaan dan sebagainya, PAS wajar mengubah strategi mendekatkan diri dengan masyarakat. Aliran Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpaksikan Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan gerakan Tabligh misalnya, membuktikan hakikat itu.

Ketiga-tiganya adalah pertubuhan yang mendokong Islam, dan ketiga-tiganya juga adalah sama dalam pegangan akidah dan fekahnya. Namun, mengapa aliran Tabligh sering dipandang serong oleh masyarakat terbanyak? Kerana pendekatan dan 'wajahnya'. Masyarakat 'luar' lebih mudah lari apabila cuba didekati gerakan Tabligh, berbanding JIM dan Abim. Persepsi masyarakat di Gombak tentu berbeza dibandingkan dengan mereka di sekitar masjid Sri Petaling.

Begitu jugalah dalam soal PAS. Bagi kita yang hidup dalam kehijauan PAS, tentu tidak memandang parti itu sebagai sesuatu yang jelek dan lemah. Malah, kita yakin akan kemampuannya. Namun, sesekali, cuba kita lihat PAS dari kacamata orang luar, agar kita lebih bersikap adil dalam membuat penilaian.

Sebagaimana kita menjual produk, yang penting ialah permintaan pembeli. Apabila masyarakat cenderung memandang sekular, ia bukanlah bermakna PAS perlu berubah haluan. Berpegang kepada al-Quran dan Sunnah yang menjadi perkara pokok dalam PAS tidak perlu dirombak, tetapi bungkusan luar itulah yang perlu digarap semula.

Maka kerana itulah, kepimpinan ulamak perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan, memberikan keutamaan terhadap soal imej, dan peka dengan situasi yang berlaku dalam dunia luar. Saya akui, saya tidak mengikuti perkembangan PAS secara mendalam. Ini bukan bermakna saya tidak tahu situasi semasa di dalam PAS. Seluruh ahli keluarga saya ialah pendokong PAS. Setidak-tidaknya, apabila saya tidak mengikuti ceramah atau membaca Harakah , ahli keluarga saya yang lain terlibat dengan kegiatan PAS.

Dan tentang kabinet bayangan tahun 1999 sepertimana disentuh penulis, di manakah barisan menterinya, sekalipun tidak berjaya menawan Parlimen? Yang nyata, kabinet bayangan itu hanya muncul sebelum pilihanraya, tetapi kemudiannya hilang begitu sahaja. Dakwaan penulis bahawa presiden PAS tidak pernah membuat kenyataan untuk menjadi perdana menteri, semakin menyulitkan rakyat untuk memilih.

Siapakah pula yang akan jadi perdana menteri kalau PAS menang? Itu juga soal yang harus diketahui rakyat, sekalipun dalam budaya politik Malaysia, sememangnya kita akui lazimnya ketua parti atau pemimpin kanannya yang bakal menjadi perdana menteri atau menteri besar. Kalau bukan presidennya, maka PAS mesti memberitahu rakyat siapa bakal perdana menterinya.

Memang benar, saya juga tidaklah sekuat mana dalam usaha memajukan PAS. Tidaklah saya membantu PAS menggantung bendera, berjaga siang malam di markas, menampal poster dan sebagainya. Tetapi itu bukanlah bermakna saya tidak bekerja untuk PAS. Saya berkerja atas kapasiti dan cara saya sendiri.

Kepada Saudara Abu Bakar, bagi saya, yang utama ialah bukan apa yang sedang kita lihat. Tetapi bagaimana orang luar melihatnya. Pengikut fanatik PAS sampai bila-bila pun akan menyokong PAS, tetapi belum tentu orang lain.

Mereka membuat pilihan berdasarkan lima deria persepsi yang mereka miliki. Itulah realiti yang wajar kita selidiki. Dan kita juga tidak berhasrat untuk membuang ulamak dalam kepimpinan PAS, tetapi wajarlah jika kita mempunyai seorang pemimpin seperti Almarhum Datuk Fadzil Noor. Ulamak tak perlu diperlekehkan, yang perlu diperlekehkan ialah imejnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS